Saturday, December 10, 2016

Malaysia Benam Indonesia 10-1, Jumpa Thailand Di Final Esok



Pemain negara meraikan jaringan gol di hadapan gawang pasukan Myanmar pada Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean kali pertama di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Rabu. Malaysia menang 16-0 ke atas Myanmar dengan menjuarai kumpulan B.
KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean 2016 selepas berpesta gol membenam Indonesia 10-1 pada aksi separuh akhir, di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN), Khamis.
Pasukan negara, bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal Indonesia menerusi pemain tengah, Salvador Sianipar pada minit kedua susulan kegagalan penjaga gawang negara menangkap kemas bola hasil umpanan Yongki Yamadi.
Skuad negara kembali memperkemas permainan dan hasilnya tiga gol berjaya  dijaringkan untuk Malaysia mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.
Penyerang berbisa negara, Edelson Dell Evaristus paling mencuri tumpuan apabila menyumbat empat gol pada minit ketiga, 22, 55 dan 78, sementara Dojnester Francis menyumbat dua gol.
Empat lagi gol skuad negara, masing-masing dijaringkan Rabbino Lusius, Roynald Vienc Vincent, Muhammad Rahmatuddin Mohd Razali dan Amirul Naim Mat  Leh.
Sementara itu, jurulatih pasukan negara Manachai Sitthisarn yakin anak buahnya mampu mencipta sejarah dengan menjulang piala berkenaan pada aksi final esok.
"Saya yakin dengan semangat juang anak buah saya, kami 100 peratus yakin untuk menewaskan Thailand esok," katanya melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan jurubahasa skuad negara, Emmy Husain.
Malaysia akan bertemu Thailand pada aksi final setelah pasukan Gajah Putih itu menewaskan Vietnam 4-0 pada satu lagi saingan separuh akhir yang berlangsung di Padang Wisma Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Mini Kementerian Pertahanan  pada 4 petang esok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: