|
KIRA-KIRA empat bulan lalu, Pulau Mabul yang terletak di daerah Semporna iaitu bersebelahan Lahad Datu turut merasai bahang pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
Walaupun terkenal sebagai syurga untuk penyelam skuba, pulau yang terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan itu kurang menerima kehadiran pelancong sepanjang insiden itu.
Situasi tegang di perairan itu menimbulkan perasaan takut kepada pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk meneruskan rancangan percutian mereka di Pulau Mabul.
Kini, suasana pulau itu kembali kepada keadaan asal dengan penduduk pulau yang terdiri daripada masyarakat Bajau Suluk dan Bajau Laut bebas melakukan aktiviti harian mereka.
Selain itu, pertambahan jumlah pelancong jelas kelihatan terutamanya di kawasan perairan dan resort-resort yang menyediakan perkhidmatan aktiviti skuba.
Seorang pelancong dari Manchester, England, Melissa Smith, 25, memberitahu, kunjungannya kali pertama ke Pulau Mabul itu ternyata memberi gambaran bahawa Malaysia mempunyai destinasi skuba terbaik di dunia.
Dia yang merupakan seorang pengembara sepenuh masa dan telah menjelajah banyak negara Asia dan Amerika Selatan, berpendapat Pulau Mabul antara kawasan pelancongan yang aman.
“Sepanjang lima hari berada di sini, saya berpeluang melihat persekitaran pulau. Aktiviti penduduk pulau ini memberi gambaran bahawa mereka hidup damai dan harmoni.
“Walaupun masyarakat Bajau di sini hidup serba kekurangan, mereka gembira melakukan aktiviti harian terutamanya sewaktu pergi ke laut untuk menangkap ikan,” ujarnya yang sempat melakukan selaman skuba di Eel Garden dan House Reef.

TERDAPAT kira-kira 20 buah resort
dan homestay untuk kemudahan penginapan para pelancong di pulau yang
terkenal sebagai destinasi selaman skuba itu.
Pakej bajet
Di pulau itu, terdapat kira-kira 20 buah resort dan homestay untuk penginapan pelancong. Antaranya, Sipadan Mabul Resort, Borneo Divers dan Escuba Jonkey.
Sphere Divers Lodge merupakan antara penginapan yang menjadi tumpuan pelancong yang mahu melakukan aktiviti skuba.
Pemiliknya yang berketurunan Kadazan, Stanley Sie, 50, memberitahu, Sphere Divers Lodge mempunyai tujuh bilik tidur yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti katil dan kipas.
“Ketika hari ketiga pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, saya telah membatalkan semua tempahan pelancong yang mahu menginap dan melakukan aktiviti skuba kerana khuatir terhadap tahap keselamatan. Kini, keadaan telah pulih dan saya kembali menerima tempahan daripada pelancong.
“Pakej yang ditawarkan kepada pelancong meliputi penginapan dan makanan. Setiap pakej dicaj sebanyak RM80 semalam. Ia merupakan pakej bajet untuk pelancong sepanjang berada di pulau ini,” ujarnya.
Bagi aktiviti skuba pula, homestay itu mempunyai pelbagai kemudahan untuk disewa kepada penyelam. Stanley juga akan membawa pelancong ke kawasan perairan di sekitar Pulau Mabul dan Kapalai. Setiap sesi skuba mengambil masa selama 45 minit.
Kini, Sphere Divers Lodge sedang mengadakan promosi di laman web. Kumpulan yang datang seramai empat orang ditawarkan penginapan secara percuma kepada salah seorang daripada mereka.
Melihat pemandangan malam di Pulau Mabul sememangnya pengalaman yang mesti dinikmati oleh pelancong. Melalui celahan deretan rumah masyarakat Bajau Suluk, mereka berpeluang melihat penduduk menjalankan aktiviti perniagaan seperti menjual ikan bakar dan makanan.
Paling unik, kelihatan minyak masak, sabun pencuci pakaian dan sayur-sayuran dibungkus di dalam plastik kecil untuk dijual. Harga sebungkus minyak masak pula ialah 20 sen.
Menurut seorang penduduk, peniaga menjual keperluan asas dengan cara tersebut bagi mengelakkan pembaziran. Kaedah itu merupakan cara orang Filipina berniaga di negara asal mereka.
Seorang lagi pelancong dari London, Amy Dupres, 24, berkata, keindahan Pulau Mabul terletak pada kejernihan air laut yang sukar didapati di tempat lain.
“Saya ke sini untuk melakukan aktiviti skuba tetapi saya seronok melihat nelayan keluar menangkap ikan. Mereka ramah menegur pelancong,” ujarnya.

PENDUDUK tempatan menjual barangan
keperluan asas seperti minyak masak, sabun pencuci pakaian dan
sayur-sayuran di dalam paket dengan harga serendah 20 sen sebungkus.
Bebas sampah sarap
Sementara itu, Ketua Kampung Pulau Mabul, Mohd. Yusof Jalal, 55, memberitahu, walaupun penduduk pulau itu terdiri daripada dua suku yang berbeza iaitu Bajau Laut dan Bajau Suluk, mereka hidup tanpa sebarang perbalahan.
Menurutnya, masyarakat Bajau Suluk terdiri daripada peniaga yang menjual hasil laut, manakala Bajau Laut bekerja sebagai nelayan.
Tarikan lain bagi pelancong ke Pulau Mabul adalah untuk mendekati dan melihat perkampungan kedua-dua masyarakat itu.
Ketika ditanya mengenai tahap keselamatan pulau itu selepas kes pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Mohd. Yusof berharap pelancong tidak khuatir lagi tentang perkara tersebut.
“Di pulau ini, Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa mengawal kawasan perairan bagi mengelakkan pencerobohan berulang.
“Dianggarkan ada kira-kira 20 anggota polis di pulau ini yang ditugaskan untuk menjaga keamanan,” ujarnya.
Menjadi lumrah penduduk di pulau, mereka tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang teratur sehingga mengakibatkan kawasan kampung dipenuhi dengan sampah sarap.
Namun, Mohd. Yusof amat menitikberatkan aspek kebersihan di pulau yang dihuni kira-kira 3,000 penduduk itu.
Sekiranya pelancong berjalan-jalan di sekitar pulau, mereka pasti melihat kawasan gerai-gerai dan rumah-rumah di atas air bersih daripada sebarang sampah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: