DEMI minat mendalam terhadap bidang seni, penyanyi kelahiran Filipina ini sanggup merantau ke Malaysia hanya untuk melebarkan bakatnya.
Cuba mencari ruang dan peluang di sini, Kris Patt atau nama sebenarnya Mary Cris Pateno Faustino sebenarnya mula menyanyi sejak usianya tujuh tahun.
Memilih bidang nyanyian bukan hanya minat malah desakan hidup menjadi titik tolak buat anak sulung daripada tiga beradik ini menjalani karier tersebut sebagai punca pendapatan untuk menyara keluarganya.
Disebabkan itu juga, penyanyi berusia 27 tahun itu terpaksa melupakan hasrat untuk melanjutkan pengajian selepas tamat peringkat sekolah tinggi.
“Saya tidak dapat menyambung pelajaran kerana ibu tidak mampu membiayai pengajian. Saya terus mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian untuk membantu ibu menyara keluarga kami.
“Demi mencari pengalaman dan peluang lebih baik, saya mencuba nasib di sini. Saya datang ke Kuala Lumpur dan berpeluang menyanyi di beberapa hotel terkenal di negara ini," katanya yang ditemui baru-baru ini.
Selepas menimba banyak pengalaman dan melihat dunia hiburan tanah air kian rancak, Kris berhasrat menghasilkan album.
Pucuk dicita, ulam mendatang, impian Kris itu tercapai selepas pihak Melodi United yang menyaksikan persembahan Kris di sebuah hotel terkemuka di ibu kota tertarik dengan nyanyian dan gaya persembahannya.
Selepas berbincang mereka menawarkan Kris untuk menghasilkan single pertamanya, Berhenti Menantimu.
Apa yang istimewa, lagu pertamanya itu adalah ciptaan Tam Spider dan liriknya diilhamkan oleh penyanyi terkenal Indonesia, Yuka Kharisma.
Gabungan tiga negara Malaysia, Indonesia dan Filipina itu juga diharap akan melonjakkan nama Kris di persada muzik tanah air.
Yakin diterima
Mengulas mengenai perkara tersebut, Kris mengakui keterbukaan industri muzik Malaysia dalam menerima bakat luar membuatkan dirinya yakin untuk memulakan langkah pertamanya di negara ini.
“Saya lihat industri hiburan Malaysia terbuka menerima kehadiran orang luar dan ini menguatkan lagi keyakinan saya.
“Disebabkan itu juga saya memilih untuk merakamkan single pertama dalam bahasa Melayu kerana sepanjang menyanyi di hotel, saya banyak menyanyikan lagu Melayu kerana ramai pengunjung terdiri daripada orang Melayu.
“Saya boleh faham bahasa Melayu sedikit-sedikit kerana ada perkataan dan makna bahasa itu yang hampir sama dengan bahasa ibunda saya di Filipina. Tidaklah begitu sukar apabila saya mahu merakamkan lagu Melayu," katanya.
Kris beranggapan dirinya bertuah kerana sering dibantu oleh Tam Spider sepanjang proses rakaman single pertamanya itu.
"Saya merakamkan lagu Melayu kerana ingin berbeza daripada penyanyi lain.
“Paling penting saya percaya dan yakin mampu menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dengan baik. Ketika rakaman, Tam Spider banyak membantu saya menghayati setiap bait lirik lagu itu agar dapat disampaikan dengan penuh penghayatan,” katanya yang menjadikan Dayang Nurfaizah dan Hazami sebagai inspirasi karier nyanyiannya.