SAMBUTAN Hari Bapa bakal tiba 16 Jun ini. Mungkin kerana itu, pelbagai video berkaitan insan bergelar bapa ini dimuat naik di laman sosial khususnya Facebook dan YouTube.
Menariknya, video-video yang dimuat naik itu mempunyai mesej tersendiri yang hendak disampaikan.
Terkini sebuah video yang dimuat naik di Facebook oleh bobsingah72@gmail.com benar-benar menyentuh perasaan si penonton.
Dengan jumlah terkini tontonan 1,208,457 video ini memaparkan kasih sayang antara anak terhadap bapanya, begitu juga sebaliknya.
Si anak betah melayan ayahnya yang mengalami strok untuk singgah makan di sebuah kedai. Tidak disengajakan, tangan si ayah menepis sudu hingga terkena seorang gadis yang kebetulan lalu di situ. Selepas diherdik gadis berkenaan, si anak tetap melayan ayahnya seperti biasa.
Dengan muzik latar nyanyian Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Kasih Ibu, video ini benar-benar terkesan. Lebih mengharukan apabila usaha si ayah menyuap makanan untuknya, sedangkan kudratnya tidak berdaya. Dengan linangan air mata si ayah, ia mengimbau saat dia masih muda di mana perkara itu memang sudah biasa dilakukan untuk anaknya.
Di sebalik perjalanan video itu, sememangnya ia berjaya menyentuh emosi setiap penonton.
Bayangkan, jika kita sendiri berada di tempat tersebut, sudah pasti jiwa meruntun berhadapan dengan seorang bapa yang masih mahu berkorban dan menunjuknya kasihnya kepada kita walaupun dia tidak berupaya.
Malah, sifat kasih antara anak dengan bapa yang ditonjolkan membawa mesej sarat betapa keduanya saling memerlukan di dunia ini.
Jika hendak dibandingkan jasa bapa terhadap anak mereka, sudah pasti tidak dapat diatasi.
Kerana itu, jelas dinyatakan menerusi video ini, untuk kita sentiasa menghargai dan menghormati mereka.
Jangan ketinggalan menyaksikan video penuh keinsafan ini.