KOTA BHARU - Bukan sahaja umat Islam, malah orang bukan Islam turut mendapatkan khidmat Pusat Pengubatan Islam Darussyifa’ (Darussyifa’) disebabkan gangguan.
Pengerusi Darussyifa’ Malaysia, Abd Rahman Ahmad berkata, bacaan rukyah al-Quran yang diamalkan semasa menjalankan rawatan memberi kepercayaan dan keyakinan kepada pesakit.
“Kewujudan Darussyifa’ yang menjadi jenama pengubatan Islam juga terkenal dalam kalangan orang bukan Islam termasuk kaum Cina yang datang mendapatkan khidmat setelah disyorkan rakan mereka bagi memulihkan gangguan yang dialami.
“Apa yang menariknya, kita membacakan ayat-ayat rukyah, manakala mereka tidak boleh baca, tetapi hanya boleh mengamalkan apa yang kita syorkan termasuk penggunaan daun bidara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengijazahan/Konvokesyen Kali Keempat Darussyifa’ yang turut dihadiri Pengarah Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya dengan dihadiri 315 perawat termasuk 120 graduan menerima ijazah pengubatan Islam berkenaan, semalam.
Abd Rahman berkata, sukar menentukan peratusan orang bukan Islam tampil berubat dengan Darussyifa’, namun boleh dikatakan setiap hari pesakit dari kaum lain datang merawat gangguan yang dialami.
“Berdasarkan pengalaman, setelah dirawat, dengan izin ALLAH SWT, ia memberi kesan positif dan biasanya orang bukan Islam yang datang akan membawa keluarga mereka untuk turut sama dirawat.
“Bukan semua penyakit boleh sembuh dengan perubatan moden, apa sahaja ikhtiar, ia perlu dengan izin ALLAH SWT, dan pada masa ini, kira-kira 227,000 pesakit di Malaysia tampil mendapatkan rawatan daripada Darussyifa’,” katanya.
Katanya, dengan lebih 10,000 ahli perawat Darussyifa’ di seluruh negara, pihaknya akan mengembangkan persatuan berkenaan dengan mengadakan Koperasi dan Yayasan Darussyifa’, juga akan menubuhkan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk program ijazah dan diploma dalam bidang rawatan Islam.
“Kita sudah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan beberapa universiti lain akan menyusul nanti,” katanya.