KUALA KANGSAR - Minat orang ramai terhadap ikan hiasan antara punca mengapa ikan arowana turut mendapat perhatian luar biasa.
Potensi perniagaan ikan hiasan di bawah Dasar Agro Makanan dan komoditi bernilai tinggi itu juga disenaraikan sebagai Peluang Perniagaan utama di bawah NKEA Sektor Pertanian. Jabatan Perikanan merupakan agensi kerajaan yang menjadi peneraju dalam pembangunan industri ikan hiasan di negara ini.
Jabatan itu juga membangunkan Malaysia Standard Arowana (MS 2536:2013 Ikan Kelisa Emas Malaysia (Scleropages formosus) spesifikasi dengan kerjasama Sirim.
Malah lebih membanggakan, melalui Pusat Penyelidikan Ikan Hiasan Negara (FRI Gelami Lemi) dibangunkan Kit Biosensor DNA Arowana bertujuan mengenal pasti jantina dan varieti arowana (Malaysian Gold) dengan kejituan sebanyak 80 peratus.
Bagi memastikan industri ini terus mengorak langkah ke hadapan, Jabatan Perikanan juga melaksanakan program pemuliharaan sumber seperti kajian sumber arowana dan kawasan pembiakan semula jadi (Bukit Merah), penguatkuasaan kawasan santuari ikan arowana (Kaedah Perikanan Sungai) dan program pembiakan dan perlepasan benih arowana termasuk pelan pengurusan ikan kelisa emas Tasik Bukit Merah.
Bukan itu sahaja, ia turut merangkumi perluasan pasaran-pasaran baharu ikan arowana seperti ke Kanada, USA, EU dan Negara Teluk.
Jabatan Perikanan membantu dalam memastikan keperluan import negara dipatuhi seperti dibincangkan Bahagian Pentadbiran Penjagaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ) China bagi memastikan keperluan pengimportan ikan hidup dipatuhi.
Mengikut statistik, pada 2015, pengeluaran sebanyak 384 juta ekor ikan hiasan bernilai RM341 juta dan 371 juta ikat tumbuhan akuatik bernilai RM149 juta.
Setakat, Perak menjadi negeri utama ternakan arowana, koi dan ikan emas sekali gus mengeluarkan 63 juta ekor ikan hiasan bernilai RM57 juta pada 2015.
Selain Indonesia dan Singapura, Malaysia merupakan negara pengeluar utama ikan arowana di dunia jenis Malaysian Gold.
Pada 2015, sebanyak 392,044 ekor ikan arowana bernilai RM56 juta dihasilkan.Kini jumlah penternak arowana di Perak, mencecah 126 orang dan di Kampung Ketior Kuala Kangsar sahaja melibatkan lapan pengusaha.
Pengeluaran arowana dari Perak mencecah 311,371 ekor, manakala penternak Kuala Kangsar mengeluarkan 33,538 ekor dengan harga jualan antara RM10 hingga RM500.