PASIR PUTEH - Walaupun terdapat pelbagai jenis minuman dijual pada bulan Ramadan, namun air tuak atau nira kelapa tetap menjadi pilihan utama.
Pengusaha, Zakaria Yusof, 60, dari Kampung Kulim berkata, menyadat dan menjual tuak adalah pekerjaan tetapnya pada bulan puasa sejak beberapa tahun lalu.
“Jika bulan biasa, tuak kami gunakan untuk menghasilkan manisan. Pada bulan puasa, kesemua tuak ini untuk dijual kepada pelanggan di Bazar Ramadan Pasir Puteh,” katanya.
Menurutnya, tuak mesti terjamin kebersihannya bermula dari proses mengambil cebisan kayu cengal untuk dimasukkan ke dalam bekas tuak atau tukir.
Katanya, cebisan kayu cengal yang dikenali sebagai ‘laghu’ membolehkan air tidak menjadi masam dalam tempoh dua atau tiga hari.
“Menghasilkan tuak memerlukan sedikit kemahiran kerana kita perlu memanjat pokok kelapa, mencantas mayang serta menadah titisan tuak yang keluar daripada keratan tersebut,” katanya.