Thursday, December 8, 2016

Alif Satar Minta Isteri Berhenti Kerja Jaga Anak



Alif Satar
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Alif Satar memberitahu dia telah meminta isterinya Shadila Halid, 32, untuk berhenti kerja sebagai pengurus jenama sebuah syarikat telekomunikasi bagi menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak-anak.

"Saya seorang lelaki yang konservatif dan kalau boleh balik rumah ada isteri yang menunggu dan makanan sudah terhidang di atas meja.

"Saya minta dia berhenti kerja dan beri perhatian kepada keluarga sahaja, lagi pula tahun depan anak kami sudah masuk dua orang lebih baik dia uruskan anak. Insya-Allah dia akan beri notis berhenti dalam masa terdekat.

"Tidak mengapalah, saya beritahu dia biar saya seorang sahaja yang cari duit untuk keluarga," ujarnya yang baharu pulang menunaikan umrah bersama isterinya minggu lalu.

Alif Satar bersama isterinya Shadila Halid ketika mengerjakan umrah baru-baru ini. Foto dari Instagram Alif Satar.
Alif ditemui pada sidang media cabutan giliran persembahan Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) yang diadakan di Wisma Bentley, di sini, Rabu.

Dia bakal mempertandingkan lagu berjudul Selamanya Cinta pada pertandingan yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 22 Januari 2017.

Sementara itu, bercerita tentang kandungan isterinya yang kini sudah memasuki tujuh bulan, Alif berkata, dia sudah mempunyai nama untuk bayi perempuan itu iaitu Ariana.

"Insya-Allah, isteri akan bersalin pada Februari depan dan kami sudah ada nama iaitu Ariana. Ada lagi nama sambungannya yang membawa maksud sangat bermakna tapi saya tidak boleh beritahu dahulu.

"Dari segi persiapan pula, saya tidak terlalu teruja seperti anak pertama saya, Alisha. kerana sudah tahu apa yang patut dibeli dahulu dan ada yang tidak perlu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: