BERA - “Surah Taha dimaklumi adalah untuk melembutkan hati seseorang khususnya dalam kalangan peserta yang sedang menuntut ilmu, mudah-mudahan surah ini boleh diamalkan setiap hari turut memudahkan mereka menghafaz al-Quran,” demikian beritahu, Imam 1 Masjid Daerah, Ahmad Hakim Samsudin ketika ditemui pada Majlis Penutupan KelasTahfiz.
Program tersebut adalah anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong, yang disertai anak-anak berumur lima tahun hingga 11 tahun seramai 80 orang, semalam.
Menurut Ahmad Hakim, surah ini boleh diamalkan setiap hari agar memudahkan mereka menerima ilmu dengan hati yang tenang lebih-lebih pada usia mereka yang masih muda ini, selain dapat mengisi masa terluang sepanjang cuti sekolah ini.
“Pemilihan surah ini untuk dihafaz oleh peserta pada kali ini bersesuaian dengan peserta kerana masing-masing mempunyai tahap penerimaan yang berbeza, dan secara tidak langsung membantu memudahkan mereka menghafaz.
"Saya berbangga apabila ada peserta yang berumur lima tahun mampu menghafaz sehingga ayat ke13, sementara kebanyakan mereka sudah boleh menghafaz hingga ayat ke-19. Ini adalah pencapaian yang membanggakan,” katanya.
Ahmad Hakim memberitahu, program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat.
Katanya, sepanjang tempoh lapan hari program ini berlangsung, peserta ditekankan teknik bacaan berulang kali, dan sekurang-kurangnya mereka mengulang ayat yang sama hampir 100 kali setiap hari.
“Bacaan berulang secara individu dan berkumpulan membolehkan mereka membaca dan menghafaz, dan sekali gus, seramai empat peserta yang menyahut cabaran saya untuk menghafaz surah ini hingga ayat ke28,” kata beliau.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG, M Juhari Abdullah berkata, program yang dilaksanakan sejak dari tahun 2014 itu mendapat sambutan lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini, dan peningkatan ini berikutan kesedaran ibubapa yang mahu melihat anak-anak mengisi masa lapang mereka dengan menghafaz al-Quran.
Katanya, PIBG bercadang akan melaksanakan program ini setiap tahun dan kerjasama ibubapa sangat diperlukan untuk membangkit keghairahan anak-anak untuk membaca al-Quran.
“Walaupun, ada bayaran yuran dikenakan, tetapi ia akan dimasukkan ke dalam tabung PIBG untuk pelaksanaan aktiviti murid di sekolah ini pada tahun depan pula,” katanya.
Seorang ibu peserta, Asnani Abdullah, 39 berkata, pencapaian anak sulungnya yang berani menyahut cabaran untuk menghafaz ayat 1 hingga 28 cukup membanggakan.
Katanya, anaknya itu, Ahmad Adam Ahmad Fadzeli, 11, sudah dua kali khatam al-Quran, dan hanya mengikuti kelas Kaffah di SK Kerayong selain diajar oleh ayahnya di rumah.
“Dia boleh menghafaz beberapa surah tertentu, tetapi ini kali pertama menghafaz Surah Taha. Alhamdulillah... sebagai anak sulung, dia menunjukkan contoh yang baik kepada kedua-dua adiknya, malah kerap mengajar mereka membaca al-Quran. Setiap kali ada program seperti ini, saya akan hantar anak-anak untuk menyertainya kerana saya mahu mereka mendapat didikan agama secukupnya,” katanya.
Bagi Rahmatul Firdaus Arifin, 33 pula, baharu beberapa hari dua anaknya menyertai kelas ini, tetapi mereka sudah mampu menghafaz lebih dari 10 ayat dan, semasa di rumah, mereka selalu mengulang ayat tersebut agar boleh bersaing bersama rakan yang lain.