Saturday, June 11, 2016

Kejayaan Konsert Lalu Bakal Bawa Ella Ke Tokyo



Ella bakal mengadakan konsert di Hard Rock Cafe Tokyo, Jepun.
PETALING JAYA: Selepas berjaya dengan penganjuran konsert terbesarnya dalam tempoh 15 tahun pada April lalu, ratu rock negara, Ella bakal mengadakan pula konsert di Tokyo, Jepun.

Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 50, berkata, persembahan istimewa itu akan diadakan di Hard Rock Cafe Tokyo bersempena siri jelajah Hard Rock Tour termasuk di Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar saya akan mengadakan persembahan di Tokyo namun pihak kami masih belum menetapkan sebarang tarikh.

"Berkemungkinan ia akan diadakan pada penghujung atau awal tahun hadapan," katanya.
Ella berkata, siri jelajah itu diadakan bersempena pelancaran album terbaharunya yang dijangka berada di pasaran pada November depan.
Ella kini sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya.
Dalam pada itu, Ella berkata, sepanjang Ramadan ini dia akan lebih banyak menghabiskan masa di studio bagi menyiapkan album berkenaan yang kini sudah 80 peratus siap.

Jelasnya, menerusi album tersebut dia juga ada menyumbangkan sebuah lagu selain bekerjasama dengan komposer terkenal seperti Edry Abdul Halim, Sam (Bunkface), Datuk M.Nasir, Omar K dan Audi Mok.

"Ada lapan buah lagu yang akan dimuatkan dan tinggal dua lagu masih belum dirakamkan dan akan cuba siapkan sebelum hari raya.

"Saya juga ada mencipta sebuah lagu tetapi masih belum dipastikan sama ada ia akan dimasukkan dalam album berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ella berkata, dia yakin untuk mengeluarkan album penuh meskipun penjualan album ketika ini agak lembap kerana ingin memenuhi permintaan peminatnya.

"Apabila menghasilkan sebuah album penuh ia memberi kepuasan kepada peminat dan apa yang saya lakukan ini adalah untuk mereka.

"Insya-Allah dengan strategi dan promosi yang betul album itu nanti akan mendapat perhatian," ujarnya.

Tambah Ella, sebagai mengikut peredaran teknologi album itu nanti turut dilancarkan menerusi platform digital selain berbentuk fizikal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: