Saturday, June 15, 2013

Penyanyi Dealova ada peminat sendiri




DEALOVA mengangkat nama Once Makel dalam industri muzik dan telah memuafakatkan dua negara Indonesia dan Malaysia.
Populariti lagu itu menjangkau personaliti Once yang hanya diketahui umum sebagai vokalis band Dewa 19 ketika itu.
Bagaimanapun, Once, 43, mengambil keputusan untuk keluar daripada band yang dianggotai Ahmad Dhani, Andra Yudha, Agung Yudha dan Yuke Sempurna itu pada tahun 2010.
Mengorak langkah sebagai penyanyi solo dan menerima sedikit bahang populariti di negara jiran antaranya Malaysia dan Singapura, Once akui dirinya gentar.
"Agak sukar untuk bergerak secara solo dalam industri muzik yang pantas berkembang. Namun, sebenarnya lebih mudah bergerak solo daripada berkumpulan kerana banyak kepala banyak ragam.
"Susah untuk atur waktu dan penuhi selera masing-masing," kata Once yang ditemui ketika majlis pelancaran album pertama dan single keduanya, I Still Love You di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jemu
Cukup lama bersama Dewa 19, kata Once , dia merasakan khidmatnya selama lebih 10 tahun sudah memadai untuk dirinya menimba pengalaman secara bersendirian pula.
"Sudah cukup masanya untuk saya bersama Dewa 19 dan saya pun sudah semakin aktif membuat karya untuk diri sendiri ketika bersama Dewa 19.
"Lagipun ramai teman saya yang lebih pintar membikin lagu dalam Dewa 19 dan dalam masa sama mereka mempunyai projek sendiri seperti Andra and The BackBone dan Triad.
"Saya terfikir kenapa tidak saya mengambil jalan yang sama dan saya rasa bahawa tindakan ini adalah wajar. Jadi saya keluar daripada Dewa 19 dan mencipta lagu untuk diri sendiri pula," jelas pemilik nama sebenar Elfonda Mekel itu.
Once menggantikan vokalis asal Dewa 19 iaitu Ari Lasso yang telah dibuang daripada kumpulan itu ekoran terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada tahun 2000.
Once sebelum itu merakamkan runut bunyi filem Kuldesak bersama Ahmad Dhani pada tahun 1998. Atas faktor keserasian, Once menerima pelawaan bergabung bersama Dewa 19.

PELANTUN lagu Dealova ini bercita-cita merakam lagu duet bersama Siti Nurhaliza dan Amy Search.


Tiga tahun
Tiga tahun tempoh masa diambil Once untuk menyiapkan album pertamanya yang mengandungi 10 buah lagu. Ujar Once, dia harus meneliti banyak aspek sebelum sembarangan mengeluarkan produk.
"Kesibukan saya menguruskan kerjaya bersendirian menyebabkan album ini mengambil masa terlalu lama untuk dikeluarkan.
"Tapi kemungkinan besar hujung tahun ini saya akan mengeluarkan sebuah lagi album solo. Dalam album itu, saya menggubah enam buah lagu dengan lima buah lagu sudah siap dirakam," kata Once yang bercita-cita mahu mengadakan konsert solo selepas album keduanya.
Album Once menggunakan namanya sendiri sebagai judul iaitu Once. Single pertamanya, Hilang Naluri terlebih dahulu berjaya mencuri hati peminat pada tahun lalu sebelum I Still Love You yang mula ke udara hujung tahun lalu.
Ditanya kebarangkalian untuk berkolaborasi dengan kumpulan Dewa 19 yang kini bertukar nama Mahadewa, jawab Once, dia tidak menolak sekiranya diberikan peluang.
"Belum tahu lagi masa akan datang tapi mungkin akan ada kolaborasi selepas ini. Bagaimanapun, hubungan saya dan Ahmad Dhani masih baik dan saya teringin untuk bekerja dengan beliau atau Andra," tambahnya.
Dalam pada itu, Once menyifatkan aliran muziknya berbeza dengan Dewa 19 dan sama sekali tidak berharap untuk menerjah populariti sehebat band legenda itu.
"Saya mencipta muzik menggunakan keyboard dan gitar sahaja selain mendapatkan pertolongan komposer yang saya kenali dan saya puas.
"Saya tidak pernah sekali pun berharap untuk menjadi gah seperti Dewa 19. Ini satu proses kreatif dan sifat saya santai-santai sahaja," kata penyanyi kelahiran Sulawesi, Indonesia itu.
Minat anak
Menyifatkan diri dan keluarga seperti orang kebanyakan yang tiada istimewanya, jelas Once, sisi peribadinya tiada sensasi.
"Saya biasa-biasa sahaja, keluarga saya pun jarang mendapat liputan media hiburan.
"Sekarang anak saya, Manuel yang berusia enam tahun sudah pandai bermain dram dan piano. Saya menghantar dia ke kelas piano enam bulan lalu untuk mengasah kemahiran tapi nyata sekali dia lebih cepat belajar apabila bersama saya.
"Kini, Manuel sudah pandai memainkan 12 buah lagu terutama lagu band rock British, Queen.
"Boleh juga kalau dia mahu ikut jejak langkah saya sebagai penyanyi cuma saya tidak ingin dia terbeban. Dia boleh memilih bidang lain dan saya mahu mendorong dia menjadi jurutera," singkap Once.
Penyanyi itu berkahwin dengan Rietmadhanty Angelica Tauchid pada 20 Disember 2005.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: