RAMADAN
 bukan sahaja menjanjikan 1001 ganjaran pahala kepada umat Islam, malah kedatangannya membuka pintu rezeki kepada ramai peniaga.
Tidak hairanlah jika ramai yang bergelar peniaga ketika Ramadan dan menjalankan pekerjaan lain di luar bulan mulia ini.
Malah, ada di kalangan peniaga ini mampu menjana pendapatan berlipat kali ganda di bulan Ramadan ini berbanding bulan-bulan biasa.
Perkara ini turut diakui pengusaha karipap mini di sini, Tengku Pelidah Tengku Ali, 47, apabila mendedahkan waktu kemuncak terhadap perniagaan dijalankan ialah menjelang musim perayaan.
Permintaan meningkat
Menurutnya, berbanding hari-hari biasa, dia yang dibantu suami Nik Azman Nik Yahya, 57, dan anak, Nik Nur Kartika, 26, selain empat pembantu perlu menyediakan antara 10,000 hingga 15,000 biji karipap mini seminggu untuk pasaran penduduk setempat.
“Sebaliknya menjelang musim perayaan, jumlahnya meningkat berkali ganda apabila mereka perlu menyediakan antara 5,000 hingga 6,000 biji sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang dari dalam dan luar negeri ini.
“Perbezaan memang cukup ketara kerana permintaan begitu tinggi apabila ramai yang menjadi orang tengah dalam memasarkan karipap mini saya sehingga berjaya dipasarkan di luar dari negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Hutan Banggol di sini, baru- baru ini.
Menurutnya, walaupun ia bermusim, pendapatan diperoleh ketika musim perayaan terutama Aidilfitri begitu memberangsangkan sesuai dengan keberkatan bulan Ramadan ini.
Tengku Pelidah yang lebih mesra disapa sebagai Ku Ida berkata, situasi itu bukan sahaja melipat gandakan rezekinya, malah secara tidak langsung ia turut dikongsi dengan orang tengah yang bertanggungjawab memperkenalkan karipap mininya kepada umum.
Mengulas mengenai perniagaannya yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu, Ku Ida berkata, dia bermula dengan hanya membantu memasarkan karipap mini yang diusahakan ibu dan adik beradiknya.
Bagaimanapun disebabkan permintaan yang tinggi, dia yang sebelum ini merupakan suri rumah sepenuh masa nekad mengusahakan sendiri selepas dinasihatkan ibu dan ahli keluarga lain.
Berbekalkan modal simpanan sebanyak RM1,000, dia memulakan langkah lebih serius dengan mengusahakannya secara kecil-kecilan, sebelum diusahakan secara serius sehingga menjadi antara sumber utama pendapatan keluarganya.
Beli mesin, cepatkan proses penghasilan
Ku Ida berkata, pada awalnya, perusahaan tersebut lebih kepada ‘family business’ apabila dijalankan secara bersama dengan suami dan anak-anak.
Namun, kerana komitmen anak- anak yang lebih besar terhadap pelajaran, kini hanya dia, suami dan anak sulung mereka, Nik Nur Kartika sahaja meneruskan perusahaan tersebut dengan bantuan pembantu.
Ku Ida berkata, selain dibantu tenaga kerja yang terdiri dalam kalangan penduduk kampung, dia turut menggunakan beberapa jenis mesin seperti (mesin) penipis, penebal dan pengadun untuk mempercepatkan lagi proses penghasilan karipap mininya.
“Kemudahan yang ada ini amat membantu saya memenuhi permintaan pelanggan yang datang dari dalam dan luar negeri ini.
Bercakap mengenai persaingan pula, Ku Ida berkata, walaupun ramai yang mengusahakan perusahaan karipap mini sepertinya, dia tidak bimbang kerana yakin setiap orang ALLAH SWT sudah tetapkan rezeki masing-masing.
“Saya percaya dengan rezeki yang telah ditentukan, tak dapat tidak memang ada persaingan, tapi tak apa, rezeki masing-masing,” katanya.
Pemilik Ku Ida Enterprise ini mengakui, kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada perusahaannya, namun segala-galanya perlu dilalui kerana ia sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi.
“Kami juga menyediakan penghantaran ke seluruh negara, dan kebiasaannya menggunakan perkhidmatan bas. Ada juga pelanggan berasal dari negeri ini tetapi menetap di luar, mereka bantu pasarkan di tempat masing-masing, ” katanya.
Air tangan ‘dijenama’ semula
Dalam mengembangkan lagi perusahaan karipap mininya, Ku Ida tidak ralat untuk membenarkan air tanganannya ‘dijenamakan’ semula sehingga ada dalam kalangan pelanggan memasarkannya menggunakan jenama sendiri dengan ‘packaging’ diinginkan.
Menurutnya, dia tiada sebarang masalah dengan pendekatan tersebut kerana percaya setiap individu mempunyai strategi pemasaran masing-masing dalam mengembangkan perniagaan dijalankan.
“Ada yang pasarkan karipap mini ini dengan jenama sendiri, buat ‘packaging’ sendiri dengan harga yang diputuskan mengikut kesesuaian mereka,” katanya.
Hasilkan sendiri inti
Bagi memastikan keaslian rasa karipap mininya terus terpelihara, Ku Ida memilih untuk menghasilkan sendiri intinya menggunakan ikan-ikan segar yang dibeli daripada pembekal ikan di Genting Tumpat.
Inti yang padat menambahkan lagi kelazatannya, di samping kerangupan karipap itu sendiri kerana umum mengetahui ‘kekuatan’ kuih jenis ini terletak pada intinya, sebab itulah karipap mini dihasilkan Ku Ida mempunyai rasa tersendiri.
Masalah kekurangan bekalan ikan segar salah satunya disebabkan cuaca akan mengganggu urusan penyediaan inti, bagaimanapun Ku Ida sentiasa mengambil langkah terbaik bagi memastikan inti karipap mininya sentiasa mencukupi dan dapat memenuhi permintaan pelanggan
.