BERHENTI daripada kerjaya sebagai penyampai radio setelah 10 tahun berkhidmat adalah keputusan yang tepat buat dirinya.
Apatah lagi kehidupannya kini tidak lagi terikat dengan jadual masa yang padat sekaligus berpeluang memperluaskan lagi pengalamannya dalam pelbagai bidang.
Selain masih menjalani karier pengacaraan dan menghadiri majlis-majlis seni, Fara Fauzana dilihat lebih aktif melibatkan diri dalam program-program Islamik.
Terbaharu, bekas penyampai radio Hot FM itu dilantik sebagai duta kempen A Tile For Seville yang diwujudkan bagi mengutip dana untuk pembinaan masjid pertama di Sevilla, Sepanyol.
Projek hasil kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ukhwah For Ummah dengan Foundation Mezquita De Sevillalebih menyasarkan RM82 juta.
Pelantikan itu juga memberi peluang kepada pengacara berusia 36 tahun ini melihat sendiri keadaan serta keperluan bandar tersebut.
“April lalu, saya menyertai lawatan ke Sevilla dan sepanjang berada di sana, saya sendiri melihat perjuangan orang Islam mempertahankan agama.
“Nasib mereka di sana sangat jauh berbeza dengan masyarakat Islam di sini yang sememangnya bebas untuk menjalani kehidupan harian dan beribadah.
“Kemudahan mereka di sana amat terhad sedangkan masyarakat Islam mencecah 25,000. Jika ada pun keadaannya amat menyedihkan dan terlalu banyak halangan untuk mereka mendirikan masjid.
“Atas sebab itu saya memberi sokongan penuh terhadap projek ini dan mengharapkan yang terbaik untuk membantu masyarakat di sana membina rumah ALLAH,” katanya baru-baru ini.
Selain Fara, projek ini turut disertai tiga selebriti iaitu Diana Amir, Heliza Hilmi serta Fynn Jamal.
Beralih kepada perkembangan lain, Fara yang mesra di sapa Fafau mengakui semakin selesa menjalani kehidupannya kini.
“Alhamdulillah, semuanya lebih teratur walaupun ada kalanya sibuk. Apa yang penting, saya ada masa untuk diri sendiri.
“Saya juga berkesempatan melakukan aktiviti-aktiviti yang sebelum ini tidak dapat saya lakukan seperti mengembara bersama kawan-kawan dan menghadiri kuliah agama.
“Masa bersama keluarga pun lebih banyak dan sekarang tidak hanya tertumpu kepada kerja semata-mata,” katanya.
Rindu konti
Biarpun sibuk dengan kehidupan baharu, Fara akui adakalanya terasa rindu dengan suasana bekerja di konti bersama teman-teman.
Mengakui jiwa radionya masih kuat, Fara tidak menafikan, suatu hari nanti dia akan kembali beraksi di konti radio.
“Ramai peminat yang luahkan perasaan rindu kepada saya, tetapi sebenarnya saya lagi rindu untuk berinteraksi bersama mereka.
“Namun kerinduan itu sedikit terubat apabila saya melakukan aktiviti-aktiviti yang melibatkan ramai orang,” katanya.
Tambah Fara, walaupun dirinya sentiasa bersedia untuk kembali, namun hasrat itu bukanlah perancangan dalam masa yang terdekat.
“Sebelum ini saya ambil keputusan untuk berhenti bukannya bersara. Saya memang ada hasrat untuk kembali bertugas sebagai penyampai radio tetapi bukanlah masa ini.
“Mungkin dua tahun lagi saya akan pertimbangkannya. Lagipun saya masih memerlukan masa untuk fikirkan hal seperti ini,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.