PROGRAM Akademi Silat Pendekar Muda 2016 yang berakhir beberapa minggu lalu berjaya menampilkan kelainannya tersendiri.
Dengan objektif utama program realiti terbaharu terbitan TV AlHijrah itu adalah sebagai mengembali dan memartabatkan seni pencak silat di negara ini.
Mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Pertubuhan Daie Muda (PDM), program yang berlangsung selama 90 minit itu turut menampilkan selebriti serba boleh, Jimmy Shanley sebagai pengacara.
Lebih bermakna, program realiti seni bela diri pertama ini berjaya menobatkan Ahmad Syahmi Shaari sebagai juara dan membawa pulang hadiah RM100,000.
Namun begitu, di sebalik kejayaan program ini, terselit perkara yang perlu diakui pihak penerbitan untuk memantapkan mutunya seumpama ini pada masa depan.
Beberapa kesilapan perlu diteliti semula daripada pihak pengurusan agar ia akan terus menyemarakkan program ini ke peringkat lebih tinggi.
Naratifnya, dengan penganjuran untuk memartabatkan seni persilatan negara, lenggok bahasa pengacaraannya perlu diperbaiki agar tidak nampak ini adalah rancangan hiburan.
Dengan gaya persembahan itu, ia seakan lari dari maksud sebenar penganjurannya.
Profesor Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Tan Sri Profesor Dr Abdul Latiff Abu Bakar berpendapat, busana peserta silat ini tidak menampakkan mereka adalah pesilat.
"Saya lihat program ini begitu besar impaknya. Daripada segi busana, saya melihat perlu ada penelitian terperinci perlu dilakukan.
"Ini kerana, setiap pahlawan mempunyai pakaiannya tersendiri. Adakalanya pakaian peserta silat ini seperti tidak sesuai dengan konsep program. Perlu diingat, pakaian antara golongan raja dan pahlawan adalah sangat berbeza," katanya.
Beliau berkata, dengan cara itu, format program realiti itu dilihat lebih ke arah mencari populariti sekali gus mengganggu martabat silat itu sendiri.
“Penerbitan program seumpama ini sewajarnya dipuji kerana ia satu inisiatif yang bagus dalam memartabatkan warisan budaya peradaban Melayu.
“Tetapi, formatnya itu perlulah diubah sedikit dan janganlah terlampau mengejarkan populariti. Lagipun, rancangan ini bukanlah berbentuk hiburan sepenuhnya.
“Silat hanyalah silat iaitu seni pertahanan diri yang penuh dengan kesopanan dan tata kesusilaan,” katanya kepada Zass.
Katanya, adalah penting mengekalkan keagungan seni silat yang melambangkan budi, budaya serta peradaban Melayu yang unik.
“Saya ada menerima luahan dan teguran daripada beberapa guru silat yang tidak puas hati dengan cara persembahan yang ditampilkan.
“Mengenai soal pengacaraan, mungkin lebih baik diketengahkan dalam kalangan pesilat sendiri.
“Saya rasa hanya mereka (pesilat) memahami mengenai silat dan erti kesopanan. Silat ini penuh kesopanan walaupun ia satu perlawanan, namun, ia juga kesenian,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Latiff yang juga adalah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mencadangkan satu kajian dan penyelidikan terperinci bersama pakar dijalankan pada masa depan bagi meningkatkan kualiti penganjuran.
Perkara sama turut dipersetujui Timbalan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio- Budaya Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Yahaya Ibrahim.
Beliau berpandangan, satu kajian terperinci perlu dilakukan demi melihat daripada segi apa yang ingin ditonjolkan kepada audiens.
“Terdapat pelbagai cara dan kaedah dalam menonjolkan sesuatu perkara itu.
“Namun, ia sebenarnya bergantung kepada siapa sasaran audiens yang ditetapkan," katanya.
Silat adalah antara seni pertahanan diri dan seharusnya diletakkan sama taraf dengan lain.
“Apabila disebut seni pertahanan diri, terdapat pelbagai program mengenainya di televisyen.
“Namun, kebanyakannya adalah seni pertahanan diri daripada luar seperti taekwando, karate, tinju, judo dan sebagainya. Kesemuanya, bagaikan nampak hebat apabila dipertontonkan.
“Kenapa ia nampak hebat? Sebab ia dipertontonkan supaya nampak hebat apatah lagi dengan penampilan sang hero,” katanya.
Oleh itu, katanya, adalah perlu untuk seni silat ini diketengahkan penuh kreativiti demi menarik perhatian audiens terutamanya golongan muda.
“Sebenarnya, jika diteliti, tidak banyak program TV yang melibatkan silat. Jadi, adalah perlu menunjukkan bagaimana silat itu digunakan bagi mengalahkan musuh selain tampil dengan lebih kreatif,” katanya.
Bahkan, katanya, tiada kesalahan untuk mempopularkan semula tetapi biarlah kena pada caranya.
“Kebanyakan silat ini mempunyai pertunjukan dalam majlis tertentu apatah lagi dengan penggunaan busana yang bersesuaian.
“Boleh popularkan seni ini, contohnya dalam bentuk sukan iaitu silat olahraga selain kerap menampilkan bunga langkah yang luar biasa dan jarang sekali dipertontonkan.
“Biarlah ia menjadi satu seni pertahanan diri yang hebat apatah lagi seni silat bukanlah mudah untuk dipelajari kerana memerlukan gerak langkah tersendiri dan istimewa,” katanya.
Katanya, adalah penting untuk terus mengekalkan seni silat yang menjadi ‘kebahagiaan’ kepada seluruh masyarakat terutamanya orang Melayu.
“Ini adalah program realiti silat pertama diperkenalkan. Saya percaya dengan niat baik akan menghasilkan sesuatu yang bagus.
“Ini kerana bukan semua orang tertarik perkara sebegini sehinggalah ia menjadi program popular seterusnya ramai akan mempunyai pandangan yang lebih positif,” katanya.