PENYANYI Nas Adila, mengakui akan terus aktif dalam bidang seni meskipun dia kini sibuk menguruskan cahaya mata pertamanya, Muhamad Rizqi Ikhram, yang baru dilahirkan 17 November lalu.
Menurut Nas, sebaik sahaja habis tempoh berpantang awal Januari nanti, dia akan kembali meneruskan kerjaya seni seperti biasa dan terikat dengan persembahan tetap di sebuah restoran di Putrajaya.
“Suami memang tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam kerjaya seni kerana dia memahami minat dan kecenderungan saya dalam nyanyian semenjak kami belum berkahwin lagi.
“Cuma apa yang penting di sini saya perlu bijak menguruskan rumah tangga dan membahagikan masa tanpa mengabaikan keperluan anak.
“Lagipun ia juga merupakan sumber rezeki untuk kami sekeluarga, apatah lagi tanggungjawab kami semakin besar selepas bergelar ibu dan ayah di mana sudah pasti kami mahu menyediakan yang terbaik untuk cahaya mata pertama kami ini,” katanya.
Berkongsi tentang pengalamannya berpantang anak sulung, isteri kepada penyanyi dan pelakon, Aliff AF ini memberitahu, apa yang dilalui tidak semudah seperti mana yang dia bayangkan sebelum ini.
“Sejak awal hamil lagi, saya memang sudah sedia maklum dan bersedia dengan rutin selepas bersalin menerusi pelbagai info yang saya peroleh sama ada dari mereka yang pernah ada pengalaman ataupun pembacaan.
“Namun apabila melaluinya sendiri, barulah saya tahu ia sebenarnya tidak semudah sebagaimana yang saya bayangkan apabila banyak perkara yang perlu dilakukan dan dipatuhi untuk memastikan kesihatan saya sentiasa dalam keadaan yang baik serta dapat mengembalikan bentuk badan ke asal,” ujarnya.
Selepas menjalani proses berpantang secara tradisional hampir sebulan, Nas mengakui semakin sihat dan ligat menguruskan anak.
“Minggu pertama selepas bersalin, saya belum dapat menyesuaikan diri dengan rutin baru membuatkan emosi agak terganggu sehinggakan semua benda saya nak sensitif.
“Bila ada benda tidak kena pada anak, saya terus risau sehingga ada kalanya berlebihan dan merisaukan suami dan ibu. Mujurlah bila masuk minggu kedua, semuanya kembali OK,” katanya.
Menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai suami yang memahami dan cukup bertanggungjawab, Nas berjanji kepada dirinya sendiri untuk menjadi isteri dan ibu yang terbaik buat insan-insan penting dalam hidupnya itu.
“Suami sangat bertanggungjawab dan banyak membantu saya menguruskan anak dari A-Z tanpa sebarang rungutan, malah dia juga turut bersengkang mata setiap malam tengokkan anak kerana kasihankan saya.
“Bagaimanapun, seminggu selepas selepas itu dia tidak dapat bersama kami kerana terlibat dengan kerja yang memerlukannya ‘outstation’ sehingga saya selesai berpantang.
“Kami anggap ia sebagai rezeki anak dan saya sangat-sangat hargai segala pengorbanan yang telah dia lakukan untuk keluarga kami,” ujarnya.
Tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya bergelar ibu, Nas mengakui kehidupannya kini terasa lengkap dan sempurna.
“Mungkin beginilah perasaan yang semua ibu-ibu rasa dan kini saya pula yang melaluinya sendiri di mana kepenatan sedikitpun tidak terasa bila dapat melihat wajah anak.
“Saya harap status sebagai ibu ini mampu menjadikan saya seorang yang lebih baik daripada sebelumnya,” akhirinya yang aktif dengan aktiviti Zumba menerusi Nas Adila Dance Crew ini.