
REVOLUSI rekaan Porsche 911 menjadikannya sebuah model sports yang semakin matang.
SELAMA lima dekad, model 911 merupakan jantung hati Porsche. Hanya beberapa kereta sahaja di dunia yang mempunyai tradisi dan kesinambungan seperti Porsche 911.
Model tersebut telah menjadi inspirasi kepada ramai penggemar kereta sejak pertama kali diperkenalkan (901) pada acara IAA International Automotive Show, Frankfurt, Jerman pada September 1963.
Hari ini, 911 ialah sebuah model yang menjadi penanda aras untuk pesaing lain. 911 turut dijadikan sebagai rujukan untuk semua model Porsche. Setiap model tersebut membawa falsafah 911.
Prinsip Perlumbaan
Sehingga kini, lebih 820,000 Porsche 911 telah dibina yang menjadikannya kereta sport paling berjaya di dunia. Bagi ketujuh-tujuh generasinya, para jurutera di Zuffenhausen dan Weissach memperbaharuinya berkali-kali sebagai simbol kuasa inovatif Porsche.
Kelebihan 911 terletak pada adunan sifat kontradiksi seperti sporty dengan praktikaliti harian, tradisi dengan inovasi, eksklusif dengan penerimaan sosial dan rekaan dengan kebolehgunaan.
Sebagai tambahan kepada ciri-cirinya yang klasik dan unik, Porsche 911 selalu dipuji melalui teknologinya yang maju. Banyak idea dan teknologi diperkenalkan pada model 911 dilahirkan daripada trek perlumbaan. 911 sememangnya dibangun berdasarkan kepada prinsip perlumbaan sejak dari awal lagi. Perlumbaan sememangnya menjadi medan ujian paling penting untuk model itu.
Sejak dari mula, ‘habitat’ 911 adalah di litar dan lokasi rali di serata dunia, berbekalkan reputasi sebagai sebuah kereta yang pantas dan boleh menang. Faktanya, dua pertiga daripada 30,000 kemenangan yang diperoleh Porsche disumbangkan oleh 911.
Pada bulan September depan di International Motor Show (IAA) di Frankfurt, Porsche akan menyambut ulang tahun 911 yang ke-50 dengan memperkenalkan model edisi istimewa (SE) 50 Years Edition - separuh abad sejak model ikonik itu diperkenalkan di Jerman.
Menariknya, model SE itu hanya akan dihadkan kepada 1,963 unit iaitu mengikut tahun 911 dilahirkan. Seperti coupé pertama, model 911 50 Years Edition didatangkan dengan enjin flat-six pacuan roda belakang. Prestasi yang efisyen, suspensi sports active dan gayaan badan yang eksklusif menambah lagi penampilan kontemporari 911.
Memetik laporan agensi berita Newspress, model SE diasaskan daripada model 911 Carrera S, tetapi dilitupi badan yang lebih lebar iaitu 44 mm pada arca roda belakang yang sebenarnya untuk model pacuan semua roda (AWD) Carrera 4.
Keunikan luaran 911 SE diilhamkan daripada 50 tahun kejayaan model itu. Sebagai contoh, Porsche Active Suspension Management (PASM) ditala semula supaya berpadanan dengan peningkatan lebar jarak roda yang memberi lebih dinamik sewaktu mengambil selekoh.

TEMPAT duduk yang menawarkan keselesaan sepanjang masa.
Enjin Flat-Six
Model itu turut dipasangkan dengan sistem ekzos baharu bagi meningkatkan lagi tarikan emosi pada pemandu. Dikuasakan oleh enjin 3.8 liter flat-six berkuasa 400hp, Porsche 911 50 Years Edition mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh hanya 4.5 saat dan 4.3 saat bagi model PDK dengan kelajuan maksimum 299km/j dan 298km/j (PDK).
Memberi indikasi jelas lokasi enjin flat-six yang berada di belakang ialah jaluran krom pada sirip gril bonet enjin. Aksesori tersebut diteruskan pada ruang suapan udara depan dan di antara lampu belakang.
Paling menonjol untuk model SE ialah rim ‘old school’ lima jejari yang diinspirasikan daripada rim dikenali sebagai Fuchs. Ia merupakan rim lagenda yang pertama kali digunakan pada model 911 tahun 1966.
Rim bersaiz 20 inci itu diwarnakan dengan warna hitam kusam dan kilatan mesin. Selain peralatan khas, pakej standard 911 Carrera S terdiri daripada Porsche Torque Vectoring (PTV) dengan limited slip differential belakang, skrin sentuh berwarna 4.6 inci Porsche Management bersama navigasi satelit, kawalan suhu automatik, lampu utama Bi-Xenon dan audio antara muka yang mempunyai sambungan MP3 dengan jaminan selama tiga tahun.
Pada bahagian dalam pula, gayaannya banyak meniru kembali reka bentuk 911 asal. Misalnya, label hijau pada instrumen dengan jarum berwarna putih dan penutup berwarna perak di atas meter. Satu lagi ciri istimewa ialah panel tengah pada kerusi kulit yang direka dengan corak fabrik yang mengingatkan semula pada rekaan Pepita tartan daripada model 1960-an.
Balutan kulit pula boleh dipilih sama ada berwarna kelabu (Agate Grey) atau hitam. Kerusinya boleh dilaras dengan 14 arah. Jika itu tidak memadai, terdapat pilihan kerusi Sport Seats Plus dengan 18 arah larasan.
Porsche 911 50 Years Edition sudah boleh ditempah di Porsche Centre di United Kingdom dan Ireland sahaja. Harganya? Bermula daripada GBP 92,257 atau sekitar RM453,000 sahaja!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: