MUAR - Kehadiran kumpulan kompang wanita daripada Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) pada sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Muar, berjaya mencuri tumpuan ramai.  
Kalau sebelum ini kumpulan kompang biasanya dibarisi majoriti golongan lelaki, kumpulan dari HPSF pula terdiri daripada wanita kesemuanya.  
Seorang anggota kumpulan itu, Zuliana Salleh, 32, mengakui teruja kerana buat kali pertama menyertai kumpulan kompang wanita dan mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah.  
"Ini adalah kali pertama kumpulan kompang wanita diberi peluang menyertai perarakan. Walaupun rasa agak kekok dan sakit tangan pada mulanya, saya dan  rakan-rakan dapat menguasai rentak pada akhirnya," katanya kepada Bernama hari ini.  
Zuliana yang bertugas sebagai pembantu tadbir di HPSF berkata mereka rasa bertuah kerana diberi peluang menubuhkan kumpulan kompang wanita pertama di daerah itu.
Katanya beliau dan 30 rakan lain mengambil masa dua minggu untuk belajar bermain kompang selepas tamat waktu bekerja.  
"Setiap hari lebih kurang dua jam kami berlatih bersama. Alhamdulillah berbekalkan semangat kami berjaya mempelajari teknik bermain kompang," katanya.  
Beliau dan rakan-rakan berharap dapat menyertai lagi sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah pada tahun depan.  
Seramai 5,000 peserta daripada 54 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan sejauh tiga kilometer  pada tahun ini yang diketuai Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, bermula dari Pejabat Daerah Muar dan berakhir di Masjid Sultan Ibrahim.  
Turut berkenaan berangkat ke majlis itu ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.