DRAMA
 bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ yang bersiaran menerusi saluran Mustika HD dan Bella pada tahun 2013, pernah mencipta fenomenanya tersendiri.
Malah, drama 60 episod ini turut meninggalkan kesan yang amat mendalam di hati penonton kerana jalan cerita dan lakonan mantap kesemua pelakon yang terlibat.
Penamat yang membahagiakan dalam drama siri itu bukan sahaja dirasai oleh watak Jebat dan Mastura, tetapi hampir semua peminat drama ini.
Buat penonton yang merindui Jebat dan Mastura, kini khas buat mereka, Bukan Kerana Aku Tak Cinta diangkat ke layar perak menerusi tajuk Jebat.
Istimewanya, filem ini masih mengekalkan pelakon utamanya iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose. Gandingan serasi itu turut dibantu dengan barisan pelakon lain seperti Peter Davis (bintang Mixed Martial Art (MMA)), Carmen Soo, Sangeeta Krishnasamy, Idris Khan, Louisa Chong, Yap Chin Fong dan Rahhim Omar.
Sementara itu, filem yang diterbitkan oleh Astro dan produksi Pena Creative Pictures ini merupakan sentuhan filem pertama oleh pengarah Jamal Khan manakala skrip pula oleh Nik Naemah Najad Nik Mahir.
Menurut Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail, drama Bukan Aku Tak Cinta dipilih untuk dibawa ke layar perak kerana kejayaan drama siri ini.
“Di samping jalan cerita yang mampu mencuri hati penonton, watak utama Jebat dan Mastura turut memberi impak apabila ia sukar dilupakan oleh penonton.
"Buktinya, ketika drama ini disiarkan, penonton telah mewujudkan hashtag (#) #teamjebatmas sebagai tanda sokongan dan minat kepada dua watak dilakonkan oleh Sharnaaz dan Nelydia.
"Justeru, kami merasakan drama ini sesuai untuk dianjak ke layar perak dengan menawarkan jalan cerita yang lebih menarik dan elemen-elemen yang mampu melahirkan keterujaan penonton.
“Menariknya, jalan cerita yang ditampilkan dalam filem ini akan membawa penonton mengetahui latar belakang Jebat, di mana ia tidak didedahkan di dalam drama sebelum ini," katanya.
Kisah Jebat bermula apabila pasangan Jebat dan Mastura menghabiskan masa bersama di luar negara sempena hadiah berbulan madu mereka. Tetapi, baru beberapa hari mereka berada di sana, beberapa kejadian yang tidak disangka telah berlaku dan membuatkan Jebat mula risau dan yakin ada sesuatu yang tidak kena.
Jebat terpaksa menipu dan membuat helah untuk segera pulang ke Malaysia atas alasan kecemasan keluarga. Mastura mula curiga, tetapi tetap akur dengan kehendak suami.
Sebaik tiba di Malaysia, Jebat menuju ke tempat pakciknya yang merupakan sarang gengster yang telah lama dia tinggalkan. Jebat mendapat tahu ada seseorang ingin membunuhnya tetapi mengapa?
Adakah Jebat akan kembali ke dunia gengster lamanya? Mampukah Jebat terus menyimpan rahsia tentang dirinya dari Mastura
?