KAMPUNG RAJA – Pengunjung pantai peranginan Bukit Keluang, dekat sini, dikejutkan dengan kemunculan bangkai seekor ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di persisiran pantai itu kira-kira jam 5 petang, minggu lepas.
Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut, Che Ramli Mohd Nor berkata, kejadian disedarinya dan orang ramai selepas melihat bangkai seekor ikan bersaiz besar terdampar di pantai berhadapan menara tinjau Penyelamat Pantai APM.
Menurutnya, dia bersama empat anggota yang sedang bertugas di menara itu pergi untuk melihat spesies ikan berwarna kehitaman itu.
“Apabila didekati ia merupakan bangkai seekor ikan lumba-lumba dianggarkan seberat 40 kilogram yang dipercayai mati beberapa hari sebelum itu.
“Saya tidak pasti punca kematian itu tapi ada nampak kesan cedera di bahagian bawah badannya malah ia sudah berbau busuk,” katanya.
Che Ramli berkata, pengunjung mengambil peluang untuk melihat bangkai ikan itu daripada dekat memandangkan spesies itu jarang boleh dilihat.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan ini adalah kes pertama bangkai ikan lumba-lumba ditemui terdampar di kawasan tersebut sejak menara itu dibina di situ pada 2008.
“Bangkai itu dibawa ombak sebelum dihanyutkan ke tepi pantai,” katanya.
Beliau berkata, kali terakhir ikan lumba-lumba pernah dilihat petugas APM di menara tersebut timbul di permukaan antara Pulau Rhu dengan pesisir Pantai Bukit Keluang pada 2008.
"Selepas itu kelibat ikan tersebut tidak dilihat lagi sehinggalah bangkai spesies itu ditemui terdampar di pantai.
"Saya menanam bangkai ikan itu untuk mengelak bau busuk memandangkan pantai ini menjadi tumpuan ribuan pengunjung setiap hujung minggu," katanya.
Sementara itu, penduduk daerah ini pernah digemparkan dengan kejadian bangkai seekor ikan paus terdampar di pantai Beting Lintang, dekat sini, pada Januari lalu.
Bangkai paus dianggarkan seberat 1 tan itu terpaksa ditanam menggunakan jentolak berhampiran bangkainya ditemui.