BELUM pun sedekad mewarnai industri seni, penyanyi bertubuh genit, Mila Jirin membuat keputusan sukar dalam hidupnya.
Memilih untuk fokus di dalam bidang perniagaan dan meletakkan karier seni hanya sebagai hobi pada masa lapang.
Bagaimanapun keputusan itu dibuat bukan kerana merajuk ataupun jemu, sebaliknya, anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini perlu memikirkan sesuatu yang menjamin masa depannya.
"Minat dalam bidang hiburan masih menebal, tetapi saya perlu fokus dalam bidang perniagaan yang sudah saya ceburi selama tujuh tahun ini.
"Bukanlah saya ingin meninggalkan dunia hiburan yang menjadi platform buat saya, tetapi saya juga perlu fikirkan sesuatu yang lebih menjamin masa depan saya, ternyata rezeki saya terarah kepada perniagaan dan ini adalah masa depan saya," katanya yang ditemui baru baru ini di majlis 'food review' bertempat di Bizmilla Wedding Hall, One City Subang.
Dalam majlis itu, Mila turut melancarkan bufet 'Berbuka Puasa dengan Bizmilla Catering' di Event Place, Level 4, The Place @ One City, Jalan USJ 25/1, One City Subang yang sudah bermula sehingga 1 Julai nanti.
Mila yang berkahwin pada 11 November 2015 lalu, ternyata lebih selesa bergelar usahawan dan pengarah urusan syarikat Bizmilla Catering, Bizmilla Wedding Hall, Bizmilla Trading dan Restoran Embun Urai.
Ditanya mengenai perniagaan, ternyata wanita berusia 28 tahun ini sangat sibuk menguruskan pelbagai aktiviti syarikat.
“Bufet Berbuka Puasa ini berkonsepkan 'Berbuka Puasa di Desa'. Menu Utama yang disediakan berkonsepkan masakan ala kampung dan menu sampingan masakan antarabangsa serta diserikan lagi dengan konsep warung.
"Lebih 150 menu istimewa dihidangkan termasuk kambing golek dengan sos istimewa dan kami sediakan makanan dengan harga yang murah iaitu RM69 (Dewasa) untuk tempahan 10 orang ke bawah dan RM55 (Dewasa) untuk tempahan 11 orang dan ke atas.
"Bagi tempahan berkumpulan pula Bizmilla Catering menawarkan harga istimewa di pasaran iaitu RM50 untuk 100 orang dan ke atas.
"Selain harga yang ditawarkan amat berpatutan, Dewan 'Event Hall' yang berhawa dingin dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang makan yang selesa, ruang solat yang besar di Bizmilla Wedding Hall, tempat letak kereta yang banyak serta persembahan istimewa daripada kumpulan tradisional Ghazal," jelasnya.
Tambah Mila, kepada pembaca yang ingin mendapatkan baucar bufet berbuka puasa dari Bizmilla Catering, anda boleh terus melayari www.bizmillacatering.com/berbukapuasa.