KULAI - Dua dilaporkan mengalami cedera ringan selepas terbabit kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer 36.5, Sedenak dari arah selatan, kira-kira jam 12.46 tengah hari, semalam.
Kemalangan melibatkan dua kenderaan serba guna (MPV) jenis Toyota, sebuah Proton Exora dan tiga kereta jenis Nissan Sunny, Proton Waja dan Proton Preve, yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira lima kilometer.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah MPV jenis Toyota melakukan brek mengejut.
“Tindakan itu menyebabkan sebuah lagi MPV jenis Toyota yang mengekori dari arah belakang gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang MPV berkenaan.
“Empat kenderaan lain dari arah belakang turut gagal mengawal kenderaan dan melanggar kenderaan di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Razak berkata, dua mangsa mengalami cedera ringan, sementara sebuah kereta jenis Nissan Sunny mengalami kerosakan teruk apabila salah satu MPV jenis Toyota ternaik ke atas kenderaan terbabit.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Mohd Khairil Mohd Adzami berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.46 tengah hari dan tiba di lokasi kira-kira jam 1.12 petang bersama tujuh anggota.
“Setibanya di tempat kejadian kami dapati terdapat kemalangan membabitkan sekurang-kurangnya lima kenderaan. Tiada mangsa yang maut dilaporkan dan mereka yang cedera telah dibawa ke hospital oleh orang ramai serta saudara masing-masing.
“Kami turut menggunakan tanah yang ditabur atas permukaan jalan untuk menyerap tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya.