PUCHONG – Bagi menyemarakkan aktiviti seni dan budaya negeri Selangor sekali gus mempopularkan adat perkahwinan Orang Asli, ‘Festival Perkahwinan Orang Asli Suku Kaum Temuan' dianjurkan di sini, semalam.
Menerusi program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, generasi muda dan masyarakat setempat didedahkan dengan adat perkahwinan bermula daripada proses memilih pasangan hinggalah upacara persandingan.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir Batu 14, Dali Kantan berkata, adat orang lama itu kini sudah hampir dilupakan generasi muda.
Menurutnya, upacara perkahwinan kini sudah banyak yang dimodenkan hingga menyebabkan generasi muda orang Asli tidak tahu adat nenek moyang mereka.
”Menerusi program ni kita nak perkenalkan adat perkahwinan dan makanan masyarakat suku Temuan kepada orang ramai dan generasi muda orang Asli sendiri, sebagai Tok Batin saya nak ketengahkan dan hidupkan kembali adat-adat lama ini.
“Ramai orang muda tak tahu dulu kalau nak pilih pasangan dijalankan pada hari keramaian dipanggil hari moyang, kaum lelaki akan memilih gadis pilihan mereka ketika upacara mengelilingi busut,”katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan) JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) dianjur sejak tahun 2004 itu sebagai pendedahan keunikan seni budaya orang Asli  untuk  dihayati generasi muda.
Katanya, program bersifat serampang dua mata, budaya dan adat resam Orang Asli suku kaum Temuan dapat ditonton oleh pelancong dalam dan  luar negeri yang mengunjungi negara ini sekaligus dijadikan produk tarikan pelancong ke daerah ini.
Menurutnya, adat resam dan budaya perkahwinan masyarakat orang Asli Temuan khususnya di Puchong Batu 14 itu turut didokumentasikan bagi menjadi rujukan masyarakat setempat dan orang luar pada masa depan.
“Kita ambil langkah dokumentasikan adat resam ini dalam bentuk penulisan manuskrip dan video supaya generasi akan datang dapat melihat kembali seni budaya masyarakat orang Asli.
“Diharap dengan adanya penulisan manuskrip dan video tersebut  boleh dijadikan sumber maklumat dan rujukan kepada generasi akan datang terutama sekali kepada pelajar serta pengkaji budaya," katanya.
Beliau berkata, antara yang didokumentasikan adat perkahwinan dan aktiviti sokongan kaum itu  termasuk gotong-royong memasak nasi dalam buluh, aktiviti jualan produk buatan orang asli suku kaum Temuan, pertandingan menyumpit dan lain-lain.