
BEBERAPA orang sukarelawan menyusun
gading gajah yang akan dimusnahkan oleh pihak berkuasa Filipina di Taman
Ninoy Aquino dan Pusat Hidupan Liar di Quezon City, Metro Manila
semalam.
MANILA - Kerajaan Filipina akan memusnahkan kira-kira lima tan gading gajah yang dirampas dengan anggaran nilai $10 juta (RM31.1 juta) dalam menyokong usaha global menamatkan perdagangan haram hidupan liar, kata seorang pegawai kanan kerajaan semalam.
Setiausaha Alam Sekitar Filipina, Ramon Paje berkata, gading yang dirampas itu akan dihancurkan dengan jentera penggelek jalan.
Ia kemudian akan dibakar di hadapan pakar luar negara serta penyokong antiperdagangan gading pada 21 Jun di Taman Ninoy Aquino dan Pusat Hidupan Liar di Quezon City, Metro Manila.
"Keputusan kami memusnahkan gading tersebut yang memasuki negara ini secara haram adalah untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa Filipina tidak akan bertolak ansur dengan perdagangan haram hidupan liar," kata Paje.
Pada tahun 1989, satu konvensyen Geneva mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna yang terancam (CITES) mengharamkan pembelian dan penjualan gading untuk memerangi perdagangan haram besar-besaran yang menyebabkan populasi gajah di seluruh Afrika pada 1970-an dan 1980-an turun secara dramatik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: