SUNGAI PETANI - Seorang pemilik dusun durian kerugian kira-kira RM10,000 selepas 150 biji durian pelbagai jenis di dusunnya yang terletak di Gurun, dekat sini, dicuri awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata kejadian itu hanya disedari selepas mangsa yang berusia 44 tahun itu membuat rondaan antara  5 pagi dan 7 pagi tadi.
"Mangsa membuat rondaan pada 5 pagi dan mendapati buah yang luruh tiada dan rondaan pada 7 pagi pula mendapati terdapat kesan pagar dipotong.
"Siasatan awal mendapati terdapat lima pekerja berada di dusun itu ketika kejadian dan mereka sedang tidur tanpa menyedari berlakunya kecurian," katanya kepada Bernama, hari ini.
Md Zukir berkata dusun milik mangsa seluas 12.14 hektar itu berpagar dan mempunyai 2,000 pokok durian termasuklah jenis Musang King, 101, Duri Hitam dan durian kampung.
"Terdapat tiga seksyen A, B dan C, dan kejadian kecurian dipercayai hanya berlaku di kawasan A dan C yang terletak di kawasan terpencil dan agak jauh dari jalan utama," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.