Sunday, October 13, 2013

Kolumpo idea Bront, Rozi dan Shikeh Munasar


RADHI KHALID (duduk kiri) antara pelakon filem Kolumpo.


KOLUMPO merupakan sebuah filem antalogi gabungan hasil kerja tiga buah filem pendek yang teradun daripada bahasa yang berbeza.
Setiap filem pendek itu merangkumi durasi 30 minit. Mengambil sebutan slanga 'kolumpo' yang bermaksud Kuala Lumpur, filem ini diarahkan oleh Sheikh Munasar, Rozi Izma dan Bront Palarae.
Kolumpo kali ini digambarkan dengan cukup berbeza menerusi tiga perspektif pembikin filem muda tempatan.
Filem yang mendapat sentuhan tiga sutradara itu merupakan karya sulung Otto Films Sdn. Bhd. Filem berkenaan dibintangi oleh Sharifah Amani, Azad Jasmin, Ruminah Sidek, Soffi Jikan, Nell Ng, Mona Maniam, Sabri Yunos, Amerul Affendi, Azhan Rani, Along Ezzy dan penampilan khas Farid Kamil.
Turut serta ialah Remy Ishak, Sarah Ali, Ho Yuhang, Dain Said, Chew Kin Wah, Adibah Nor dan Bront sendiri. Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 5 Disember akan datang.
Idea di sebalik filem itu sudah lama dibincangkan oleh ketiga-tiga sahabat sutradara tersebut. Asalnya Bront, Rozi dan Munasar ingin menghasilkan tiga cerita pendek bertemakan Kuala Lumpur.
Semasa proses penulisan skrip, mereka menyedari bahawa secara kebetulan mereka telah menghasilkan skrip-skrip yang menceritakan tentang harapan dan impian.
Bersama seorang lagi sahabat iaitu James Wong, mereka bertungkus-lumus mencari dana untuk menerbitkan filem pendek itu.
Atas cadangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), mereka memohon pinjaman Industri Kreatif melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Untuk mereka, proses pembikinan filem ini cukup mencabar kerana tiada garis panduan struktur yang melibatkan lebih daripada dua pengarah dalam sebuah filem.
Oleh itu, komunikasi antara pengarah dan pihak produksi amat penting dalam proses pembikinan Kolumpo yang unik ini.
Pihak produksi Kolumpo juga berasa bertuah kerana mendapat penglibatan Pete Abdullah sebagai penolong pengarah dan sinematografi oleh Charin Tong Pengpanich.
Proses penggambaran di Kuala Lumpur dianggap sebagai cabaran berganda kerana melibatkan pelbagai lokasi.
Oleh kerana majoriti lokasi filem ini melibatkan penggambaran luar, cuaca menjadi salah satu cabaran yang perlu ditempuh oleh pihak produksi.
Walaupun berlatarbelakangkan kota Kuala Lumpur, filem Kolumpo menjanjikan satu pengalaman baharu kepada penonton. Ia penuh kejutan menerusi perspektif yang tidak pernah dilihat sebelum ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: