Wednesday, October 22, 2014

Zul Ariffin tenang beri kenyataan

ZUL turut menafikan dakwaan dihadiahkan sebuah kereta mewah oleh kekasihnya, Gayatri, sebaliknya mengaku membeli sebuah kereta jenis Audi A5 untuk diri sendiri.


KECOH awal bulan Oktober lalu apabila sekeping foto pelakon drama bersiri popular Rindu Awak 200%, Zul Ariffin berpelukan dengan seorang gadis tidak dikenali di sebuah pusat hiburan di Langkawi, Kedah tersebar di internet.
Foto yang telah tersebar di internet itu menunjukkan Zul yang memakai kemeja-T biru memeluk seorang gadis yang hanya memakai baju tanpa lengan berwarna hitam.
Belum pun terjawab persoalan mengenai gambar tersebut, terbaharu, Zul didakwa menerima sebuah kereta mewah jenis Maserati daripada kekasihnya, Gayatri Su-Lin Pillai baru-baru ini selepas beberapa keping foto dimuat naik di laman sosial Instagram masing-masing.
Selepas dua spekulasi tersebut menjadi buah mulut orang ramai di internet, Zul bagaimanapun masih belum memberikan sebarang kenyataan kepada media bagi menjelaskan perkara sebenar.
Bertemu dengan pelakon filem Jin itu pada majlis ramah mesra pengacara Anugerah Skrin 2014 di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor, Kosmo! mendapatkan keterangan lanjut daripada Zul.
Kosmo!: Seperti diketahui umum, selepas sekeping foto Zul dan seorang gadis berpelukan di sebuah pusat hiburan di Langkawi tersebar, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh anda. Adakah perkara itu benar?
ZUL ARIFFIN: Ya, saya mengaku ada mengunjungi pusat hiburan di Langkawi ketika sedang menjalani penggambaran drama bersiri Istikharah Cinta awal bulan ini untuk menyaksikan persembahan live band malah, saya juga ada mengambil gambar bersama beberapa peminat perempuan ketika di lokasi tersebut. Memang gambar yang telah tersebar itu sedikit melampau namun ingin saya tegaskan dia cuma salah seorang daripada peminat saya yang bertemu secara kebetulan di sana.
Apakah tindakan anda sejurus mengetahui akan hal tersebarnya foto tersebut?
Saya segera menghubungi keluarga saya dan Gayatri (Su-Lin Pillai) untuk menerangkan perkara tersebut agar mereka tidak terkejut apabila mendengar berita berkenaan nanti.
Bagaimanakah reaksi Gayatri (kekasih) selepas dimaklumkan mengenai hal itu?
Dia memahami dan sedikit terkejut namun kami tidak bergaduh pun. Dia pun tahu ramai peminat saya yang gemar merakamkan foto bersama saya dalam keadaan ekstrem.
Menjadi individu popular pastinya memberikan kesan sama ada positif dan negatif. Adakah spekulasi ini menjejaskan reputasi anda?
Sudah tentu ia memberikan kesan kerana orang sekeliling akan menilai saya daripada semua segi. Saya akui itu kesilapan saya dan belajar untuk tidak mengulanginya lagi.
Adakah tindakan tersebarnya foto itu mengundang tanda tanya kepada anda bahawa ada pihak tertentu mahu menjatuhkan karier anda?
Saya tidak salahkan sesiapa tetapi saya menganggap semua peminat saya harus dilayan dengan baik. Sudah pasti mereka teruja untuk memuat naik foto apabila bertemu dengan individu yang mereka minati. Saya tiada masalah asalkan mereka gembira.

GAMBAR Zul memeluk seorang peminat di kelab malam di Langkawi telah mencetuskan kontroversi terhadap pelakon tersebut. Zul bagaimanapun tidak lari, sebaliknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap apa yang telah berlaku.


Dengan tercetusnya isu ini, ada yang menilai anda seorang yang gemar bersosial. Apakah komen anda?
Saya jarang berparti, kalau ada pun mengunjungi pusat hiburan untuk menyaksikan live band namun sejak akhir-akhir ini saya terlalu sibuk maka saya tiada masa. Kebetulan ketika di Langkawi saya sempat ke sana sekejap.
Selepas tersebar foto itu, mengapakah anda sukar dihubungi? Adakah anda cuba melarikan diri daripada menjelaskan hal sebenar?
Saya tidak tertekan sebaliknya individu di sekeliling saya yang membuatkan situasi itu tegang. Selagi keluarga saya tiada masalah maka saya okey. Saya bukan orang yang suka mengelak daripada menjelaskan perkara sebenar.
Selain penyebaran foto, isu Gayatri menghadiahkan sebuah kereta mewah jenis Maserati juga tersebar. Adakah dakwaan itu benar?
Tidak. Kalau dia mahu sudah tentu dia akan belikan untuk dirinya sendiri terlebih dulu. Lagipun saya tidak meminati kereta jenis itu. Saya ada membeli sebuah kereta minggu lalu tetapi dengan hasil titik peluh saya sendiri. Saya tidak pernah ditaja oleh sesiapa termasuk pakaian saya sehari-hari. Saya telah menjual sebuah kereta dan motorsikal berkuasa tinggi demi membeli kereta jenis Audi A5. Bagaimanapun saya masih mempunyai sebuah kereta jenis MyVi untuk memudahkan urusan saya ke set penggambaran setiap hari.
Apakah projek terkini anda?
Saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Istikharah Cinta bersama pelakon baharu Faye Kusyairi untuk slot Akasia TV3. Sebuah telefilem saya bersama Ayda Jebat yang menjalani penggambaran di Istanbul berjudul Lokum Untuk Mama pula akan disiarkan tidak lama lagi.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: