
ZOMBI Walk juga popular di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan negara-negara Amerika Selatan.
PRAGUE di Republik Czech sememangnya terkenal dengan warisan sejarahnya. Selain itu, bandar raya tersebut tersohor sebagai pusat politik, kebudayaan dan ekonomi terpenting di Eropah suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, pelancong kini mempunyai satu sebab lain untuk berkunjung ke kota yang dihuni lebih 1.3 juta orang itu.
Dikenali sebagai Zombi Walk, acara yang dimulakan sejak tahun 2008 itu ternyata unik kerana ratusan penduduk akan berkumpul dan berarak di seluruh Prague dengan memakai kostum seperti hantu zombi.
Berbekalkan kostum dan solekan menggerunkan, peserta akan berjalan, menjerit dan menggayakan bermacam-macam aksi zombi seperti yang sering dilihat dalam filem-filem seram mayat berjalan itu.
"Ia merupakan acara unik dan menghiburkan. Bayangkan semua penduduk bandar ini bertukar menjadi zombi secara tiba-tiba," kata penganjur perarakan itu, Jaroslav Spinka.
Tambah Spinka, pada tahun ini, kesemua peserta berarak dari Dataran Old Town sehingga ke Jambatan Charles yang mengambil masa selama hampir dua jam.
"Selain penduduk tempatan ada juga pelancong asing yang berminat menyertainya. Apa yang pasti, perarakan ini merupakan tarikan terbaharu yang mewarnai kalendar pelancongan negara ini," katanya.
Zombi Walk tidak sekadar popular di Republik Czech, malah di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Kanada, Jepun, Argentina dan Mexico.
Perarakan itu dikatakan bermula pada tahun 2000 di Milwaukee, Wisconsin, AS sebagai satu persembahan lawak jenaka yang dilakukan sekumpulan pemuda ketika Konvensyen Permainan Gencon.
Idea itu kemudian dikembangkan untuk mempromosikan filem-filem seram sebelum tersebar ke seluruh dunia sebagai satu persembahan seni yang mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Selain untuk acara hiburan, perarakan itu turut dijadikan acara kebajikan bagi mengumpulkan dana dan kempen-kempen kesedaran mengenai isu-isu tempatan dan global.
Pada November 2012, perarakan yang diadakan di Twin Cities (Minneapolis-Saint Paul, AS) berjaya mengumpulkan 8,027 peserta sekali gus diiktiraf sebagai Zombi Walk yang terbesar di dunia oleh Guinness Book of Records.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: