KERATONG – Bagi memastikan ibadah solat wajib lima waktu dan solat-solat sunat sempurna didirikan, wuduk yang diambil mesti mengikut kaedah yang betul dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa supaya air rata pada bahagian anggota sepatutnya.
Guru tahfiz, Muhammad Ikram Mazlan berkata, soal wuduk selalu dipandang ringan oleh segelintir umat Islam tidak kira peringkat usia sedangkan ia merupakan elemen penting bagi memastikan solat dilakukan diterima ALLAH.
Menurutnya, kaedah yang betul itu perlu dipelajari daripada guru-guru agama agar kekurangan yang mungkin dilakukan selama ini dapat diperbetulkan supaya tidak terus melakukan kesilapan pada masa akan datang.
“Kaedah berwuduk yang betul menentukan ibadah solat yang kita lakukan itu sempurna selain memastikan ia sah atau tak. Jika tak betul, mungkin boleh menyebabkan solat yang kita kerjakan tak sah.
“Kesalahan atau kesilapan yang biasa dilakukan adalah air yang disapu pada semua anggota rukun atau wajib tidak cukup rata akibat nak cepat atau tergesa-gesa. Jadi, kita perlu lebih berhati-hati biar ia rata sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Kem Tahfiz dan Amali sempena cuti sekolah yang dianjurkan di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Haq Kampung Alai, di sini, semalam melibatkan seramai 48 peserta berusia 7 hingga 16 tahun.
Muhammad Ikram berkata, peserta bukan sahaja daripada kalangan penduduk Muadzam Shah dan Keratong, sebaliknya turut melibatkan dari daerah lain seperti Kuantan serta paling jauh Kuala Lumpur.
Menurutnya, kem yang dianjurkan selama dua minggu itu mendapat maklum balas baik daripada peserta yang kelihatan seronok dengan semua aktiviti diadakan selain menerima segala teguran dan tunjuk ajar yang diberikan.
“Selain mendidik cara mengambil wuduk yang betul, kaedah solat, mengaji dan pelbagai lagi termasuk aktiviti luar turut diadakan bagi memenuhi aktiviti sepanjang dua minggu kem dianjurkan,” katanya.