SOO WINCCI mendedahkan ada individu
kaya yang menawarkan mahu menaja dirinya dalam bentuk wang ringgit
dengan nilai lebih RM1 juta.
|
BERBEKALKAN rupa paras yang cantik, anggun dan lemah-lembut, serta berbakat besar dalam bidang kulinari, Soo Wincci kini lebih dikenali sebagai seorang selebriti yang serba boleh.
Sangat fasih berbahasa Melayu, ditambah sikap rendah dirinya itu membuatkan dia begitu istimewa pada pandangan mata para peminatnya.
Mesra disapa Wincci, gadis tinggi lampai ini mula dikenali secara meluas ekoran pembabitannya dalam program realiti TV, MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama.
Dia kemudian nekad untuk melebarkan sayap karier seninya ke Taiwan.
Bersua dengan Winccia pada majlis perasmian rangkaian kabel TV digital pertama di Malaysia dikenali sebagai ABNxcess di Kuala Lumpur baru-baru ini, terus sahaja diajukan persoalan tentang perkembangan terkini dirinya terutamanya di Taiwan.
Ujar Wincci: “Bukan senang untuk menempa nama di Taiwan. Namun, saya tetap mengambil risiko untuk terus belajar dan mencapai cita-cita saya di persada seni, sekali gus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Saya sanggup berusaha melakukan apa sahaja bagi menembusi pasaran Taiwan.”
Menurutnya lagi, dia memilih Taiwan kerana negara itu dilihatnya sebagai titik permulaan buat dirinya untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi di persada seni antarabangsa.
Dituduh gila
Terbaharu, Wincci mendedahkan bahawa dia telah mencabar dirinya untuk ke Taiwan dengan berbekalkan wang sebanyak RM1 juta.
Ia adalah bagi membuat pelaburan untuk membikin album nyanyiannya yang berjudul, Happiness di sana.
“Bagi saya, bara yang digenggam biar sampai jadi arang.
“Pinjaman wang sebanyak RM1 juta itu membuatkan saya terus kuat untuk berjuang demi menggapai kejayaan.
“RM1 juta bukanlah nilai yang sedikit bagi sesetengah artis untuk menghasilkan sebuah album.
“Namun di Taiwan, jumlah tersebut merupakan suatu kebiasaan bagi mereka yang ingin merakam dan mempromosikan album,” jelas penyandang gelaran Miss World/Malaysia 2008 itu.
Ujarnya lagi: “Ramai orang cakap saya gila sebab membuat pinjaman sebanyak RM1 juta. Keluarga juga pada mulanya menentang hasrat saya untuk membuat pinjaman bank tersebut.
“Namun, saya berjaya meyakinkan mereka bahawa diri ini tetap akan berjuang dan satu hari nanti pasti menempa nama di pasaran luar Malaysia.
“Saya mencagarkan rumah dan menunggu selama enam bulan sebelum pihak bank meluluskan pinjaman sebanyak RM1 juta tersebut.
“Saya pujuk ayah supaya menjadi penjamin. Agak susah pada mulanya, tetapi setiap hari saya cuba meyakinkan ayah kerana saya tahu jumlah tersebut banyak,” ujarnya.
Wincci juga memberitahu, dia kini boleh menarik nafas lega apabila dua single daripada albumnya itu iaitu yang berjudul I’ll Be Orait dan Happiness berjaya memasuki carta lagu popular di stesen-stesen radio Taiwan.
Katanya: “Dalam tempoh sebulan, dua minggu saya berada di Malaysia dan baki dua minggu lagi di Taiwan.
“Saya lega sedikit apabila single I’ll Be Orait dan Happiness sudah masuk carta lagu popular di stesen-stesen radio di Taiwan.
“Berbaloi juga pelaburan besar yang saya lakukan.”
Dalam pada sibuk mempromosikan album sulungnya itu, Wincci memberitahu, dia bakal merakamkan album keduanya di Taiwan.
“Selain projek album kedua di Taiwan, saya turut berkecimpung dalam dunia perniagaan seperti membuka kedai roti dan menghasilkan jenama kasut sendiri,” ujarnya.
Enggan jual maruah
Dalam pada itu, Wincci mengakui dia pernah ditawarkan oleh sesetengah individu kaya untuk ditaja.
Namun, dia menolak tawaran itu kerana enggan menjual maruah dirinya semata-mata kerana wang.
“Bagi saya, maruah diri lagi penting. Saya tidak mahu jual maruah kerana duit.
“Selagi saya boleh berusaha untuk dapatkan duit, saya akan lakukan sendiri tanpa perlu ditaja. Sememangnya banyak pihak ingin taja saya lebih daripada jumlah RM1 juta.
“Namun untuk apa saya terima, sedangkan saya masih kuat untuk bekerja. Lebih baik saya tanggung hutang daripada menjual maruah diri,” tegasnya.
Ditanya sama ada dia sudah mempunyai kekasih, Wincci hanya tersenyum.
Akuinya, dia masih solo dan belum mempunyai teman lelaki disebabkan kesibukan dirinya dengan kerjaya seni.
Sebenarnya Wincci sangat berani dan nekad dalam mempertaruhkan masa depannya.
“Ia terbukti apabila dia sanggup meninggalkan apa yang dimilikinya sebelum ini termasuk kekasih yang sudah menjalinkan hubungan cinta bersamanya selama tiga tahun.
“Hendak berjaya bukan senang, kadangkala kita perlu korbankan banyak benda. Saya korbankan cinta saya kerana cita-cita.
“Namun, saya bersyukur kerana dia sudah ada pengganti dan bakal berkahwin. Saya tumpang gembira,” ujar Wincci.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: