jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Thursday, January 31, 2013

Siti Saleha Lebih Selesa Tanpa Teman Lelaki

PETALlNG JAYA: Pelakon Siti Saleha lebih selesa dengan statusnya sebagai wanita solo kerana dia tidak perlu pening kepala memikirkan untuk mencari teman lelaki dalam masa terdekat ini.
Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 23, berkata, perasaan itu timbul kerana sifat berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada lelaki yang telah dipupuk oleh keluarganya sejak kecil.
"Rasanya saya boleh hidup tanpa kehadiran seseorang lelaki kerana saya bukan jenis yang terlalu bergantung kepada mereka.
"Malah saya sebenarnya seorang yang sangat berdikari dalam banyak perkara," jelasnya ketika ditemui selepas majlis tayangan perdana filem Kerat 14 di sini pada Rabu.
Saleha yang memegang watak Nurzara bergandingan dengan Aaron Aziz dalam filem arahan Arjin Uppal itu. Ia bakal ditayangkan pada 14 Februari depan.
Dalam pada itu, Saleha berkata, kenyataan tersebut bukan bererti di membenci golongan lelaki sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonannya yang sedang meningkat.
Jelas Saleha, sebelum ini dia ada berkawan dengan beberapa lelaki namun hubungan itu tidak berakhir ke alam percintaan.
"Kerjaya merupakan tumpuan saya ketika ini dan rasanya soal cinta itu boleh tunggu.
Tambahan pula, tiada lelaki yang mahukan saya, sebab itu saya masih solo," ujarnya berjenaka.
Sementara itu, Saleha melahirkan rasa teruja dengan filem pertamanya itu dan berharap ia akan mendapat sambutan ramai.
"Ini adalah permulaan yang baik untuk saya pada 2013 dan banyak kejutan yang akan saya berikan untuk peminat tahun ini," katanya.
Kerat 14 turut dibintangi oleh Zamarull Hisham, Arash Mohamad, Ali Arami, Fouziah Gous dan Arora Salwa.

'Intagram' Punca Hubungan Nora Danish & Qi Razali Heboh

Dari kiri Yasmin Yusoff, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Nora Danish dan Marsha menggayakan barangan kemas Pendora keluaran Habib Jewels.
AMPANG: Pelakon Nora Danish menjelaskan perbuatannya yang memuat naik gambar dia bersama pengacara Qi Razali menerusi laman sosial foto Instagram menjadi punca mereka digosipkan mempunyai hubungan intim.
Kata Nora, 31, disebabkan Qi Razali atau nama sebenarnya Kushairi Mohammed Razali, 36, masih bujang, dia merasakan tidak salah untuk mengabadikan gambar-gambar mereka menerusi laman sosial tersebut tetapi sayang sekali ia menjadi sensasi.
“Qi masih bujang dan begitu juga saya yang solo kembali. Semasa penggambaran filem Bencinta arahan Farid Kamil di Langkawi, saya mengambil peluang memasukkan gambar-gambar kami menerusi Instagram,” katanya kepada mStar Online pada pelancaran koleksi barang kemas Pandora keluaran Habib Jewels di sini pada Rabu.
Nora diminta mengulas mengenai hubungannya dengan anggota kumpulan OAG itu yang masih diperkatakan umum.
Tambah Nora, dia dan Qi sememangnya rapat tetapi hanya ketika penggambaran filem berkenaan sahaja.
Nora dan Qi Razali
Dalam pada itu Nora mengakui berasa pelik apabila sejak akhir-akhir ini dia sering dikaitkan dengan pelakon-pelakon lelaki yang pernah digandingkan dengannya seperti Adi Putra, Shaheizy Sam, Anuar Zain serta Qi sendiri.
"Tidak lama lagi saya akan menjalani penggambaran drama cinta arahan Michael Ang dengan aktor Indonesia Randy Pangalila. Diharap tidak ada gosip yang berlaku antara kami,” katanya.
Jelas Nora, dia agak kurang selesa dengan gosip-gosip seperti itu kerana perkara tersebut akan memberi kesan buruk apabila anaknya iaitu Putera Rayqal Ramli Rizal yang kini berusia empat tahun besar kelak.
Katanya, tentu sekali Rayqal akan memikirkan sesuatu apabila membaca kisah-kisah yang kurang manis mengenai ibu sendiri.
Dalam perkembangan lain Nora diberi tanggungjawab menggayakan koleksi terbaharu barang kemas Pandora bersama-sama artis seperti Marsha, Lisdawati dan Fauzi Nawawi serta Datuk Yasmin Yusoff sempena tarikh hari kekasih iaitu 14 Februari depan.
"Pandora merupakan salah satu jenama barangan kemas kesukaan saya. Malah saya akan membeli setiap satu 'charm' di negara-negara yang telah saya kunjungi untuk dihiaskan pada gelang tangan saya.
"Kiranya setiap 'charm' yang ada pada gelang saya mempunyai kisah dan kenangan yang tersendiri untuk diingati," ujarnya.

Fauzi Nawawi Rasa Bangga Dikaitkan Dengan Ramai Wanita

Fauzi Nawawi bahagia dengan isterinya, Lisdawati.
AMPANG: Sebagai seorang lelaki tulen, pelakon Fauzi Nawawi berkata adalah menjadi kebanggaannya apabila dia sering dikaitkan mempunyai hubungan ataupun skandal dengan ramai wanita.
Menurut Fauzi, hal itu membuktikan lelaki sepertinya yang sudah mencecah usia 40 tahun serta mempunyai enam orang anak masih lagi “laris” dan mendapat perhatian
"Ya... saya begitu berbangga apabila dikaitkan dengan ramai wanita walaupun saya sudah berkahwin dan mempunyai anak.
"Walaupun saya agak bosan dengan kontroversi itu, ia bermakna sebagai seorang lelaki, saya sebenarnya masih lagi laku,” katanya kepada mStar Online semasa ditemui pada pelancaran koleksi barang kemas Pandora keluaran Habib Jewels di Ampang Point di sini pada Rabu.
Rita Rudaini
Sebelum ini, Fauzi sering dikaitkan dengan beberapa orang wanita termasuklah pelakon Ida Nerina serta Zarina An-Joulie dan pelbagai kontroversi lain yang dinafikannya.
Isu mengenai pergaduhan isterinya iaitu pelakon Lisdawati dengan Rita Rudaini tujuh tahun lalu juga dipercayai berpunca apabila Lisda dikatakan cemburu dengan hubungan baik Fauzi dan aktres itu.
Sementara itu ditanya benarkan Fauzi pernah mengurat Rita Rudaini seperti dakwaan tersebut sehingga membuatkan Rita enggan dia berada bersama di mana-mana set penggambaran drama, kata Fauzi, tuduhan itu tidak benar sama sekali.
"Saya tak pernah kacau, bercinta mahupun menjalinkan hubungan cinta tiga segi dengan Rita semasa dia belum kahwin dulu.
“Selepas insiden pergaduhan mereka (Rita dan Lisdawati), saya berkahwin dengan Lisda dan kami bahagia sehingga sekarang dan bagaimana pula dengan rumah tangga Rita?” soalnya.

DEA pemangkin usahawan online


DEA pemangkin usahawan online
Azlina (depan) bersama peneraju modul DEA. Dari kiri: Mohd Farihan Zurairi, Adly, Mentor Arab, Faridul Firdaus dan Sifu Siddiq.
RAMAI kalangan siswazah berangan-angan untuk memiliki perniagaan sendiri bagi memperolehi kekayaan dan kemewahan. Mereka kepingin mempunyai wang banyak untuk membeli apa sahaja yang dihajati.

Namun kebiasaannya terjadi adalah ia hanya diibaratkan angan - angan Mat Jenin. Mengapa begitu? Kerana ramai yang tidak sanggup atau berani mencuba untuk memulakan sesuatu perniagaan setelah menyangkakannya sulit, ada ranjau berduri dan takut menghadapi risiko rugi.

Sekali lagi, mengapa ini berlaku? Pastinya kerana diri tidak berilmu tidak mengenali potensi diri, atau mengerti selok belok perniagaan.

“Sekarang tidak lagi. Dengan penubuhan DNV Entrepreneur Academy (DEA), kita akan memangkin pembangunan usahawan muda di kalangan siswazah. Mencungkil bakat dalaman, memilih, membimbing dan membantu mereka mengendali perniagaan,” kata wanita ikon yang juga pengasas DEA, Datuk Dr Azlina Che Abdullah.

Usahawan terkenal itu berkata, DEA ialah program kolaborasi di antara akademi keusahawanan bersama Tekun Nasional dan Kementerian Pengajian Tinggi. DEA menyasarkan seramai setengah juta penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam / Swasta (IPTA/S) untuk dilatih menjadi seorang usahawan.

Menurut Azlina, program DEA menawarkan konsep ‘Mentor Mentee’ yang mana modul program ini direka untuk membentuk atau melatih seseorang menjadi ahli perniagaan yang dinamik dan berdaya saing.

Ujarnya, DEA menyediakan 12 modul bagi melengkapkan proses pembangunan keusahawanan tersebut yang mana modul latihan berkenaan akan dikendalikan oleh beliau sendiri bersama beberapa orang pakar SME (Subject Matter Expert).

Mereka terdiri daripada pakar aura, Ahmad Rosli Ahmad Balia atau lebih dikenali sebagai Mentor Arab. Beliau merupakan pakar dalam pembentukan aura sukses untuk bakal usahawan mengenali potensi diri melalui kaedah warna dan tingkat tenaga. Di dalam modul ini, peserta akan dilatih cara mengenal atau mengenali karakter pelanggan.

Mohd Farihan Zurairi Raja Yahya atau Sifu Farihan Yahya yang akan membimbing peserta menggunakan kekuatan minda. Di mana bakal usahawan akan dilatih menggunakan minda yang betul (mind reprogramming) supaya apa yang difikirkan selaras dengan tindakan mereka untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan. Dalam erti sebenar, melatih peserta berminda usahawan.

Faridul Firdaus Zulkapli, pakar dalam pembangunan kepimpinan dalam diri yang mana peserta akan didedahkan dengan pembudayaan dunia bisnes berserta ilmu kepimpinan untuk membentuk seseorang menjadi usahawan yang mempunyai daya kepimpinan.

Sifu Siddiq adalah seorang pakar di dalam penjenamaan syarikat dan produk. Ia juga adalah seorang Pengasas Metafizik Penomboran Islamik yang pertama di dunia. Beliau telah membantu melahirkan seramai 280 orang usahawan baru yang bermula dari “0”. Hampir 20 buah syarikat korporat yang telah menerima perkhidmatan beliau di dalam menyelamatkan syarikat hanya melihat nombor akaun syarikat tersebut.

Terakhir ialah mengenai jutawan yang internet tidak asing lagi, Adly Mukhtar, di mana beliau akan memberi pendedahan rahsia kejayaan dalam perniagaan online.

“Begitulah hebatnya pakar-pakar yang DEA ada selain diri saya sendiri mengetuai DEA & Projek Pembangunan Usahawan ini. Semua ilmu tersebut akan diperolehi peserta dengan mengikuti setiap program DEA,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut kaedah pelaksanaan projek istimewa berkenaan Azlina berkata, penuntut universiti yang berminat untuk mengikuti projek tersebut perlu mendaftar dengan DEA. Seterusnya mereka akan dikehendaki mengikuti setiap seminar yang bakal dikendalikan oleh SME DEA.Azlina berkata, dengan mengikuti program DEA seorang usahawan itu tidak semestinya wajib membuka perniagaan berasaskan produk D Navechee. Sebaliknya mereka bebas memilih produk yang mereka suka.

“Program ini mendapat sokongan penuh daripada Tekun, di mana peserta diberi skim pinjaman sebanyak RM5,000 seorang.

“Program akan berakhir pada Julai tahun ini dengan menyasarkan seramai 1000 usahawan berpotensi bakal lahir selepas mengikuti fasa program DEA. Mereka akan diberikan sijil dan akan dinobatkan sebagai Usahawan berpotensi di majlis Konvensyen yang bakal diadakan pada Ogos 2013,” katanya.

Azlina menambah, penubuhan DEA juga membuka peluang perniagaan berkonsep online kepada penuntut yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai masa kerana kekangan komitmen pelajaran. Program ini juga khusus untuk penuntut yang ingin bergelar usahawan tetapi tidak mempunyai ilmu dan kos permulaan bisnes.

Katanya, ramai sudah mengetahui bisnes online khususnya melalui laman sosial Facebook semakin menguasai dunia perniagaan hari ini. Ia turut diperakui oleh Adly yang telah menjadi ikon remaja berikutan kejayaannya dalam perniagaan di Internet.

“Bayangkan terdapat sebanyak tiga Trilion transaksi bisnes online yang mana 13.5 juta daripadanya ialah menerusi Facebook. Justeru, program ini sebenarnya memangkin perkembangan bisnes online untuk dinikmati oleh mereka yang ingin bergelar usahawan,” kata Adly.

Palsu akaun Twitter, Elfira naik angin


Elfira Loy

PELAKON Dalam Hati Ada Taman, Elfira Loy bengang apabila ada individu yang menyamar sebagai dirinya dalam laman mikro Twitter.
 
Elfira, 19, menulis mesej di Twitter yang berdaftar atas nama @elfira_loy, pagi ini, meminta agar individu tersebut tidak menyamar sebagai dirinya.
 
“Please don’t tweet like you are the real ‘Elfira’. Show some respect please, thank you @_Elfiraloy,” tulisnya. (Jangan ‘tweet’ seperti anda Elfira yang sebenar. Tolong hormat sedikit, terima kasih)
 
Akaun palsu yang berdaftar atas nama @_Elfiraloy itu jelas boleh menimbulkan kekeliruan berikutan ‘tweet’ yang dikeluarkan seolah-olah ditulis oleh pelakon itu.
 
Akaun palsu yang dibuat pada 28 Disember tahun lalu itu kini mempunyai 237 pengikut dengan 384 ‘tweet’.
 
Pada 28 Januari lalu, individu tersebut menulis mesej kepada pelakon, Nabila Huda.
 
“Hey sis...How are you? It’s me Elfira...I saw you at La Boca,” tulisnya.
 
Akaun palsu itu juga menulis, "Hi Siti Aisyah is here now. El ada shooting, so I’ll take care her Twitter for 38 minit.” (Hi Siti Aisyah di sini sekarang. El ada penggambaran, jadi saya akan menjaga Twitternya untuk 38 minit).
 
Melalui interaksi dengan pengikutnya pada 8 Januari lalu, individu itu menyebut nama kedua adik Elfira, Ezzrin dan Ezlisa.
 
“...tapi adik kak tak boleh harap!!...Ezzrin pergi rumah kawan, Ezlisa pergi ‘shopping’! Geramnya,” tulisnya.
 
Malah, individu itu juga menjawab pertanyaan peminat Elfira yang bertanya aktiviti pelakon itu serta memuat naik gambar Elfira.
 
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri merupakan pelakon meningkat naik yang mula dikenali melalui drama Qalesya pada tahun 2009.
 
Terbaru, pelakon kecil molek ini tampil dalam rancangan mencabar, Fear Factor Selebriti Malaysia yang bergandingan dengan Ajak Raja Lawak.

Mangsa cabul masih trauma


Mangsa cabul masih trauma
Su masih trauma dicabul 6 September lalu.
KOTA BHARU – Walaupun sudah lebih setahun berlalu, tragedi hitam dicabul perogol bersiri 6 September itu masih menghantui seorang jurujual tudung di Wakaf Che Yeh, di sini.

Lebih malang, wanita yang berusia 23 tahun itu turut mengalami trauma apabila dia menjadi takut melihat lelaki yang tidak dikenali serta berwajah bengis.

“Pengalaman ini adalah yang paling pahit dalam hidup saya. Saya masih trauma dan berasa takut melihat lelaki berperwatakan ‘pelik’. Kalau berjalan ke mana-mana pun saya mahu ditemani seseorang yang rapat,” katanya.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Su itu tetap rasa lega selepas pelakunya dihukum lima tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Amran Che Jaafar, 29, juga dikenakan empat kali sebatan rotan kerana kesalahannya mencabul wanita itu dia berada di bilik hostelnya di sebuah bangunan di Jalan Kuala Krai, di sini.

Mengimbau kejadian jam 7 pagi itu, Su yang sedang tidur, terjaga sebelum mendapati tertuduh berada di dalam bilik tidurnya. Dia bagaimanapun tidak mampu berbuat apa-apa kerana tertuduh mengacukan pisau ke leher serta mengikat tangan dengan wayar lampu.

Ketika cuba merogolnya, Su berjaya melepaskan ikatan tangan sebelum bertindak menendang pengadu sambil menjerit meminta tolong. Tersentak dengan tindakan itu, tertuduh kemudian melarikan diri dan mangsa membuat laporan polis sebelum dihadapkan ke mahkamah,
semalam.

Hukuman terhadap tertuduh diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly sementara pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamed.

Rasa muda terbit album



KUMPULAN Rap Unggul atau KRU yang popular Awas!, Fanatik dan Oh La La sudah 21 tahun berada dalam industri muzik tempatan. Selama tempoh itu sebanyak 13 buah album KRU telah dihasilkan.
Tidak dinafikan KRU berjaya mencipta fenomena tersendiri yang diingati sehingga ke hari ini meskipun trio adik-beradik yang membentuk KRU, Norman, 41, Yusry, 40, dan Edry, 37, semakin berusia.
Menyambung hayat mereka dalam industri ini, hari ini KRU melancarkan album ke-13 yang berjudul KRUnomena. Kali terakhir KRU muncul dengan album adalah pada tahun 2006 menerusi album, 10 Di Skala Richter.
Selepas sekian lama tanpa sebarang album baharu, tiga anak lelaki kepada pasangan Abdul Halim Kamal dan Zarina Abdul Wahab Fenner yang ditemui pada majlis pradengar album KRUnomena, setiap kali muncul dengan album baharu membuatkan mereka berasa sentiasa muda.
"Memang saya akui, saya bukan sahaja berasa muda tetapi rasa usia saya tidak mempunyai angka, seperti tidak bergerak-gerak.
"Peminat sentiasa ada di belakang kami, bahkan ramai peminat yang muda. Peminat yang seusia dengan kami pula berjiwa muda setiap kali mendengar lagu KRU sebab itu kami semua rasa muda (ketawa)," balas Yusry.
Perasaan yang sama turut dikongsi Norman. Katanya, sudah lama dia tidak bergaya seperti artis.
"Selalunya setiap kali pergi ke mana-mana acara hiburan, saya akan hadir sebagai Pengarah Eksekutif KRU Studios dan agenda bisnes sentiasa dalam fikiran. Kali ini, saya bersalaman dengan peminat serta pihak media sebagai artis.
"Rasa pelik pun ada sebab sudah enam tahun tidak jadi artis. Lihat penampilan saya hari ini lebih santai dengan harapan nampak lebih muda (ketawa). Jika tidak, selalunya saya akan memakai pakaian formal," kata Norman sambil berseloroh kepada pihak media.
Dari segi bergaya, Edry terbukti yang paling berani berbanding dua abangnya itu. Bersempena kemunculan album terbaharu KRU, dia tampil dengan imej rambut kerinting.
Ia nyata berbeza daripada imejnya sebelum ini yang berambut pendek lurus. Malah, boleh dikatakan penampilan baharu Edry itu mirip vokalis kumpulan Nidji, Giring.
"Sebenarnya sengaja saya tampil dengan imej begini. Jika imej sama sahaja nanti peminat bosan. Norman mungkin terikat dengan imej seorang ahli perniagaan tetapi saya bebas melakukan eksperimen pada rambut dan fesyen kerana saya lebih tertumpu dalam bidang muzik," tutur Edry.
KRUnomena
Bercakap tentang album KRUnomena yang mengambil masa enam tahun untuk disiapkan, ujar Edry, fokus lebih tertumpu kepada dirinya yang membuat acuan arah tuju album tersebut.
Ujarnya, tempoh masa yang agak lama diambil disebabkan mereka bertiga terikat dengan komitmen kerja masing-masing selain mencari lagu yang benar-benar sesuai.
"Orang luar ingat kami adik-beradik selalu berjumpa antara satu sama lain tetapi sebenarnya tidak, kerana masing-masing sibuk. Apa yang berlaku, saya telefon Norman untuk merakamkan lagu kerana saya ingatkan dia berada di pejabat tetapi saya tidak tahu pun ketika itu dia berada di Eropah.
"Jadi, halangan terbesar kami adalah waktu. Sebab itu kami rakamkan lagu secara berasingan," sambung Edry mengenai album yang memulakan proses rakaman pada tahun 2010 itu.
Celah Yusry, sebenarnya banyak koleksi lagu yang telah disiapkan. Bagaimanapun selepas dia merakamkan suara untuk beberapa buah lagu, ia diberikan Edry kepada penyanyi lain.
"Biasanya, proses rakaman album KRU akan bermula dengan suara saya, kemudian baru Norman dan Edry akan ikut lenggok nyanyian saya.
"Apa yang terjadi selepas saya selesai merakamkan suara, saya dengar lagu yang saya nyanyikan itu dinyanyikan oleh penyanyi lain tanpa sebarang pemberitahuan daripada Edry. Saya hanya tahu perkara itu selepas mendengar lagu itu di radio," ujar Yusry sambil memandang kepada Edry.
Antara lagu yang dicipta Edry untuk album KRU tetapi dinyanyikan oleh orang lain termasuklah Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain, Jahat (Stacy) dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo).

SELEPAS sukses membina empayar seni dan bisnes, tiga adik-beradik ini kini kembali mengaktifkan KRU yang merupakan tapak asas pembabitan mereka di persada muzik tanah air.


Sambung Norman pula, apabila diteliti semula lagu-lagu tersebut memang tidak sesuai dengan konsep album KRU serta personaliti mereka.
"Cuba bayangkan KRU menyanyi lagu Jahat, bukankah ia tidak sesuai? Jadi, lebih baik diberi kepada penyanyi lain dan mereka telah membuktikan lagu itu benar-benar serasi dengan vokal masing-masing," kata Norman.
Pilih Stacy
Album KRUnomena memuatkan 10 buah lagu seperti Semalam Tanpamu, Setiap, Kesejatian Cinta, Separuh Mati, Sediakala, Lagu & Lirik dan Kali Ke-2.
Menariknya Semalam Tanpamu ciptaan sepenuhnya Edry menyaksikan KRU berduet dengan Stacy. Disoal mengapa Stacy menjadi pilihan KRU sedangkan penyanyi di bawah naungan mereka juga cukup ramai, KRU mempunyai jawapannya.
"Selepas kami fikirkan tentang penyanyi wanita yang sesuai dengan konsep KRU dan penuh tenaga, tiada siapa yang terlintas dalam fikiran kami selain Stacy.
"Walaupun bukan penyanyi di bawah naungan KRU tetapi Stacy telah banyak kali bekerjasama dengan KRU. Kami akui, Stacy popular tetapi apa yang dipentingkan adalah keserasian itu wujud tanpa perlu dipaksa-paksa.
"Hasilnya, saya yakin lagu Semalam Tanpamu antara lagu yang mudah untuk diterima pendengar," ujar Edry.
Kali Ke-2 pula merupakan lagu lama KRU, Dua yang diberikan nafas baharu. Ia dipilih oleh Yusry sendiri untuk dimuatkan dalam album KRUnomena.
"Bayangkan lagu itu ditulis pada tahun 1995, ketika itu saya berusia 23 tahun dan liriknya kalau dihayati betul-betul masih relevan sehingga ke hari ini.
"Itu antara faktor Yusry memilih lagu Dua itu dan kini dijadikan Kali Ke-2. Lagu itu sebenarnya sangat popular hanya dalam kalangan peminat KRU kerana ia tidak pernah dijadikan single," luah Norman.
KRU dalam pada itu juga telah bersedia kerana pasti ada peminat yang tidak puas hati apabila lagu itu diberi nafas baharu kerana lagu asalnya sudah cukup enak didengar,
"Ia merupakan lagu nostalgia buat peminat yang membesar dengan muzik kami dan biasanya kritikan itu datang daripada peminat yang sukakan lagu asal.
"Kami sudah bersedia andai dikritik. Contoh terbaik ialah lagu Getaran Jiwa yang diberi nafas baharu. Orang muda suka dengan cara kami tetapi tidak peminat tegar lagu-lagu lama. Kami hanya lakukan yang terbaik selebihnya terpulang kepada peminat untuk menilainya," balas Yusry, suami kepada aktres Lisa Surihani itu.

Visi Mamat Khalid


BARISAN karyawan filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit pada majlis tayangan perdana filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


PENGARAH Mamat Khalid sememangnya terkenal dengan filem komedi santai. Ternyata, Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd. Khalid berjaya menarik masyarakat Malaysia menonton filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Ia sekali gus menjadikan siri penceritaan tentang penduduk Kampung Pisang tersebut menjadi fenomena dalam industri filem di negara ini.
Terbaharu, Mamat muncul dengan siri baharu yang masih memfokus tentang penduduk Kampung Pisang menerusi naskhah berjudul Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
Ia juga menampilkan barisan karakter yang pernah muncul dalam karya terdahulu itu yang termasuklah Husin (lakonan Awie), Usop Wilcha (Shy8 atau nama sebenarnya, Syed Mohamad Asri), Mon (Ezlynn), Kak Limah (Delimawati) dan ramai lagi.
Namun berbeza dengan komedi santai yang ditampilkan dalam dua siri Kampung Pisang sebelum ini, kali ini kelihatan Mamat cuba menampilkan lawak yang lebih serius.
Ditambah pula dengan imej janaan komputer (CGI), maka filem itu terasa lebih berat berbanding santai. Namun, tidak dinafikan ada juga pengajaran diselitkan di sebalik komedi cara Mamat dalam filem ini.
Mungkin Mamat mempunyai penjelasan dan visi tersendiri di sebalik apa yang ditampilkannya kali ini menerusi filem tersebut.
Ikuti temu ramah bersama Mamat ketika menghadiri majlis pratonton filem Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit di GSC Midvalley, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Naskhah Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit kurang lawak dan kelihatan lebih banyak bergantung kepada Awie sahaja. Bolehkah anda komen?
Bagi pendapat saya, penceritaan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah lebih longgar. Mungkin ketika itu, ia baru diperkenalkan dan ternyata, orang ramai suka dengan apa yang dilakukan itu. Saya tidak mahu ulang apa yang terdapat dalam Hantu Kak Limah dalam Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
Penceritaannya harus mudah dan bukan untuk penonton berfikir panjang yang mana mungkin ia perlu untuk sifat sesebuah filem lain. Namun, tidak untuk siri tentang masyarakat Kampung Pisang kerana memang niat saya, hiburan semata-mata.
Apabila ia bersifat hiburan, saya tidak mahu penonton melihatnya sebagai sebuah filem yang berat dan mereka harus melihatnya dengan cara santai.
Dari segi kelonggaran cerita, saya rasa watak Awie memang kuat, dan cerita kali ini ialah mengenai Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit dan judulnya sahaja telah mengisahkan tentang mereka. Seperti Hantu Kak Limah Balik Rumah, penonton juga perlu menonton dua kali sebelum faham tentang apakah yang ingin disampaikan.
Adakah filem ini dibuat secara tergesa-gesa kerana mungkin teruja memandangkan filem anda sebelum ini berjaya mencecah tahap pecah panggung?
Saya rasa apa yang penting, mood untuk membuat filem tersebut. Jika saya tangguhkan, mungkin mood itu telah hilang. Selain itu, peminat juga masih terhibur dengan Hantu Kak Limah Balik Rumah dan apa kata, saya hiburkan lagi mereka dengan filem yang lain.
Jika dikatakan anda berniat untuk menghiburkan, namun unsur komedi kali ini kurang. Mungkin barisan pelakon kurang mantap kerana ketiadaan pelakon seperti Johan atau AC Mizal dari filem yang pertama?
Bukan saya tidak mahu, namun mereka juga ada komitmen lain yang membuatkan kami terpaksa teruskan tanpa mereka. Jadi, apa yang saya fikir, buat sahaja apa yang termampu. Untuk terlalu mengharap pada mereka adalah tidak adil untuk artis yang lain.
Apakah yang cuba disampaikan dalam perjalanan cerita filem ini?
Ia sebenarnya tentang segala ketahyulan yang mungkin diamalkan oleh zaman moyang kita dahulu dan sampai perlu dipikul pula oleh anak cucu yang kini hidup di zaman moden. Itu sebenarnya yang cuba saya sampaikan.
Selepas ini akan ada lagikah siri filem tentang masyarakat Kampung Pisang?
Selagi ada kepercayaan terhadap tahyul dalam kalangan masyarakat kita, saya akan terus membuat filem melalui amalan tahyul tersebut. Apabila mungkin masyarakat sudah berhenti daripada mempercayai tentang tahyul, maka tamatlah siri filem tentang orang-orang Kampung Pisang yang mana ia sebenarnya perkara yang amat baik. Namun, mungkin selepas ini, saya berehat sebentar kerana baru sahaja habis penggambaran filem Zombi Kilang Biskut yang akan ditayangkan pada Ogos tahun ini.
Secara keseluruhan, jika dibandibandingkan dengan dua siri filem tentang masyarakat Kampung Pisang sebelum ini adakah
Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit boleh dirumuskan sebagai naskhah komedi yang lebih serius?
Memang. Mungkin pada awal jalan cerita naskhah Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit kelihatan serius. Namun sebenarnya, elemen komedinya turut diselitkan bersama dengan pengajaran. Dalam filem ini, tetapi ia bukan lagi memfokus tentang watak Kak Limah. Jika filem ini masih dilihat sebagai mengangkat karakter Kak Limah sebagai fokus utama, maka saya anggap ia sebagai suatu tamparan. Saya mahu lari daripada naskhah yang sebelum ini, itu yang penting sebenarnya.

Dua dijel bunuh kekasih adik

RAZIF (kiri) dan Rafik dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Dua beradik lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 16 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang kenalan mereka gara-gara pergaduhan melalui laman sosial Facebook pada dua tahun lalu.
Mohamad Razif Arshad, 27, dan adiknya, Mohamad Rafik, 22, mengaku bersalah atas tuduhan itu selepas pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun
Sebelum itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 29 Julai 2011.
Razif dan Rafik mengaku bersalah menyebabkan kematian Mohd. Amran Ramli, 20, di persimpangan Jalan Lobak 15, Taman Lobak Indah, Lunas di Kulim dekat sini pada pukul 8.30 malam 29 Julai 2011.

Nenek jual tiga bayi dipenjara


KIAN WAN di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang nenek dihukum penjara 14 tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, setahun selepas dua kali dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan menjual tiga bayi empat tahun lalu.
Lim Kian Wan, 60, kelihatan muram sebaik Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman selepas berpuas hati dengan hujah kedua-dua belah pihak.
Kes tersebut dibicarakan semula secara penuh selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kajang pada 13 April 2012.
Abdul Alim dalam penghakiman berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu dengan keterangan tertuduh hanya penafian semata-mata.
Beliau juga menyifatkan tindakan tertuduh dalam kes ini kerana mementingkan kemewahan tanpa memikirkan nasib bayi-bayi tersebut.
“Kamu juga mempunyai jaringan kerjasama yang sangat elok yang boleh menjadi penyebab kamu melakukan jenayah yang dibenci ini,” kata beliau.
Sehubungan itu, Abdul Alim memutuskan tertuduh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun dan RM10,000 untuk tiga pertuduhan.
Jika gagal membayar denda, wanita itu perlu menjalani hukuman penjara setahun lagi bagi setiap pertuduhan.

Pasangan dera anak saudara hingga cacat dijel


NASIR dan Zarinah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas tuduhan mendera anak saudaranya.


PETALING JAYA - Tindakan tidak berhati perut sepasang suami isteri yang mendera anak saudara mereka sehingga koma dan cacat dibalas dengan mereka dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret K. B. Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu lori, Mohd. Nasir Abd. Majid, 37, dan isterinya, Zarinah Ab. Hadhy, 31, seorang suri rumah setelah pasangan itu mengaku salah melakukan kesalahan tersebut di sebuah apartmen di Damansara Damai antara 14 Oktober hingga 27 Oktober pada 2012.
Hukuman penjara itu diarah bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Disember 2012.
Nasir dan Zarinah yang diamanahkan sebagai penjaga kepada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan ketika itu didakwa atas pertuduhan melakukan penderaan fizikal sehingga menyebabkan kecederaan.
Suami isteri yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Elena dalam penghakimannya menjelaskan, perbuatan kedua-dua tertuduh tersebut amat kejam lebih-lebih lagi tertuduh wanita merupakan kakak kepada ibu kanak-kanak mangsa dera itu.

SPR lancar portal rasmi pilihan raya


ABDUL AZIZ menunjukkan Portal PRU-13 selepas melancarkannya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Buat pertama kali dalam sejarah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan portal rasmi yang memuatkan pelbagai maklumat yang tepat dan terkini mengenai perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Laman web tersebut boleh diakses orang ramai melalui alamat, www. pru13.gov.my bermula semalam dan ia memuatkan maklumat seperti persiapan dan pengumuman tarikh pilihan raya, proses penamaan calon dan kempen sehingga hari mengundi.
Apa yang menarik, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, keputusan sebenar mengenai PRU-13 kelak akan dapat dilihat oleh rakyat dalam dan luar negara menerusi laman web tersebut yang akan sentiasa dikemas kini berdasarkan waktu semasa.
"Kewujudan laman web ini bersandarkan tiga objektif iaitu memberi kemudahan kepada pelanggan, pendidikan dan penjelasan isu serta penyaluran maklumat yang cepat dan tepat.
"Semua proses pilihan raya kelak akan dimuatkan dalam portal ini untuk tatapan umum dan SPR hanya mahu maklumat yang sahih dimaklumkan bagi menjamin demokrasi dan ketenteraman awam," ujarnya selepas merasmikan portal tersebut di sini semalam.
Sejak dibuka, laman web tersebut telah menerima 1,000 pengunjung.
Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz memberitahu, jumlah pengundi yang berdaftar dan layak mengundi setakat ini adalah 13.3 juta orang.

Tiga lagi bangkai gajah ditemui


BEBERAPA orang kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengukur bangkai gajah yang ditemui di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau baru-baru ini.


TAWAU – Kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah menemui tiga lagi bangkai gajah pigmy atau Gajah Kerdil Borneo di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara dekat sini semalam, menjadikan kesemuanya 13 ekor haiwan itu ditemui mati di kawasan yang sama sejak dua minggu lalu.
Siasatan awal jabatan itu mendapati gajah-gajah tersebut juga dari keluarga yang sama dengan bangkai 10 gajah lain dengan punca kematian akibat termakan racun.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu ketika mengesahkan penemuan itu menjelaskan, bangkai tiga ekor gajah itu ditemui pukul 10 pagi semalam, kira-kira satu kilometer dari lokasi bangkai lain yang ditemui sebelum ini.
“Tiga bangkai gajah yang ditemui itu membabitkan seekor jantan dan dua betina. Kesemuanya dipercayai mati sejak seminggu lalu dengan keadaan bangkai telah reput,” katanya di sini semalam.
Difahamkan, kesemua 13 ekor gajah yang ditemui mati itu termasuk seekor anak gajah yang masih hidup merupakan sebahagian daripada kumpulan 20 gajah yang kerap dilihat di kawasan hutan simpan tersebut.
Laurentius tidak menolak kemungkinan kumpulan gajah tersebut telah memakan tumbuhan yang mengandungi racun ataupun telah diracun oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Punca kematian belum dapat dipastikan, tetapi banyak kemungkinan boleh dibuat termasuklah akibat penggunaan racun tikus.

"Jangan laju bro, kampung tak lari ke mana"


ISMAIL (tiga dari kiri) bersama (dari kiri) Usop Wilcha, Zul, Noorizah, Chia dan Nash (kanan) di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) akan mengedar poster dan pelekat kereta dengan tema "Jangan Laju Bro. Kampung Tak Lari Ke Mana" dalam kempen mengurangkan kadar kemalangan jalan raya menjelang Tahun Baru Cina ini.
Poster serta pelekat kereta yang mempunyai tema itu akan diedar kepada pengguna di pondok tol semua lebuh raya di seluruh negara sepanjang kempen itu yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Yang Dipertua PSKLM, Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata, tema yang menggunakan bahasa mudah dan ringkas itu dipilih kerana ia lebih dekat di hati dan senang diingat oleh pemandu di negara ini.
"Ia lebih 'catchy' (menarik) tapi dalam masa sama berkemampuan menyampaikan mesej yang besar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen itu di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Awan Besar di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah LLM, Datuk Ismail Md. Salleh.
Kempen itu turut melibatkan selebriti seperti Amber Chia, Nash Lefthanded, Usop Wilcha dan pelakon Zul Ariffin bagi menyampaikan nasihat dan panduan pemanduan berhemah kepada pengguna jalan raya.

'Kurma' heroin dari Pakistan


SEBAHAGIAN ketulan 'kurma' heroin yang dirampas daripada 11 individu dipamerkan pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.


KUALA LUMPUR - Sebiji buah kurma mampu mengembalikan tenaga buat orang berpuasa, namun lain pula halnya bagi sebiji 'kurma' yang cuba diseludup oleh satu sindiket dadah antarabangsa yang mana ia boleh membawa maut jika dimakan.
Sebiji buah 'kurma' yang dijual oleh sindiket tersebut mengandungi kira-kira tiga gram heroin tulen yang boleh menghasilkan lima biji lagi jika diproses sebelum ia dijual di pasaran gelap.
Taktik terbaharu sindiket didalangi lapan lelaki Nigeria dan seorang lelaki Mongolia itu terbongkar apabila polis menemui kira-kira 26,703 ketulan heroin tulen yang dibungkus seakan-akan menyerupai buah kurma dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor Sabtu lalu.
Dadah seberat 80 kilogram tersebut dianggarkan bernilai RM3.2 juta dan ia dikatakan boleh meningkat menjadi 133,515 ketulan bernilai lebih RM100 juta selepas diproses. Jumlah itu boleh menampung untuk kegunaan lebih 100,000 penagih.
Difahamkan, kesemua dadah tersebut dibawa menggunakan kontena dari Pakistan melalui laut ke Pelabuhan Klang, Selangor. Ia melepasi pemeriksaan kastam selepas diisytiharkan sebagai kurma oleh sindiket.
Polis mengambil masa selama sebulan untuk membuat risikan sebelum dapat menahan kesemua suspek dan dua gadis Mongolia yang dipercayai dijadikan keldai dadah oleh sindiket.

51 bayi termasuk dua kembar bawa pulang kambing RM1


OSMAN (tiga dari kiri) menyerahkan seekor kambing kepada Shahrul Nizam Jaaffar (dua dari kanan) bersama isteri, Sharifah Fatimah (kanan) sambil diperhatikan Noraimi (dua dari kiri) serta isteri, Norawati Ramzah (kiri) di Johor Bahru semalam. Turut kelihatan Halim (tiga dari kanan).


JOHOR BAHRU – Dua pasangan kembar antara 51 bayi yang lahir pada sambutan Maulidur Rasul pada 24 Januari lalu bertuah apabila dapat membawa pulang seekor kambing yang dijual pada harga RM1 sahaja.
Harga seekor kambing semurah itu ditawarkan oleh pengusaha ternakan kambing terkenal di negeri ini, Osman Goat Farm.
Ibu kepada salah seorang pasangan kembar itu, Sharifah Fatimah Syed Ali, 35, melahirkan rasa syukur kerana hasratnya untuk membuat akikah terlaksana dan ia menjadi lebih bermakna apabila dapat membeli seekor kambing dengan harga paling murah.
“Bayi kembar saya iaitu Marya Madhiha dan Mayra Mahdiyah sepatutnya dilahirkan lebih lewat daripada tarikh itu tapi Alhamdulillah lahir pada hari sambutan Maulidur Rasul, itu dinamakan rezeki anak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kambing di Osman Goat Farm, Kangkar, Tebrau di sini semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Puteri Wangsa, Datuk Halim Suleiman.

Menggalas imej syarikat



TUGAS membaca berita kelihatan mudah dan cukup glamor. Hanya bersiaran selama satu jam, seluruh Malaysia pasti mengenali wajah mereka.
Baru-baru ini, pihak TV3 telah mengadakan majlis minum petang bersama kesemua pembaca berita TV3. Kosmo! telah menggabungkan empat orang pembaca berita, Kamaruddin Mape, Norliza Md. Zain, Hazlin Hussain dan Helmi Yusof.
Mereka berempat sempat berkongsi cabaran yang diharungi di sebalik tugasan yang kelihatan glamor serta menjadi idaman ramai orang itu.
Pengalaman berharga Kamaruddin
Melihat wajahnya pasti ramai yang mengenalinya menerusi Buletin Utama TV3 yang bersiaran setiap pukul 8 malam.
Kamaruddin Mape, 43, bukan wajah yang asing dalam dunia penyiaran.
Sudah bekerja dengan TV3 selama 17 tahun dan bertugas di hadapan kaca televisyen sebagai pembaca bermula tahun 1997, pengalamannya boleh dijadikan kamus buat mereka yang ingin menjadi pembaca berita.
Katanya yang kini berjawatan sebagai pengarang berita dan pembaca berita, semuanya bermula apabila beliau menjalani latihan praktikal di TV3 pada tahun 1994.
“Selepas saya belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara/UiTM), saya menjalani latihan praktikal di TV3 dan terus bekerja sebagai wartawan penyiaran.
“Pada waktu itu tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi pembaca berita. Tidak sangka pula sampai ke hari ini saya kekal bertahan depan TV (ketawa),” tuturnya.
Bercerita tentang pengalamannya, jelas Kamaruddin, apa sahaja kesalahan yang berlaku ketika siaran langsung akan terletak pada bahunya.
“Contohnya visual tidak keluar, memang itu kesalahan teknikal tetapi muka saya yang orang lihat di TV. Secara tidak langsung kesalahan itu seolah-olah terletak pada bahu saya dan harus pandai untuk terus menghabiskan berita itu,” luahnya.
Antara tugasan yang tidak dapat dilupakan oleh bapa kepada lima orang anak ini adalah tugasannya ke Iraq selama 40 hari pada tahun 2003.
“Kumpulan saya merupakan media Malaysia pertama yang masuk ke Iraq ketika perang Iraq. Pengalamannya cukup berharga kerana nyawa saya dan rakan-rakan lain menjadi taruhan.
“Melihat sendiri kesengsaraan rakyat Iraq ketika itu amat menyedarkan saya betapa bertuahnya saya menjadi rakyat Malaysia,” ujarnya yang banyak menonton program berita antarabangsa sebagai bahan rujukan.
Lucu disebalik serius
Pembaca berita yang juga boleh dianggap senior di TV3, Norliza Md. Zain, 41, wajahnya juga kerap kelihatan menerusi Buletin Utama TV3.
Selepas bertugas selama 13 tahun di TV3 iaitu 11 tahun sebagai pembaca berita, kini Norliza memegang jawatan selaku penerbit berita selain meneruskan tugasnya membaca berita.
Sebelum bersama TV3, ibu kepada empat orang anak ini terlebih dahulu bekerja dengan stesen TV Metrovision. Bagaimanapun, hayat usia stesen tersebut tidak panjang menyebabkan Norliza berhijrah ke TV3 pada tahun 2000 sehingga hari ini.
“Kalau ikutkan cita-cita sebenar, saya ingin menjadi seorang penulis novel kerana suka menulis. Namun, rezeki saya nampaknya lebih ke arah bidang penyiaran,” katanya yang merupakan graduan UiTM dalam jurusan Komunikasi Massa.
Disoal mengenai pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan ketika bertugas, bibirnya mula mengukirkan senyuman menandakan kelucuan.
“Kejadian berlaku ketika saya mula-mula menjadi pembaca berita pada tahun 2001. Pada waktu itu saya sedang membaca berita terkini.
“Ketika sedang membaca berita, kerusi yang saya duduk itu patah. Terpaksalah saya buat-buat duduk kerana ketika itu sedang bersiaran secara langsung, sedangkan pada waktu itu sudah tidak ada kerusi.
“Disebabkan terpaksa membengkokkan lutut dalam masa yang agak lama, kaki saya berasa sangat sakit dan tangan saya menggigil menahan tangan di atas meja agar saya tidak jatuh.
“Nasib baik ada visual keluar, saya cepat-cepat tarik kerusi yang patah itu. Walaupun tidak stabil, sekurang-kurangnya saya tidak perlu menahan dengan mengunakan kaki,” katanya sambil menunjukkan demonstrasi keadaannya ketika kejadian.
Tambahnya, sejak kejadian itu, kerusi beroda tidak lagi digunakan di set berita di TV3 kerana bimbang kejadian yang sama berulang.
Hazlin ingin cipta identiti sendiri
Sekali pandang wajah wanita berambut pendek ini seakan-akan Anne Raj tetapi melihat gaya penyampaiannya sebelum ini menerusi program 999, ramai pula membandingkannya dengan Zakiah Anas.

BAHARU dan lama. (Dari kiri) Hazlin, Norliza, Kamaruddin dan Helmi merupakan antara pembaca berita tetap Buletin Utama TV3.


Enggan dibayangi orang lain, Hazlin Hussain, 29, yang merupakan peserta program Gadis Melayu musim kedua, kini berazam untuk membina identitinya sendiri.
“Mula-mula saya menjadi hos 999, orang samakan saya dengan Zakiah Anas. Jadi, bila beralih ke bahagian berita saya terus potong rambut pendek.
“Apabila saya potong rambut pendek untuk perubahan imej dan keselesaan diri, orang samakan pula saya dengan Anne Raj. Bagaimanapun, cara saya membaca berita agak berbeza dengan orang lain kerana kedengaran agak tegas.
“Pada mulanya, ada yang tidak suka dengan cara saya baca berita tetapi lama-kelamaan orang dapat menerima cara saya kerana saya tidak mahu lagi disamakan dengan orang lain,” tuturnya yang baru bertugas sebagai pembaca berita selama tiga bulan.
Nampaknya rezeki dalam bidang penyiaran lebih berpihak kepadanya. Hazlin yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru sebelum ini telah menimba pengalaman selama tiga tahun bersama program 999.
“Saya teringin sangat jadi guru tetapi tidak pernah dapat. Sebaliknya, kerjaya saya dalam bidang penyiaran bergerak dengan pantas.
“Apa salahnya mencuba sesuatu yang baharu dan saya semakin seronok dengan kerjaya saya sekarang ini,” ujar graduan Perbankan dari Universiti Utara Malaysia itu.
Helmi ke Gaza
Pembaca berita termuda di TV3, Helmi Yusof, 26, kelibatnya sebelum ini pernah kelihatan dalm program 999 sebagai wartawan penyiaran.
Kemudian, graduan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) ini beralih sebagai wartawan penyiaran untuk program Malaysia Hari Ini (MHI) sebelum menjadi pengacara bersama MHI bergandingan dengan Ally Iskandar, Fedtri Yahya, Nurul Syuhada Nurul Ain, M. Zul, Zahan Rashid, Zaim Helmi dan Fariha On.
Selain itu, Helmi juga merupakan pembaca berita untuk Buletin Pagi dan Buletin 1:30.
“Saya bermula dengan menjalani latihan praktikal di bilik berita pada tahun 2008. Alhamdulillah, sehingga hari ini minat saya untuk menyebarkan informasi kepada orang ramai tidak pernah padam,” katanya.
Jelasnya, niatnya ketika mula-mula menceburi bidang penyiaran adalah untuk membantu orang lain dan niatnya itu tercapai selepas beliau diberi peluang untuk membuat liputan misi kemanusiaan Gaza Aman Palestin anjuran Aman Palestin pada 6 sehingga 13 Disember tahun lalu.
“Bagi saya, pengalaman membuat liputan di Gaza terlalu berharga. Saya bersyukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki di sana dan melihat sendiri keadaan mereka,” tuturnya.
Meskipun masih muda, jelas Helmi, tugas sebagai wartawan, pengacara dan pembaca berita memerlukannya sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai isu semasa serta berkorban masa demi kerjaya.
“Untuk pembaca berita, segala teks telah siap ditulis dan tugas saya adalah untuk menyampaikan berita itu dengan baik. Agak berbeza menjadi pengacara MHI kerana saya perlu bercakap secara spontan berkenaan pelbagai isu.
“Disebabkan itu, saya banyak membaca untuk menambah ilmu pengetahuan. Selain itu, cabaran utama kerjaya dalam bidang penyiaran adalah jadual kerja tidak tentu masa.
“Saya perlu banyak berkorban masa untuk kerjaya. Tanyalah mana-mana wartawan atau mereka yang bekerja dalam bidang media pasti akan bercakap hal yang sama,” ujarnya yang terpilih sebagai pembaca berita menerusi uji bakat yang dijalankan TV3.
Menjadi seorang pembaca berita bukan semata-mata glamor sebaliknya seseorang itu perlu berdisiplin, komited terhadap tugas dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas.

Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

HAFIZ FARHAN menyuapkan makanan kepada seorang penghuni yang sudah hilang upaya.


TUGAS untuk mengurus dan menjaga pesakit HIV (Human Immunodeficiency Virus) mungkin membawa konotasi negatif bagi sesetengah pihak, namun tidak buat Mohamad Hafiz Aizad Mohd. Khairom, yang sanggup menghulur bakti kepada mereka.
Pada mulanya, Hafiz sekadar mengikut rakan yang bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah dengan niat untuk membantu. Lama-kelamaan dia seronok melakukan tugas tersebut kerana dapat menolong insan yang memerlukan.
Akhirnya, dia terus melahirkan hasrat untuk berkhidmat secara tetap di rumah perlindungan tersebut dan kini sudah setahun Hafiz bergelar kakitangan di sana.
Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, ketika minggu pertama bekerja, hatinya asyik memikirkan tentang risiko jangkitan virus HIV yang dihidapi pesakit. Justeru, dia mengakui kebimbangan terhadap perkara itu menjejaskan sedikit tumpuan ketika bekerja.
“Untuk menyedapkan hati, saya mengambil inisiatif membuat penyelidikan di internet. Selain itu, saya juga rajin bertanya pada doktor dan jururawat serta mereka yang pernah terlibat dalam penjagaan pesakit HIV.
“Hasilnya, stigma buruk saya terhadap jangkitan virus HIV terus hilang. Cuma, pada awalnya keluarga tidak memberi galakan untuk bekerja di sini kerana risau dengan keselamatan diri. Selepas diterangkan secara terperinci, mereka dapat menerimanya namun meminta saya lebih berhati-hati dengan tugas yang dilakukan,” ujar Hafiz yang sebelum ini pernah bekerja dalam bidang katering dan pertanian fertigasi.
Antara tanggungjawab Hafiz termasuklah memandikan pesakit yang uzur, membersihkan luka-luka dan membawa pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengikut tarikh temujanji.
Hilang semangat
Tambahnya, berdepan dengan pesakit yang sudah hilang semangat untuk hidup merupakan antara cabaran besar yang dihadapi. Ini kerana, mereka seolah-olah enggan meneruskan kehidupan dan berputus asa dengan nasib diri.
“Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan pesakit akan bersikap sambil lewa terhadap kesihatan diri seperti tidak mahu makan ubat, enggan mengikuti program motivasi yang diadakan dan bertindak mengasingkan diri.
“Jadi, kami perlu mencari jalan supaya mereka berfikiran positif meskipun sudah dijangkiti virus berbahaya itu termasuk menggunakan pendekatan psikologi,” terang Hafiz yang berasal dari Raub, Pahang.

HAFIZ turut membantu memandikan penghuni yang sudah uzur dan berkerusi roda.


Perkara itu diakui oleh Rohaya Mad Dan, 53, yang sudah tiga tahun bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah. Katanya, pelbagai kerenah pesakit boleh dilihat terutama mereka yang sudah hilang arah hidup.
“Lantaran itu, mereka perlu dilayan baik dan dipujuk seperti anak atau saudara sendiri. Memang adakalanya perangai pesakit HIV ini boleh membuatkan kita geram, tetapi hakikatnya apabila berpeluang menjaga mereka ia mendatangkan keinsafan dalam diri.
“Ia juga membentuk kita agar sentiasa bermuhasabah untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,” tutur Rohaya yang sering menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja-kerja kebajikan seperti Rumah Perlindungan Wanita, Baitul Fiqh.
Bersara awal pada usia 30-an ketika bertugas di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Rohaya boleh dijadikan contoh buat ramai wanita.
Kesanggupan menguruskan kehidupan pesakit HIV di rumah tersebut tidak harus dipandang remeh. Sebaliknya, wanita itu sudah dianggap seperti ibu oleh kebanyakan pesakit muda yang ditempatkan di rumah berkenaan.
Jelas Rohaya, setiap hari dia akan membuat air, menyediakan sarapan, mengemas katil dan peralatan serta menyiapkan dos pengambilan ubat untuk pesakit HIV.
“Sebelum ini, saya memang tiada ilmu langsung tentang HIV, malah saya juga menganggap pesakit HIV sebagai berbahaya untuk didekati kerana takut berjangkit. Namun, apabila mengikuti kursus di hospital tentang kaedah penjagaan pesakit secara khusus, barulah saya celik mengenainya,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Menyelusuri sejarah penubuhannya, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah mula beroperasi pada bulan Mac 2009 di Puchong. Ia diasaskan oleh pendakwah muda, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin dalam usaha menyelamatkan pesakit HIV Muslim yang ditempatkan di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Pada awalnya, rumah ini hanya menjaga lapan hingga 10 pesakit namun jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Hingga kini sepanjang tiga tahun beroperasi, lebih 150 pesakit HIV telah mendapat perlindungan di Darul Ukhwah.
Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah bernaung di bawah Yayasan Al-Ijabah, sebuah badan yang memberi tumpuan terhadap aktiviti kebajikan dalam masyarakat terutama anak-anak yatim.
Bagi Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam, 18, yang baru menyertai keluarga Darul Ukhwah awal Januari lalu, niatnya adalah untuk mencari pengalaman di samping berbakti kepada mereka.

SETIAP hari Rohaya perlu memastikan pesakit HIV mengambil ubat mengikut waktu yang ditetapkan.


“Sebelum ini saya sering mengikuti kuliah Ustaz Amin, jadi saya mahu menyelami kehidupan pesakit HIV dari dekat. Diharap dengan cara ini, ia mampu memberi kegembiraan kepada penghuni kerana masih ada insan yang sanggup membantu di saat mereka disisihkan masyarakat,” ungkap Hafiz Farhan penuh makna.
Dalam pada itu, sebaik selesai membentangkan sejadah, Ruslizam Md. Harun terus mengumandangkan azan menandakan masuknya waktu solat fardu Asar. Gemersik suara lelaki berusia 41 tahun itu pantas mengusik tangkai hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Alunan suara yang mendayu-dayu itu ternyata membangkitkan rasa insaf dalam diri sekali gus hampir terlupa bahawa dia merupakan salah seorang pesakit HIV.
Di satu sudut lain, kelihatan beberapa pesakit yang mendiami Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah telah bersedia untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Masing-masing lengkap memakai baju Melayu, berkain sarung dan kopiah di kepala. Namun, ada juga yang sekadar menyarung baju pagoda.
Ujian Allah
Usai mengerjakan solat, segelintir daripada mereka meneruskan aktiviti membaca al-Quran atau buku-buku bercorak keagamaan yang memenuhi rak di dalam rumah tersebut.
Situasi tenang dan mendamaikan itu ternyata memberi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata bagi Azman Khalid, 24, salah seorang kakitangan merangkap imam di rumah perlindungan tersebut.
Menurut Azman yang mula bekerja di Darul Ukhwah sejak Mac 2012, sewaktu kali pertama melihat penghuni rumah tersebut, perkara yang difikirkan ialah takut kenikmatan yang dimilikinya akan ditarik oleh Allah.
“Perasaan itulah yang memberi kekuatan kepada saya untuk membantu mereka yang diuji Allah dengan dugaan sedemikian. Bagi saya, pesakit HIV juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.
“Sehubungan itu, dengan menjaga kebajikan mereka di rumah ini mungkin dapat membawa mereka kembali bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah,” luah Azman yang sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik semata-mata untuk menguruskan pesakit HIV di Darul Ukhwah.
Tambah Azman, selain menjadi imam, dia turut mengajar pesakit mengaji mengikut kepandaian masing-masing. Apa yang membuatkan dia terharu adalah kesungguhan pesakit yang buta al-Quran. Ada yang sanggup belajar membaca Iqra’ seperti anak-anak kecil.
“Apabila melihat mereka benar-benar mahu mendalami agama yang selama ini ditinggalkan, hati terasa sebak. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa dan taubat mereka diterima,” tutur Azman.

Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama


USAHA murni Muhammad dalam menyelamatkan akidah pesakit HIV yang berlindung di gereja perlu dicontohi masyarakat yang sering meminggirkan golongan ini.


PENUBUHAN Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah terbina hasil daripada niat murni seorang pendakwah muda untuk menyelamatkan akidah saudara seagama yang disisihkan oleh masyarakat.
Semuanya bermula apabila Muhammad Abdullah, 36, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin diundang untuk memberi ceramah agama kepada kira-kira 30 pesakit HIV beragama Islam yang menumpang teduh di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Merenung sayu setiap wajah yang berada di hadapannya, Muhammad mengakui lidahnya kelu kerana sebak memikirkan nasib mereka.
Menurut Muhammad, dalam tempoh dua minit bercakap beliau merasakan seperti 20 jam. Sebagai pendakwah yang mengajak manusia ke arah kebaikan, saya rasa gagal kerana membiarkan golongan tersebut dalam keadaan sedemikian rupa.
“Bayangkan mereka yang berada dalam kesakitan, apabila pandang ke depan nampak Jesus, toleh ke kiri nampak salib, pusing ke kanan, nampak Virgin Mary. Kesimpulannya, semua yang dilihat menjauhkan mereka daripada mengingati Allah.
“Dari situ saya bertekad untuk mengeluarkan pesakit HIV beragama Islam yang berlindung di sana. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi termasuk diancam bunuh, saya tetap percaya dengan bantuan Allah,” terang Muhammad mengenai sejarah awal penubuhan rumah perlindungan tersebut.

KOMPLEKS Yayasan Ijabah yang menempatkan Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah yang terletak di Puchong, Selangor masih memerlukan dana untuk disiapkan.


Menurut Muhammad, pesakit-pesakit HIV termasuk dalam golongan riqob iaitu hamba yang perlu dibantu. Malah, bersandarkan pada hadis Nabi SAW iaitu: ‘Barang siapa bertindak membebaskan seorang hamba, maka Allah memberi jaminan akan membebaskan seluruh sendi-sendinya daripada api neraka’, ia memberi kekuatan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab itu.
Kini, selepas hampir empat tahun beroperasi, Muhammad bersyukur kerana kebanyakan pesakit yang menghuni rumah tersebut menunjukkan perubahan yang lebih baik. Selain itu, daripada 150 pesakit yang dijaga lebih kurang 40 orang telah meninggal dunia.
“Alhamdulillah, rata-rata meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah. Itu sangka baik saya kepada Allah kerana ramai yang meninggal pada malam dan hari Jumaat. Di samping itu, segala hal berkaitan pengurusan jenazah berlangsung dengan sempurna,” jelasnya.
Rahmat Allah
Menurut Mohammad, wajah jenazah berseri-seri sewaktu dikafankan dan ada juga yang meninggal dalam keadaan dahi mereka berpeluh iaitu salah satu tanda kematian yang baik.
“Sebagai umat Islam, kita harus yakin bahawa Allah tidak memandang kepada permulaan seseorang, tetapi bagaimana pengakhiran hidup mereka di muka bumi.

DIDIKAN agama dan kerohanian menjadi aspek utama di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah.


Justeru, saya sentiasa berpesan kepada semua pesakit agar jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah kerana ia terlalu luas. Apa yang penting, niat untuk memperbaiki diri,” jelas Muhammad penuh makna.
Dalam pada itu, Muhammad turut bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah.
Bagi Anis Harnisah Harun, 33, kesibukan suami dalam menyebarkan dakwah merupakan tuntutan agama dan sebagai isteri dia reda dengan perjuangan yang dipilih suaminya.
“Di sebalik urusan dakwah suami, saya pula memainkan peranan menjaga serta mendidik anak-anak di samping membantu perjalanan syarikat dalam mencari dana dan sebagainya,” ujar Anis.
Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Abdullah Fateh, 12, Anis Zakiah, 9, Abdullah Faqeh, 5, dan Abdullah Faiz Farhan, 2.

ICON lahirkan pembangun berbakat



PENGALAMAN bekerja sebagai jurutera perisian membuatkan Nurul Hana Abdul Aziz, 34, tidak mahu ketinggalan untuk menyertai program MSC Malaysia Pembangunan Kandungan Bersepadu (Integrated Content Development - ICON) ketika ia mula diperkenalkan pada tahun 2010.
Atas pelawaan seorang rakan pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Nurul Hana mencuba nasib dengan menghantar idea berkaitan kandungan aplikasi yang mungkin boleh dibangunkan.
Tanpa disangka, penyertaannya diterima sekali gus terpilih sebagai peserta perintis ICON musim pertama pada tahun tersebut. Ia memberi peluang kepada Nurul Hana untuk mengikuti kursus khas selama seminggu bagi mempelajari kaedah dan cara-cara membangunkan aplikasi mobil melalui peralatan yang disediakan pihak Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).
Akhirnya, dia berjaya mencipta satu aplikasi Islamik bertajuk My Jawi Word Builder dalam usaha menggalakkan kanak-kanak seronok mempelajari tulisan tersebut.
“Alhamdulillah, aplikasi My Jawi Word Builder berjaya dipasarkan di laman Google Play Store dan telah menarik perhatian golongan sasaran. Ia merupakan cara mudah untuk mengenali, mengeja dan belajar huruf Jawi bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa.
“Saya berpuas hati dan gembira kerana dapat menyertai program ICON yang membolehkan para peserta mengembangkan rangkaian kenalan di samping menjana pendapatan sendiri,” ujar Nurul Hana yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Artificial Intellegence (AI) atau kepintaran buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Nurul Hana merupakan salah seorang daripada lebih 1,100 peserta ICON Fasa I yang diadakan bermula tahun 2009 hingga 2010.
Ketua Bahagian Pembolehan Digital MDeC, Wan Murdani Mohamad berkata, ICON ialah satu program mengenai pembangunan kapasiti serta pembinaan ekosistem untuk pembangun-pembangun tempatan memasuki pasaran aplikasi di peringkat rantau dan global.
“Melalui program ini, MDeC memberi penekanan kepada keupayaan dan idea yang dimiliki oleh peserta ICON untuk dikembangkan melalui penyediaan tenaga pengajar dan peralatan bagi kegunaan mencipta aplikasi mudah alih tempatan.

WAN PENG (kiri) dan Wan Murdani (tengah) menunjukkan telefon pintar Nokia Lumia 620 yang turut dilancarkan ketika perasmian program ICON Fasa III bagi musim 2013 di Plaza Low Yatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Untuk itu, MDeC juga menjalin kerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi industri dan pihak berkepentingan untuk melengkapkan pembangun-pembangun dengan pelbagai aspek merangkumi kemahiran teknikal, komunikasi, pendedahan pasaran, latihan perniagaan dan integrasi peranti sepanjang tempoh pembangunan aplikasi,” jelas Wan Murdani kepada Kosmo!.
ICON III bersama Nokia
Terbaharu, program ICON III diteruskan MDeC melalui kerjasama dengan Nokia bagi memupuk pembangunan kandungan aplikasi mudah alih tempatan pada platform Windows Phone 8.
Kerjasama itu akan menawarkan latihan khas dan sokongan komuniti kepada kira-kira 100 pembangun ICON untuk membantu mereka mempelajari platform Windows Phone 8 dan membina asas pengetahuan berdasarkan kepakaran teknikal.
Selain itu, Nokia akan menyediakan Program Pembangun Premium Nokia (NPDP), satu program permulaan yang menawarkan pembangun ICON dengan perkhidmatan dan peralatan terbaik bagi membantu mereka mencipta aplikasi mudah alih bertaraf dunia.
“Kami rasa amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan ICON untuk membina sebuah ekosistem bertenaga yang mengintegrasi pengedaran, kesedaran dan penjanaan wang dari satu tempat.
“Kerjasama ini juga memastikan pembangun di Malaysia menerima peluang maksimum untuk idea-idea yang hebat sambil mengurangkan penglibatan risiko kewangan,” kata Ketua Pemasaran Nokia Pan Asia, Gary Chan.

PERMINTAAN aplikasi telefon pintar daripada pelbagai platform termasuk iOS, Android mahupun BlackBerry semakin tinggi dalam kalangan pengguna.


Tambah beliau, janji Windows 8, Windows RT (untuk ARM-based tablet) dan Windows Phone 8 adalah untuk berkongsi sistem operasi teras merentasi semua platform.
Bahkan, aplikasi tersebut boleh dibangunkan dengan perkongsian komponen yang menggunakan komputer peribadi (PC), tablet dan telefon pintar sekali gus membolehkan pembangun untuk mencapai lebih daripada 400 juta peranti pada 2013.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDeC, Ng Wan Peng melahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan jenama besar seperti Nokia yang merupakan antara pemain utama industri berkenaan.
“Perkongsian bersama Nokia akan lebih melengkapkan pembangun aplikasi dengan kemahiran teknikal yang tepat di samping turut memberi pendedahan pasaran dan keupayaan integrasi peranti sepanjang kitaran hidup pembangunan aplikasi,” tuturnya.
Tidak ketinggalan katanya, melalui ICON, pembangun aplikasi tempatan berpeluang meneroka pasaran antarabangsa melalui medium global seperti Windows Phone Marketplace.
“Kami yakin platform mudah alih terkini seperti Windows 8 akan membawa piawaian pembangunan aplikasi ke tahap yang lebih tinggi dan meluaskan pilihan untuk pasaran baharu,” jelasnya.

Air pasang besar di Tanjung Pia


AIR laut akan melimpah ke kawasan daratan dan tadahan sehingga membolehkan kawasan sekitar bak taman air mini.


SIKAP segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap secara sesuka hati ke kawasan pantai, menyebabkan bahan buangan berkenaan tersangkut pada akar pokok bakau yang tumbuh di pesisir pantai.
Botol minuman, plastik, selipar dan banyak lagi yang tersangkut di perangkap semula jadi itu sedikit sebanyak menjejaskan keindahan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, Johor.
Bagi mengembalikan keindahan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem Taman Negara Johor Tanjung Piai, DRB-HICOM Bhd. bersama-sama sekumpulan wakil media dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia bekerjasama mengutip sampah sarap berkenaan.
Aktiviti yang bermula seawal pukul 9.30 pagi itu dilakukan dengan penuh semangat selepas beberapa kumpulan kecil dibuat untuk memudahkan operasi pembersihan kawasan seluas 926 hektar itu.
Salah seorang peserta, Nurul Shuhada Karim, 24, mengakui masalah pembuangan sampah di taman negara tersebut harus dipandang serius kerana ia bukan sahaja akan mengganggu ekosistem, bahkan memusnahkan lokasi yang turut dikenali sebagai penghujung benua Asia tersebut sedikit demi sedikit.
“Pemandangan kawasan tumpuan pelancong ini akan terjejas kerana jumlah sampah sarap yang tersangkut di akar pokok selepas dihanyutkan air.
“Jika kita mengharapkan kakitangan taman negara sahaja yang menguruskan hal ini memang sukar kerana kawasannya yang luas,” kata Nurul Shuhada ketika ditemui semasa program mengutip sampah berkenaan.

SEORANG pengunjung, Mohd. Zaidi Juwahir sedang berjalan di atas jambatan yang tenggelam ketika beliau sedang memancing ketika fenomena air pasang besar di Tanjung Piai.


Fenomena air pasang besar
Walau bagaimanapun, selain membersihkan kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai, ada satu lagi sebab mengapa tarikh tersebut dipilih untuk mengumpulkan sukarelawan dan media.
Berlaku hanya dua kali setahun di taman tersebut, fenomena yang dipanggil sebagai air pasang besar sangat mengujakan.
Dalam fenomena tersebut air laut mula naik secara mendadak menutupi permukaan tanah selut kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Renjer yang bertugas di kawasan kami segera meminta peserta yang berada di bahagian bawah jambatan taman negara naik ke atas sebelum air menjadi lebih dalam,” cerita Nurul Shuhada lagi.
Difahamkan, air di kawasan berkenaan naik sehingga ketinggian 3.5 meter dari paras tanah.
Fenomena air pasang besar berkenaan dikatakan biasanya berlaku dua kali setahun iaitu pada awal dan penghujung tahun.
Kelihatan beberapa kelibat haiwan seperti ular, ketam, monyet dan sebagainya yang menjadikan kawasan itu sebagai habitat mula riuh-rendah menyelamatkan diri.
Monyet contohnya mula memanjat ke bahagian pokok yang lebih tinggi bagi mengelak daripada dihanyut air laut, manakala beberapa spesies burung mula berterbangan.

SPESIES ular kapak boleh ditemui di hutan paya bakau Tanjung Piai.


Suasana di kawasan pintu masuk Taman Negara Johor Tanjung Piai pula bertambah meriah dengan kehadiran penduduk setempat.
Mereka yang telah dimaklumkan mengenai kejadian fenomena itu berkumpul bagi melihat sendiri proses perubahan alam itu.
Kawasan berkenaan dengan sekelip mata berubah menjadi seperti taman tema air mini apabila kanak-kanak berpesta bermain air yang mula melimpah keluar dari taman negara itu. Kanak-kanak begitu riang bermain air setinggi paras buku lali sambil diperhatikan oleh ibu bapa mereka.
Pesta yang ditunggu-tunggu
Menurut penduduk setempat, Che Halim Che Ismail, 52, air laut yang melimpah keluar dari taman itu akan mengalir ke arah anak sungai kecil yang terletak tidak jauh dari situ.
“Hampir setiap tahun kami sekeluarga akan datang melihat fenomena air pasang besar, tambahan pula taman negara ini terletak berhampiran dengan rumah kami,” katanya.
Fenomena air pasar besar itu berlangsung selama beberapa jam dan mula surut secara perlahan-lahan pada waktu tengah hari.
Dalam pada itu, Pengurus Taman Negara Johor Tanjung Piai, Khalid Zahrom berkata, fenomena itu memberi kesan terhadap kawasan Tanjung Piai kerana hakisan akan menyebabkan kehilangan keluasan tanah di situ.
Bagaimanapun, Khalid memberitahu, pelbagai usaha dijalankan pihaknya terutamanya menerusi program penanaman pokok bakau sebagai penahan semula jadi.

Bercuti bersama Shila Amzah

SHILA AMZAH (dua dari kiri) bergambar bersama kumpulan Kliq 3A's yang memenangi kategori sagu hati.


WARNA biru, merah jambu dan putih menyerikan sesi percutian Safi Kliq 2 yang diadakan di pusat peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan, pada minggu lalu.
Suasana riuh-rendah memecah keheningan persisiran pantai Batu 3, Port Dickson dengan gelak tawa 15 gadis yang berperwatakan ceria dan sporting.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah masing-masing kerana berpeluang menikmati percutian hujung minggu bersama teman karib serta diserikan dengan kehadiran duta Safi Balqis dan penyanyi muda popular, Shila Amzah selama dua hari satu malam. Mereka ini merupakan pemenang bertuah peraduan Safi Kliq 2 anjuran jenama Safi Balqis.
Jelas Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman, tujuan peraduan Safi Kliq dianjurkan buat kali kedua sebagai tanda penghargaan kepada para pengguna yang menggunakan produk Safi Balqis dalam penjagaan wajah harian.
Menyentuh mengenai konsep peraduan, Mahsuri memberitahu mereka masih mengekalkan tema persahabatan seperti musim pertama.
Peserta hanya perlu menghantar kepingan gambar kumpulan yang menonjolkan elemen kasih sayang dalam hubungan persahabatan di samping mempamerkan produk Safi Balqis mengikut kreativiti masing-masing.
“Pada tahun ini, kreativiti foto peserta begitu mengagumkan. Mereka bukan saja menyarungkan pakaian mengikut tema Safi Balqis seperti biru lembut, merah jambu dan putih malah bijak memilih tema fotografi yang unik. Tahun ini kami menerima hampir 150 penyertaan dari seluruh Malaysia.
“Dalam menyuntik kelainan meraikan para pemenang, kami menawarkan pakej percutian dua hari satu malam bersama duta Safi Balqis, Shila Amzah di pusat peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami menyifatkan pengalaman bercuti ini memberi peluang para peserta mengenali antara satu sama lain selain beramah mesra bersama Shila,” ujar Mahsuri ketika ditemui Kosmo!.
Menariknya, pemenang bertuah tersebut bukan saja mendapat pengalaman percutian yang indah malah turut menimba ilmu kecantikan di dalam kelas penjagaan wajah menggunakan rangkaian produk Safi Balqis Perfect 10.
Sementara itu, penyanyi dan duta Safi Balqis, Shila Amzah, menyifatkan sesi percutian bersama pemenang peraduan Safi Kliq 2 antara aktiviti yang dinantikan. Pada saat itu, dia dapat melupakan seketika kesibukan di atas pentas.
“Bunyi ombak menghempas pantai dan suasana yang nyaman membuatkan fikiran saya tenang dan membantu mengurangkan tekanan kerja. Di sini, saya menghiburkan diri dengan bermain sukaneka, menyaksikan peserta membuat persembahan dan berkongsi cerita bermesra bersama mereka,” tutur Shila yang bergelar duta Safi Balqis untuk tahun yang ketiga.
Dalam pada itu, wakil kumpulan Kliq N + N = M, Nabilah Ismail, 23, melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila grup mereka diumumkan sebagai pemenang utama. Mereka tidak menyangka percubaan pertama kali menyertai peraduan seumpama itu membuahkan hasil yang cukup lumayan.
“Sukar digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya apabila koleksi foto kami berjaya menambat hati kumpulan juri Safi Kliq 2. Kami bertiga hanya membelanjakan RM150 untuk membeli pakaian, menyewa prop dan perkhidmatan sesi fotografi di sebuah studio yang berpangkalan di Cheras, Kuala Lumpur.
“Kami memilih konsep fotografi yang menggabungkan tiga gaya fesyen berbeza iaitu kasual, feminin dan pop. Selain diserikan dengan penggunaan prop seperti payung, belon dan gitar, kami turut bergambar bersama rangkaian produk Safi Balqis. Ia merupakan syarat wajib bagi peraduan Safi Kliq 2,” jelas Nabilah yang berkongsi kegembiraan bersama dua rakan karibnya, Masliana Che Mat, 23 dan Nazatul Nabila Abdullah Rashid, 23.
Dipilih sebagai juara Safi Kliq 2, kumpulan Kliq N + N = M, selain berpeluang menikmati percutian bersama Shila Amzah selama dua hari satu malam di Port Dickson, mereka turut membawa pulang gajet Samsung Galaxy Tab setiap seorang.
Bagi kumpulan Kliq PerfecTeens, Kliq KLiq 3A’s, Kliq R3achsta, Kliq SAE-fi yang memenangi kategori saguhati mereka turut menyertai percutian di Port Dickson dan menerima hadiah Kamera Instax Fuji setiap seorang.

Wednesday, January 30, 2013

Saida sukar didekati lelaki

KAKAK kepada Siti Nurhaliza ini mengakui belum ada lelaki yang melamar dirinya untuk dijadikan isteri buat masa ini.


PENYANYI Siti Nursaida Tarudin atau Saida yang merupakan kakak kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza kini memegang status ibu tunggal kepada empat orang anak selepas bercerai dengan suaminya pada Oktober 2011.
Sejak menjanda, banyak gosip hangat yang melanda dirinya termasuklah dia dikatakan bercinta dengan orang kenamaan. Ada juga gosip kononnya dia mahu berkahwin dengan seorang penerbit drama.
Namun, sehingga hari ini Saida, 37, kekal dengan status janda. Ketika ditemui pada majlis Jom Fiesta anjuran Utusan Karya Sdn. Bhd., Bangi, Selangor pada Sabtu lalu Saida mengakui, dia tidak serik untuk kembali bercinta. Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.
Kosmo!: Kenapakah berat badan Saida kelihatan semakin menurun? Adakah kerana susah hati?
SAIDA: Sebenarnya bukan sebab makan hati tetapi saya memang mahu kurus. Sebelum ini berat badan saya 57 kilogram (kg) sekarang 54 kg. Saya kini mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk kekal cergas.
Bagaimanakah dengan kehidupan selepas bergelar janda?
Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa. Pagi sibuk menguruskan anak sekolah, saya masih memegang jawatan sebagai pengurus akaun di Siti Nurhaliza Production. Pada hujung minggu, jika masa mengizinkan saya akan memenuhi undangan pentas.
SAIDA menegaskan dia kini dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengekalkan berat badan.


Tidak ada lelaki yang melamar anda untuk dijadikan isteri?
(Ketawa) Setakat ini belum lagi. Saya masih solo, belum berpunya. Bukan tidak mahu berkahwin lagi kerana jodoh ketentuan itu ketentuan Allah tetapi buat masa sekarang, jadual harian saya sangat padat sehingga tidak ada masa memikirkan tentang teman hidup. Paling penting untuk saya buat masa sekarang sudah tentu anak-anak dan kerjaya.
Jika ada yang ingin melamar anda, apakah kriteria utama lelaki pilihan anda?
Paling utama, lelaki itu harus menerima saya seadanya. Maknanya, bukan sahaja menerima diri saya tetapi juga empat orang anak saya. Jika tidak dapat terima anak-anak saya, lelaki itu bukanlah lelaki pilihan. Memang bukan mudah untuk lelaki mendekati saya kerana ke mana sahaja saya pergi pasti akan ditemani ahli keluarga.
Adakah anda meletakkan sebarang sasaran untuk menamatkan zaman janda?
Tiada sebarang sasaran kerana jodoh itu bukan kuasa saya tetapi Allah. Jika ditakdirkan saya menemui jodoh selepas ini, saya akur tetapi tidaklah buat masa sekarang kerana sibuk sangat.
Jika sudah sibuk dengan jadual harian bagaimana pula dengan dengan kerjaya nyanyian?
Mungkin orang sangka saya sudah tidak menyanyi kerana saya sudah tidak muncul di televisyen, akhbar dan majalah. Walaupun sibuk dengan kerja tetap dan mengurus keluarga, minat menyanyi itu sudah sebati dengan diri saya. Memanglah tidak aktif seperti dahulu tetapi setiap hujung minggu pasti saya akan mengadakan persembahan pentas. Tahun lalu saya telah menghasilkan sebuah single berjudul Cinta Kayangan dan jika tiada aral melintang saya akan muncul dengan single baharu.

Tasha Shilla Kurang Senang Ada Pihak Cetuskan Provokasi

Tasha ambil pendekatan untuk berdiam diri dalam menghadapi setiap provokasi yang dicetuskan mengenainya.
PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla berasa hairan dengan sikap segelintir pihak yang terus mencetuskan pelbagai isu bagi membangkitkan kemarahannya termasuklah melakukan provokasi.
Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 26, berkata, walaupun dia tidak pernah melayan atau melenting dengan isu-isu yang timbul sepanjang tahun lalu, senario itu masih berlanjutan sehingga kini.
“Saya sendiri berasa hairan kenapa orang terus berusaha melakukan provokasi menerusi pelbagai isu semata-mata untuk melihat saya melenting?
“Namun, saya seorang yang positif dan fokus pada objektif menceburi bidang ini jadi tidak perlu saya melayan kontroversi itu semua,” katanya kepada mStar Online.
Tasha berkata, selepas berdiam diri beberapa bulan kerana kesibukan kerja, dia sekali lagi diuji dengan isu kononnya tidak mendapat penajaan undian sehingga tidak dicalonkan dalam mana-mana kategori pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 tahun ini.
Pada tahun lalu, Tasha memenangi Artis Baru Wanita Popular anugerah itu yang turut dikaitkan kononnya dia menerima tajaan bagi mengundinya sehingga berjaya meraih kemenangan tersebut.
Katanya, segelintir pihak terus mengasaknya dengan pelbagai persoalan walaupun dia menganggap soal dicalonkan atau tidak pada anugerah itu kali ini adalah ketentuan Tuhan.
“Dapat atau tidak (pencalonan) ia adalah soal rezeki yang ditentukan Tuhan. Malah, tiada apa yang hendak diperbesarkan pun.
“Dari dulu lagi, saya dihentam macam-macam tapi saya senang ambil pendekatan untuk tidak melatah dan hadapi dengan tenang,” katanya.
Mengenai kerjaya, aktres ini berkata, dia masih sibuk menyudahkan komitmen drama berjudul Rindu Bertemu Abu Dhabi untuk siaran TV3.
“Komitmen untuk drama 28 episod ini bermula Disember lalu hingga Februari depan untuk tempoh 3 bulan.
“Saya selesa apabila sibuk berlakon, apa jua kontroversi yang timbul boleh saya alihkan pada kerja.
“Biarlah orang nak timbulkan provokasi, saya senang berdiam diri dan fokus pada kerja sahaja,” katanya.

Nash Akui Sukar Cari Wanita Solehah Untuk Calon Isteri

Nash cari bakal isteri solehah.
PETALING JAYA: Penyanyi Nash (Lefthanded) meluahkan keinginannya untuk berumah tangga dengan seorang wanita yang mampu menjadi isteri solehah serta mentaati suami.
Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 54, berkata, pada zaman serba moden ini, agak sukar untuk dia mencari wanita yang memiliki ciri-ciri idamannya seperti itu.
"Bagi kebanyakan lelaki (duda) seperti saya, pasti ramai yang inginkan seorang wanita yang serasi dengan diri untuk menjadi teman hidup bersama, begitu juga dengan saya.
"Cuma saya begitu 'mengidam' untuk memiliki seorang wanita yang mampu menjadi isteri solehah dan sentiasa mentaati suami," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah Nash, dia juga mengakui tidak berusaha dalam mencari wanita sebagai teman hidup seperti yang diinginkan itu, sebaliknya menganggap jodohnya akan sampai apabila tiba masanya.
"Saya tak mencari, sebab itulah saya lambat dapat calon," seloroh Nash.
Hasil perkahwinan terdahulu, Nash dikurniakan tiga cahaya mata, Fareena Nasha, 24, Najeeha Nasha, 22, Mohd Shameer Nasha, 16 dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 14.
Nash juga pernah berkahwin dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor sebelum bercerai pada 26 Mei 2009.
Sementara itu, Nash bersama kumpulannya, Lefthanded serta Sweet Charity dan May bakal beraksi pada konsert Dimensi Rockarisma yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) Johor Bahru pada 9 Februari depan.
Tiket berharga RM78 boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-7880799 atau layari laman web www.ticketpro.com.my.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Aida Husin menerusi talian 012-2166873 atau e-mel di mewahevent@gmail.com.

Jumpa Anak 2 Jam, Jimmy Shanley Tidak Puas Hati


Jimmy Shanley mengaku mampu menjaga anaknya dengan baik tanpa bantuan bekas ibu mertuanya.
Shah Alam: Pengacara Jimmy Shanley mengakui kurang selesa dengan kehadiran bekas ibu mentuanya yang juga ahli perniagaan Datin Muniroh Kassim ketika dia bersama anaknya perempuannya, Zahra Rania, setahun lapan bulan.
Menurut laporan Harian Metro pada Rabu, Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, berkata masa dua jam yang diberikan untuk meluangkan masa dengan anaknya itu juga tidak mencukupi.
“Masa dua jam untuk saya berjumpa dengan anak tidak cukup. Saya mengandaikan dapat bermalam dengan anak, tapi tidak dapat sebab bekas ibu mentua ada bersama,” katanya dalam perbicaraan hak penjagaan anak (hadanah) di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Selasa.
Tambah Jimmy, kali terakhir dia berjumpa anak tunggalnya itu pada 23 Januari lalu di rumahnya Putra Height, Subang Jaya.
Nursuhaila Eliani
"“Sebab itu saya putuskan tidak jumpa anak bila ibu mentua ada,” katanya ketika sesi soal semula oleh peguam syarie yang mewakilinya Mohd Noor Aizan Md Idrus.
Selain itu, ketika ditanya siapa sebenarnya menguruskan anaknya, Jimmy berkata, dia yakin anaknya itu bukan diuruskan plaintif sebaliknya ibu mentuanya.
Terdahulu, ketika disoal balas peguam syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila Eliani Suhaimi (plaintif), Jimmy berkata, pada 23 Januari lalu bekas ibu mentuanya menghantar SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) bertanyakan sama ada dia berada di rumah kerana ingin membawa anak Jimmy ke rumahnya.
“Dia SMS sebab takut saya tiada di rumah,” katanya. Dia bagaimanapun setuju dengan Sa’adiah bahawa bukan permintaannya untuk berjumpa Rania sebaliknya bekas ibu mentua yang sedia membawa bayi itu ke rumahnya.
“Saya bersama anak selama lebih kurang dua jam setengah antara jam 3.30 petang hingga 5.45 petang,” katanya yang kini bekerja sebagai pengarah dan perunding syarikat.
Menurutnya, dia mempunyai pengalaman menjaga anak kecil iaitu ketika menjaga dua anak saudaranya yang ketika itu berusia empat serta enam tahun sekitar 1998 hingga 2000 dan disebabkan itu dia tiada masalah menjaga anaknya tanpa bantuan.
Hakim Syarie Mawardi Che Man kemudian mengarahkan kedua-dua pihak menyediakan hujah masing-masing dan menetapkan 8 April depan untuk keputusan.
Kemelut rumah tangga pasangan itu menemui noktah selepas sah bercerai talak satu secara tebus talak (khuluk) dengan nilai ganti rugi RM1 pada 10 Oktober lalu.
Pasangan itu diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran RM31,186 yang diambil sempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.
Pengacara Akademi Fantasia ke-8 itu dan isterinya dilaporkan tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.

Ramli Sarip Akui Belum Cukup Ilmu Muzik


Ramli Sarip ingin menghasilkan buku biografinya sendiri.
PETALING JAYA Penyanyi Ramli Sarip menganggap ilmunya dalam bidang muzik masih lagi cetek walaupun sudah 46 tahun beliau bergelar seorang artis.
Ramli, 61, berkata, dia merasai kelemahan dirinya itu apabila mendapati banyak lagi ilmu yang belum diterokainya apabila membaca buku-buku berkaitan bidang berkenaan.
"Saya seorang yang suka membaca mengenai perkembangan muzik di negara-negara Eropah terutamanya buku yang berunsur falsafah dan biografi artis yang menceritakan jatuh bangun mereka dalam mengejar impian sebagai penyanyi.
“Buku-buku itu juga menyedarkan saya bahawa banyak perkara berkenaan dengan muzik yang saya tidak tahu dan ilmu muzik itu sendiri tidak ada penghujungnya," kata Ramli kepada mStar Online.
Tambah Ramli, membaca adalah salah satu minatnya selama ini yang mampu memberikannya pengetahuan mendalam dalam satu-satu perkara khususnya berkaitan muzik.
Malah, dia juga turut mengikuti perkembangan semasa dunia hiburan menerusi pembacaan menerusi akhbar dan majalah-majalah hiburan.
"Jika remaja sekarang ini lebih senang menggunakan Internet dalam mencari maklumat terkini, saya pula masih menggunakan konsep lama iaitu dengan membaca menerusi buku-buku, akhbar dan majalah," katanya.
Dalam pada itu, Ramli yang juga vokalis kumpulan Sweet Charity turut meluahkan hasratnya untuk menghasilkan sebuah buku berbentuk biografi menceritakan kisah hidupnya sepanjang menjadi penyanyi dalam industri muzik tempatan.
"Sebelum ini, hanya sedikit kupasan mengenai kumpulan saya yang dipaparkan dalam buku biografi 'Sweet Charity 40 Tahun Bagaikan Bermimpi'.
"Selepas menerima respons yang bagus, peminat meminta saya membuat sebuah biografi tentang diri saya dan memang saya ada perancangan ke arah itu," tuturnya.
Sementara itu, Ramli bersama Lefthanded dan May bakal beraksi pada konsert Dimensi Rockarisma yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) Johor Bahru pada 9 Februari depan.
Tiket berharga RM78 boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-7880799 atau layari laman web www.ticketpro.com.my.