Saturday, June 15, 2013

Nilai Honda CR-X EF8


CR-X menawarkan kualiti pemanduan yang mengujakan.


SAYA masih teringat kata-kata manis seorang jurujual kereta tempatan kepada ayah bahawa membeli kereta adalah satu pelaburan. Jangan percaya. Membeli kereta bukan macam beli rumah yang harganya naik setiap tahun.
Kereta hari ini bayar RM50,000 keluar sahaja bilik pameran terus jatuh harga hampir RM10,000. Bagi saya, beli kereta kita menang memakai sahaja, kalau hendak harapkan keuntungan, memang tidak ada.
Tetapi kadang-kadang, nasib boleh menyebelahi kita. Kereta yang dahulunya dibeli pada harga RM20,000 boleh jadi RM50,000. Contoh terbaik ialah Toyota AE86. Kereta itu dilancarkan ketika saya masih bersekolah rendah. Kalau tidak silap, harga jualannya lebih kurang RM50,000.
Mendahului zaman
Kalau hendak diikutkan, harga tersebut memang mahal kerana kereta zaman itu, harga puratanya cuma RM20,000. Tetapi selepas hampir 30 tahun, kereta tersebut masih dijual pada harga yang sama. Malah ada kalanya, lagi mahal!
Jika anda peminat Honda, jangan risau. Ada juga permata yang bakal menjadi klasik satu masa nanti (ataupun sebenarnya sudah bermula). Mungkin ramai antara kita yang tidak mampu membeli Honda NSX, kereta yang saya yakin menjadi bahan koleksi satu masa nanti.
Jika anda sekarang ada menyimpan Honda CR-X generasi kedua (siri EF), elok simpan baik-baik. Sebab? Saya agak rajin melihat laman web menjual kereta. Saya dapati harga CR-X model itu makin hari makin naik, terutama kalau dalam geran mengesahkan bahawa ia daripada model EF8.
EF8 ialah model yang menggunakan enjin B16A. Hakikat itulah yang membuatkannya amat bernilai. Pada anda yang fikir kereta itu masih baru, tahukah bahawa Honda siri EF sudah menyambut ulang tahun ke-25?
Saya tidak salahkan siapa-siapa kalau ada yang rasa kereta itu masih baru. Masakan tidak, reka bentuknya mendahului zaman. Malah teknologi yang digunakannya masih dianggap hebat hingga ke hari ini.
Jadi memang bertuah pemiliknya, Aidil sebab memiliki sebuah CR-X EF8 yang asli. Kereta yang didaftarkan pada tahun 1991 itu sejujurnya nampak macam baru sampai di Pelabuhan Kelang, cantik dan bersih.
Model EF8 didatangkan dengan enjin B16A dari kilang. Tetapi Aidil sudah menggantikannya dengan enjin B16B, enjin Civic EK9 Type-R.

RUANG kabin CR-X ini menerima ubah suai minimum.


Alat ganti prestasi
Enjin B16B memang secara kasarnya nampak sama dengan enjin B16A yang diganti. Namun, jurutera Honda telah membikin enjin itu dan melonjakkan kuasanya kepada 180hp berbanding 160hp pada enjin B16A biasa.
Enjin itu boleh dikatakan sebagai memiliki paling banyak alat ganti prestasi. Walaupun blok dan kepala silindernya tidak diusik, bahagian inlet kemasukannya sudah diganti dengan inlet Skunk2 bersama throttle body daripada Super 90.
Penapis udara asal pun telah diganti dengan penapis udara daripada Mugen yang disambung ke throttle body menggunakan paip keluli tahan karat buatan custom.
Sistem pendawaian enjin pula disorokkan daripada penglihatan. Proses itu dipanggil ‘wire tuck’. Sebab itulah anda tidak nampak wayar-wayar yang berserabut, semuanya sudah disorok dengan jayanya.
Hos-hos radiator dan hos vakum diganti dengan hos silikon daripada Samco. Ini termasuklah radiator asal yang diganti dengan radiator aluminium. ECU enjin dinaik taraf dengan cip daripada Skunk2, sebelum dilaras menggunakan sistem ECU piggyback jenama A’PEXi V-AFC.
Tidak lengkap ubah suai enjin VTEC kalau sistem ekzos tidak diganti. Untuk projek CR-X, Aidil menggunakan sistem manifold ekzos 4-1, paip ekzos saluran terus buatan custom dan diakhiri dengan peredam bunyi J’s Racing.
Kotak gear B16B yang disalin sekali ke kereta itu nampaknya sudah berubah sifat. Klac asal diganti dengan klac Ogura Super Single bersama flywheel yang diringankan. Nisbah gear pun sudah ditukar dengan set nisbah gear pendek M’s Factory yang menggunakan nisbah akhir 3.4.
Dari segi pengendalian pula, CR-X diubahsuai dengan penyerap hentak boleh laras Tein Flex dan lower arm belakang Skunk2 pada bahagian belakang. Tayar-tayar Dunlop Sport bersaiz 195/50 membaluti rim-rim Volk Racing TE37 berdiameter 15 inci yang banyak membantu CR-X terus melekat di atas jalan raya.
Kalau tengok bab penampilan, CR-X memang bersih dan kemas, tanda restorasi yang sempurna. Pada bahagian luaran, ia mengekalkan ciri-ciri standard kilang tanpa sebarang modifikasi.
Bahagian dalamannya pun boleh dikatakan tidak banyak berubah. Cuma ada penambahan beberapa aksesori yang membuatkan kereta itu lebih istimewa.
Aksesori jenis bolt-on melibatkan stereng Momo, tombol gear Skunk2 dan pedal pendikit Mugen. Satu set meter jenama Defi juga dipasang pada papan pemuka yang memberi bacaan tekanan pelincir, suhu air dan suhu pelincir.
Nasihat saya kepada pemilik-pemilik CR-X EF8 asal, simpan kereta itu baik-baik. Jangan nak berlumba lagi. Modifikasi pun jangan lebih-lebih. Nilai kereta anda ada potensi jadi macam AE86.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: