Saturday, June 11, 2016

Wan Imar Dedikasi 'Pinggiran Syurga' Buat Arwah Bapa



Wan Imar mengdedikasikan single pertamanya, Pinggiran Syurga buat Allahyarham bapanya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia pada awal Mei lalu. Foto Ihsan KRU MUSIC
PETALING JAYA: Penyanyi baharu KRU Music iaitu Wan Imar tampil dengan single pertama berjudul Pinggiran Syurga sebagai tribute kepada bapanya, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terlibat dalam tragedi nahas helikopter pada awal Mei lalu.
Wan Imar atau nama sebenarnya Wan Immar Izzat, 25, berkata, lagu berkenaan mengisahkan tentang kerinduan seorang anak terhadap ayah tercinta yang telah pergi buat selama-lamanya.
"Ia bukan sahaja tentang kerinduan seorang anak tetapi liriknya adalah doa dan ingatan kepada bapa.
"Alhamdulillah kerjasama dengan komposer Edry Abdul Halim merialisasikan hasrat saya untuk menghasilkan sebuah lagu tribute kepada Allahyarham," katanya.
Terdahulu Wan Mohammad Khair-il meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.
Gambar kenangan Wan Imar bersama bapanya ketika kecil.
Lima lagi mangsa yang turut nahas dalam insiden berkenaan termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai.
Dalam pada itu, Wan Imar berkata, bapanya itu yang mengaturkan pertemuannya bersama Datuk Norman Abdul Halim bagi sesi ujibakat untuk bergelar penyanyi sebelum diterima sebagai artis rakaman KRU Music.
Bagaimanapun katanya, dia terkilan apabila Allahyarham tidak sempat untuk melihatnya melangkah lebih jaduh di dalam industri muzik kerana bapanya adalah pendorong utamanya.
"Lebih kurang dua bulan sebelum tragedi, bapa mengaturkan pertemuan dengan KRU Music untuk sesi ujibakat kerana yakin dengan bakat saya sebagai penyanyi.
"Alhamdulillah saya diterima sebagai artis syarikat rakaman berkenaan tetapi saya terkilan kerana bapa tidak sempat untuk melihat dan mendengar lagu baharu saya," katanya.
Pinggiran Syurga turut dilancarkan bersempena sambutan Hari Bapa yang bakal disambut pada 19 Jun nanti.
Rakaman video muzik Pinggiran Syurga juga telah pun disiapkan dan boleh mula ditonton di laman YouTube KRU Music mulai Sabtu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: