SUDAH enam tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, nama Syafiq Kyle sudah tidak asing lagi. Ramai memuji pelakon ini kerana berjaya membawa setiap karakter dengan baik. Peranan jahat atau sebaliknya, dia membuktikan dirinya pelakon serba boleh.
Sebagai contoh, watak Tajul Zahin menerusi drama Kerana Terpaksa Aku Relakan, wataknya daripada seorang pemabuk dan kaki perempuan yang kemudiannya insaf dibawa begitu baik oleh pelakon ini.
Tempoh enam tahun berguru dengan ramai pengarah membuatkan pemilik nama sebenar Mohd Syafik Shamim Abdul Razak ini antara pelakon yang mampu bertahan.
Pelakon berusia 24 tahun ini, mungkin pernah mencipta kontroversi kerana kisah cintanya bersama seorang aktres tempatan.
Bagaimanapun, kisah tersebut dibiarkan berlalu begitu sahaja demi masa hadapannya dalam bidang seni.
Mengakui tidak mahu meletakkan cinta fokus utamanya, Syafiq Kyle memberitahu dia lebih selesa memberikan keutamaan kepada karier berbanding kehidupan peribadi.
Menurutnya, masih solo bukan bererti kecewa dengan apa yang berlaku.
"Buat masa sekarang, soal jodoh saya serahkan pada Tuhan. Kalau boleh, saya tidak mahu cerita cinta menggugat perjalanan karier.
"Sementelah kini, banyak tawaran lakonan diterima dan saya sedang sibuk dengan jadual kerja," katanya.
Dalam usianya kini, dia sedar perlu memberikan lebih masa kepada masa depannya sendiri.
"Soal cinta letak tepi dahulu, sekarang waktu untuk mencipta nama. Lagipun, ketika industri memerlukan saya, saya perlu komited agar tidak diketepikan," tambahnya.
Bertindak menjadi seorang yang lebih matang, ujar Syafiq, dia gembira kerana keluarga sentiasa memberikan sokongan.
"Syukur kerana mereka sangat memahami dan tidak pernah mendesak saya mengenai hal peribadi.
"Tanggungjawab terhadap kerja dan keluarga lebih berat. Sebab itu, saya lebih berhati-hati membuat  keputusan," kata pelakon drama bersiri Married Tapi Benci ini.
Sedang popular menerusi drama bersiri Sekali Aku Jatuh Cinta, jelasnya, kemampuan bertahan dalam industri seni membuatkan dia terus memberikan yang terbaik. "Pelakon-pelakon baharu membanjiri industri ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, kerana itu saya tidak boleh mengambil remeh akan kerjaya yang sedang berjalan lancar.
"Bagi saya, walaupun ramai pelakon-pelakon baharu, jika memenuhi kriteria penerbit dan mereka percaya kepada kita, Insya-ALLAH, rezeki tidak ke mana-mana," katanya.
Tidak mahu terlibat dengan cinta lokasi, dia gemar menjadi pelakon yang profesional.
"Memang saya sering berlakon dengan pelakon-pelakon wanita yang cantik. Tetapi, saya menghormati mereka.
"Kalau boleh waktu kerja, biarlah fokus pada kerja sahaja. Lagipun, bimbang menimbulkan masalah kepada produksi pula," katanya.
Watak seiring usia
Enggan terlalu memilih watak dan menolak tawaran diberikan, dia bersyukur kerana setiap rezeki yang datang bertepatan dengan kehendaknya.
"Biasanya saya diberikan karakter-karakter remaja yang sesuai dengan usia.
Memang jarang saya menerima watak yang lebih tua daripada usia saya.
"Pemilihan watak memang penting, tetapi bergantung kepada keadaan juga. Setakat ini saya berpuas hati dengan mana-mana kerja yang telah dilakukan," katanya.
Selesa dengan peranan yang ringan dan tidak terlalu matang, Syafiq bagaimanapun, cenderung dengan peranan-peranan yang mencabar dirinya.
"Misalnya menerusi Married Tapi Benci, walaupun watak lelaki remaja yang terpaksa berkahwin kelihatan mudah, tetapi ia agak berat kerana saya perlu mengekspresikan karakter itu sebaik mungkin supaya tidak nampak bosan di mata penonton," katanya yang memainkan peranan sebagai jururawat lelaki menerusi Sekali Aku Jatuh Cinta.
Selain sibuk dengan kerjaya lakonannya kini, Syafiq juga membantu rakannya yang menjalankan perniagaan baju T.
"Saya ada pamerkannya di laman sosial. Sedikit sebanyak usaha saya dapat membantu pemasaran mereka," katanya yang bakal muncul menerusi drama bersiri Suamiku Paling Sweet untuk slot Akasia di TV3 tidak lama lagi.