SUNGAI BESAR - Tak kenal maka tak cinta - begitu perumpamaannya Sungai Besar ini yang mempunyai pelbagai produk pelancongan yang cukup menarik untuk dikunjungi, antaranya Masjid Jin.
Terletak kira-kira lapan kilometer dari pekan Sungai Besar, Masjid Lama Panchang Bedena ini yang dibuka sejak 1905, bukan sahaja mempunyai 1001 misteri, tetapi juga seni bina yang cukup menarik untuk diteliti.
Cerita-cerita mistik yang berlaku di masjid ini antaranya pengalaman aneh pengunjung masjid yang mendengar suara berzikir walaupun masjid berkenaan kosong ataupun beralih tempat duduk dan tidur, sememangnya sering menjadi buah mulut masyarakat tempatan mahupun pengunjung masjid itu.
Menurut Pengerusi masjid, Shamsul Kamar Samad, 44, nama Masjid Jin juga diperoleh susulan cerita-cerita itu yang tersebar secara lisan (disampaikan dari mulut ke mulut).
"Perkara itu berlaku sejak kian lama lagi, tapi itu bukan bermakna masjid berkenaan berhantu cuma ia memberi peringatan kepada semua orang agar berhati-hati dalam percakapan dan perbuatan dalam masjid itu.
"Biasalah orang yang melawat di sini, nak tengok apa yang 'jinnya' sebab itu mereka dikacau. Saya dah berpuluh tahun menjaga tempat ni dan kenapa saya tidak rasa apa-apa seperti orang lain, lagi-lagi ini kan rumah Allah kenapa harus gentar," katanya kepada Bernama.
Selain kisah-kisah misteri, keistimewaan masjid yang didirikan secara gotong-royong oleh penduduk kampung Api-Api Muda (kini Panchang Bedena) turut terletak pada seni binaannya yang tersendiri.
Antaranya, menurut Shamsul, lantai asal masjid itu diperbuat daripada daun nipah dan tiangnya daripada batang nibung selain keindahan seni ukiran kayu di setiap penjuru masjid itu.
"Orang dulu-dulu memang mengutamakan keistimewaan sesuatu tempat yang dihasilkan oleh mereka dan jika dilihat setiap ukiran kayu yang diukir cukup terperinci, malahan setiap potongan kayu juga cukup sempurna," katanya.
Bagaimanapun, katanya seusai usianya, masjid berkenaan turut melakukan beberapa pengubahsuaian, termasuk lantai masjid yang kini sudah ditukar kepada lantai kayu.
Shamsul yang meneruskan legasi keluarganya bagi mengambil-alih urusan pentadbiran dan keselamatan masjid itu, turut menzahirkan penghargaan kepada sesetengah pihak yang menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan tenaga kerja demi mengekalkan keaslian setiap inci seni bina masjid berkenaan.
Keistimewaan seni bina Masjid Jin itu turut menarik sekumpulan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Sains daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk mengunjungi Masjid Jin bagi mengkaji seni bina masjid berkenaan.
Ketua program masjid lama Islamic Heritage of Selangor's Architectural Notion (IHSAN), Ersyad Jailani, 22, ketika ditemui di masjid berkenaan berkata dia dan rakan sekelas merasa cukup bertuah kerana terpilih oleh pensyarah mereka untuk melakukan kajian mengenai warisan turun-temurun Masjid Jin itu.
"Kami dalam 18 orang terpilih untuk mengkaji setiap struktur pembinaan, mahupun penjuru-penjuru di masjid ini. Kami ukur, tekap dan olah bentuk yang sama untuk dijadikan bahan projek pameran 'Xaviheritage 16' di Kulliyyah of Architecture and Enviromental Design (KAED), UIA Gombak kelak," katanya.
Kini, masjid ini diletakkan oleh kerajaan negeri Selangor di bawah pemantauan pihak muzium negeri yang keunikannya akan sentiasa terpelihara di samping menerapkan ciri-ciri tradisional.