Wednesday, June 8, 2016

Syed Shamim Ditipu Rakan Artis Jadi Model Klip Video



Syed Shamim kesal ditipu selebriti wanita.
PETALING JAYA: Penyanyi Syed Shamim mengakui terkilan apabila pelakon wanita yang sepatutnya bertanggungjawab untuk terlibat dalam klip video lagu terbaharunyaHidupku Milikmu tidak muncul pada hari penggambaran akhir yang diadakan bulan lalu.

Syed Shamim atau nama sebenarnya Syed Shamim Syed Abdul Kadir, 23, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila sudah membayar selebriti tersebut dengan sejumlah wang sebelum penggambaran berlangsung.

"Seorang selebriti wanita telah menipu saya dan produksi apabila berjanji untuk muncul dan berlakon dalam muzik video terbaru saya berjudul Hidupku Milikmu minggu lalu, namun tidak boleh datang kerana ada hal kecemasan.

"Saya sudah membayar sejumlah wang kepadanya seperti yang dijanjikan, namun sampai sekarang bila ditanya tentang wang itu dia hanya buat tidak tahu sahaja," ujarnya.

Syed Shamim meluahkan perasaan marahnya terhadap selebriti itu di Twitter.
Syed diminta mengulas tentang luahannya di Twitter yang berang apabila ditipu rakan artis ketika penggambaran muzik video terbaharunya.

Jelas Syed, setakat ini, dia tidak membuat sebarang laporan polis dan mahu menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik.

"Saya tidak kisah sangat tentang jumlah wang itu, cuma saya kecewa dengan perangai dia yang tidak bertanggungjawab, sudahlah batalkan saat-saat akhir.

"Malah apabila pihak pengurusan saya bertanya tentang wang yang sudah dibayar dia tidak mahu respons langsung," ujarnya.

Katanya, tempat selebriti tersebut digantikan dengan seorang rakan lain yang berada di lokasi penggambaran tersebut.

"Kecewa juga sebab video muzik ini kita sudah rancang lama dan ingin menghasilkan yang terbaik tapi lain pula yang berlaku.

"Saya terpaksa gantikan tempat pelakon itu dengan kawan saya yang ada di situ, kita tidak mahu tangguhkan dan cari pelakon lain kerana ia akan melibatkan kos dan masa," ujarnya.

Sementara itu, Syed yang sedang popular dengan lagu Ragu-Ragu nyanyian bersama Tasha Manshahar memberitahu bakal mengeluarkan album solonya sendiri berjudul Melodi tidak lama lagi.

Tambahnya, album tersebut memuatkan enam buah lagu baharu dan sebuah lagu duetRagu-Ragu versi akustik.

"Alhamdulillah, syarikat pengurusan FMC mempunyai perancangan untuk mengeluakan album solo saya dan Tasha Manshahar pada tahun ini.

"Setakat ini semua berjalan lancar dan Insya-Allah selepas raya akan dilancarkan. Antara komposernya ialah DJ Fuzz, Zul2by2, Toi HyperAct, Omar K dan Ezra Kong," ujarnya yang kini masuk tahun kelima bergelar artis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: