PENERBIT Akademi Silat Pendekar Muda 2016, Tengku Muhammad Ismail Tengku Ibrahim berkata, pihaknya akan terus belajar daripada kelemahan ini dan akan mencuba memperbaikinya pada masa depan.
“Kita hanya beri apa yang termampu. Tujuan kita hanyalah mahu meraikan golongan ini,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, katanya, ia tidak menghalang kepada penerbitan program seumpama itu pada masa depan.
“Sebagai golongan pesilat, kami harap mereka akan berbuat sesuatu untuk mengembalikan semula kegemilangan warisan budaya Melayu ini.
“Kami hanya berusaha promosi seni silat itu sendiri agar tidak ditelan dek zaman sehingga terus dilupakan,” katanya.
Tengku Muhammad Ismail yang juga Pengurus Jabatan Penerbitan Islam TV AlHijrah berkata,  program realiti itu turut menerangkan justifikasi sebenar ilmu persilatan.
"TV Alhijrah hanya mahu meraikan seni silat ini supaya ia tidak terus tenggelam dek zaman. Kita juga mencuba untuk membawa silat kepada satu tahap yang lebih tinggi sama seperti seni pertahanan diri yang lain.
“Silat bukanlah hanya untuk golongan pesilat sebaliknya perlu diterjemah dan dipertontonkan kepada masyarakat umum kerana ia berpotensi menarik lebih ramai anak muda untuk mengenali seni silat yang sebenar,” katanya.
Mengakui penerbitan program sedemikian menelan kos tinggi, program tersebut adalah cubaan untuk  mengetengahkan variasi seni silat daripada latar belakang yang berbeza bagi membolehkan penonton mengenali dan memahami seni mempertahankan diri itu lebih mendalam.
“Kami sangat menghormati setiap perguruan silat yang ada bahkan kami turut menjalankan pelbagai rujukan sebelum menerbitkan rancangan tersebut.
"Malah, orang kuat di belakang kita juga golongan pesilat sendiri. Namun, jika ada kesilapan, seperti saya katakan, kami sedia lakukan penambahbaikan," katanya.
Katanya, selepas program ini berlangsung, semua gelanggang silat yang sepi sebelum ini sudah mula didatangi murid-murid baharu untuk mempelajari seni silat.
“Program ini inisiatif bagi menarik kembali minat anak muda Melayu kepada seni pencak silat,” katanya.
Beliau turut berharap masyarakat akan lebih bersifat terbuka sebagai usaha memartabatkan seni silat melalui pendekatan kreatif dan moden.
"Masyarakat umum terutamanya golongan pesilat harus meluaskan lagi skop pemikiran masing-masing. Seringkali, seni silat dianggap sebagai sesuatu yang menyalahi sesuatu hukum hakam dalam ajaran agama Islam.
“Padahal ia hanyalah salah faham dan tidak pula diterangkan dengan betul. Silat sejenis seni pertahanan diri digunakan masyarakat Melayu dan  mampu berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.