Wednesday, June 12, 2013

Pembaharuan Anugerah Blokbuster 2


RAQIM (berdiri, enam dari kanan) bersama sebahagian karyawan yang bakal terlibat dengan majlis Anugerah Blokbuster 2 di Johor pada 15 Jun ini.


BUAT julung-julung kalinya persembahan setiap artis dalam majlis anugerah dinilai, malah mereka juga berpeluang memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.
Itu pembaharuan yang cuba dilakukan menerusi penganjuran majlis Anugerah Blokbuster 2.
Ia dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor pada 15 Jun ini.
Bukan sekadar wang tunai, barisan artis yang membuat persembahan juga berpeluang untuk meraih trofi menerusi kategori Anugerah Gempak WeChat.
Anugerah itu akan diberikan kepada artis yang berjaya membuat persembahan paling menarik pada malam berkenaan di samping mendapat undian tertinggi daripada penonton yang mula mengundi sejak 6 Jun lalu.
Antara artis yang bakal mengadakan persembahan ialah Adam, Stacy, Azlan And The Typewritter, Hazama, Kristal, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Aizat, Waris, DJ Fuzz, Juzz Thin, The Romans, Shae dan pendatang baharu, Bobo.
Anugerah khas berkenaan turut memberikan kuasa sepenuhnya kepada penonton untuk memilih menerusi pengisian format WeChat dalam telefon pintar.
Selain Anugerah Gempak WeChat, dua lagi anugerah khas turut diperkenalkan menerusi Anugerah Blokbuster 2 iaitu Anugerah Persatuan Penerbit Filem (PPF) dan Anugerah Astro First. Selain itu, acara terbabit masih mengekalkan 13 anugerah utama yang menggunakan undian peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ditebak dengan soalan kenapakah undian Anugerah Gempak WeChat dibuka awal kepada penonton untuk mengundi sedangkan para artis belum lagi melakukan persembahan, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli, ada jawapannya.
Menurut Raqim, selain kelainan yang ingin ditonjolkan, Anugerah Gempak WeChat diperkenalkan bagi mengenal pasti populariti artis yang dibina menerusi kualiti produk keluaran mereka.
“Semua artis yang membuat persembahan pada malam itu kelak merupakan antara artis yang memiliki ramai pengikut. Jadi, kami mahu pembabitan peminat dan artis bergabung untuk memeriahkan industri hiburan kita,“ ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Raqim, para peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka yang bakal membuat persembahan pada malam itu dengan menaip AstroGempak dalam pengisian WeChat dan mengikut arahan seterusnya. Undian akan dibuka sehingga malam kemuncak Anugerah Blokbuster 2 berlangsung kelak.
Anugerah Blokbuster 2 dianjurkan oleh Persatuan Filem Malaysia dengan mendapat kerjasama Astro sebagai penyiar rasmi buat kali kedua.
Hos majlis pula terdiri daripada Datuk AC Mizal, Scha Alyahya, Hanis Zalikha, Hefny, Tasha Shilla dan Hafizul Kamal.
Siaran secara langsung Anugerah Blokbuster 2 boleh ditonton menerusi Astro Ria (104) dan Astro Mustika HD (134) bermula pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: