Tuesday, June 11, 2013

Keterujaan di Sanrio Hello Kitty



MINATNYA terhadap watak animasi Hello Kitty berputik sejak tahun lalu sebaik terpandang sebuah kalkulator comel berona merah jambu. Kalkulator itu dihiasi reben di bahagian tepinya berserta gambar Hello Kitty.
Sejak itu, apa sahaja barang-barang Hello Kitty mula mencuri perhatiannya. Namun, tidak semua barang yang ditemui terus dibeli Norhusna Abdul Rashid, 24, kerana harganya yang agak mahal.
Menurut Norhusna, faktor yang menyebabkannya meminati watak animasi itu dipengaruhi oleh kecenderungannya terhadap warna merah jambu.
"Kebanyakan barang Hello Kitty ini mahal, jadi saya perlu mengumpul duit terlebih dulu sebelum membelinya.
"Boleh dikatakan kebanyakan barangan Hello Kitty dibeli sendiri selain pemberian ibu, Normah Habeeb yang tahu mengenai minat saya terhadap Hello Kitty," katanya yang telah menghabiskan hampir RM700 bagi memenuhi keinginannya.
Anak tunggal yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak merasakan bahawa minatnya itu bersifat keanak-anakan kerana setiap koleksi barangan Hello Kitty mempunyai rekaan khusus untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.
Minat Norhusna diterima baik oleh ahli keluarga terutama Normah yang selalu menghadiahkan barangan Hello Kitty kepadanya.
"Suami pun tidak kisah dengan keterujaan saya terhadap Hello Kitty, malah anak saya yang berusia dua tahun pun memahaminya dan tidak pernah mengganggu barang-barang Hello Kitty milik saya.
"Barang Hello Kitty yang paling saya sayang ialah beg tangan pemberian ibu sempena hari lahir saya tahun lalu," ujarnya sambil memberitahu beg tersebut sering dibawa ke mana-mana.
Antara koleksi barangan Hello Kitty dalam simpanan ibu kepada seorang anak itu ialah pengecas mudah alih, kotak sabun, dompet, cermin, kasut dalam rumah dan lampu meja. Selain itu, beliau juga menyimpan bingkai gambar, telefon bimbit, jam tangan, rantai, pin rambut dan sebagainya.

PERSEMBAHAN pentas dan pelbagai jenis permainan pasti membuatkan persinggahan di Sanrio Hello Kitty lebih menyeronokkan.


Teruja dengan kewujudan Sanrio Hello Kitty Town di Taman Tema Keluarga Puteri Harbour di Nusajaya, Johor Bahru, Johor, Norhusna memasang impian untuk ke sana suatu hari nanti.
Pada bulan Mac lalu, penulis berpeluang berkunjung ke Sanrio Hello Kitty Town bagi memenuhi undangan pihak Themed Attractions and Resorts Sdn. Bhd.
Walaupun Hello Kitty tidak termasuk dalam senarai animasi kegemaran penulis, saat melangkah masuk ke Sanrio Hello Kitty Town, ia seolah-olah mesin pengembara masa lalu yang membawa penulis ke zaman kanak-kanak.
Lebih mengujakan apabila kedatangan kami disambut mesra oleh maskot Hello Kitty dan Dear Daniel di pintu masuk Sanrio Hello Kitty Town.
Selain kanak-kanak, orang dewasa juga teruja merakamkan gambar kenang-kenangan bersama maskot tersebut.
Melangkah masuk, segala-galanya ada di depan mata. Antaranya termasuklah permainan tunggangan cawan Wishful Studio, Dream Photo Garden, rumah Kitty, Black Wonder serta bilik parti Apple dan Strawberi.
Di Wishful Studio, pengunjung terutamanya kanak-kanak boleh melakukan aktiviti merias kuku, mencipta barangan kemas, menghias biskut dan menyarung kostum watak Sanrio.
Penulis mendekati seorang kanak-kanak lelaki bernama Christopher Dswari, 12, dari Jakarta, Indonesia yang sibuk mewarnakan kukunya.
"Sudah tentu seronok berada di sini kerana dapat bermain dengan bebas tanpa merisaukan ibu bapa.
"Jika di Indonesia saya mewarnakan kuku, memasang loket pada rantai dan membuat biskut, pasti saya ditertawakan oleh rakan-rakan, tetapi di sini saya berpeluang membuat semua ini kerana semua orang melakukan perkara yang sama," katanya sambil tersenyum riang.
Lebih menarik, pengunjung diberi kesempatan melawat rumah Kitty yang mempunyai susun atur menarik.
Terdapat enam bahagian dalam rumah Kitty iaitu ruang tamu, dapur, bilik air, bilik Kitty, bilik rahsia dan bilik Mimmy.
Jika terasa penat dan lapar, para pengunjung boleh menikmati minuman dan pastri bertemakan Hello Kitty yang lazat seperti jeli dan wafel Hello Kitty di Red Bow Cafe atau di Cinnamoroll Cafe.

DI The Little Big Club, kanak-kanak pasti seronok mencuba pelbagai jenis permainan.


Hello Kitty Town
"Tempat ini sangat sesuai dikunjungi oleh kanak-kanak. Ia memberikan pengalaman baharu yang sangat menarik.
"Ia bukan saja memberikan keseronokan dalam bentuk hiburan semata-mata, malah merangsang perkembangan otak dengan membuat rantai, biskut dan sebagainya. Pada masa yang sama ia turut memupuk hubungan antara ibu dan anak dengan lebih rapat," kata Santy Irdawati Saharan, 30, dari Kota Kinabalu, Sabah.
Pendapat tersebut turut dikongsi oleh pelancong Indonesia, Hanny Setiawan, 37, yang datang bersama saudara kembarnya dan anak-anak.
"Berbaloi datang ke sini dan ia sangat menyeronokkan," ujarnya sambil membantu memakaikan rantai untuk anaknya Aurelia Dinata, 9.
Andai anak anda bukan penggemar Hello Kitty, destinasi karakter lain seperti Bob the Builder, Barney, Angelina Ballerina, Pingu serta Thomas & Friends yang terletak di aras dua dan tiga harus dikunjungi.
Inilah kali pertama lima watak global yang dikenali sebagai The Little Big Club ditempatkan di dalam taman tarikan bertema tunggal. Ia sekali gus menambahkan lagi keaslian dan ciri eksklusif Taman Tema Keluarga Puteri Harbour.
The Little Big Club menampilkan pelbagai permainan tunggangan dan aktiviti interaktif berdasarkan tema watak HIT Entertainment.
Ciri utama taman tema tersebut ialah kepelbagaian permainan tunggangan yang menakjubkan dan interaktif untuk kanak-kanak daripada tunggangan Bob's Can-Do Crew sehinggalah tunggangan pengaut.
Bina rumah dengan Bob
Kanak-kanak juga dapat mengunjungi Bob's BIG Play Structure dan Build with Bob Interactive Playhouse yang memberi peluang kepada mereka untuk membantu pembinaan rumah di Bobsville.
Di situ mereka boleh membantu Bob meletakkan batu-bata, memasang rangka pintu dan tingkap, menyusun dapur dan bilik air.
The Little Big Club juga menampilkan Barney dan rakan-rakan yang mengadakan persembahan secara langsung. Pengunjung berpeluang menikmati keseronokan ketika berada di set permainan serupa seperti yang ditayangkandalam siri televisyen.
KANAK-KANAK berpeluang menari balet bersama Angelina Ballerina.


Tarikan lain yang menonjol ialah Angelina's Camembert Academy yang menampilkan permainan interaktif seperti Dodgeball, Musical Squares dan Bug Invasion untuk peminat Angelina Ballerina.
Terdapat juga kelas tarian yang diadakan menggunakan imej janaan komputer (CGI) Angelina Ballerina dan rakan-rakannya Miss Mimi, Vici, Gracie dan A.Z. Kanak-kanak akan diajar untuk melakukan gerakan tarian yang menyeronokkan.
Aras tiga menampilkan watak Thomas & Friends yang menawarkan pelbagai permainan tunggangan termasuklah kereta bamper klasik.
Pengunjung juga dapat menaiki Bertie The Bus, Harold's Helitours, Colin Crane Drop dan mengunjungi Stesen Permainan Sir Tophammhatt.
Kedengaran jeritan dan tawa riang kanak-kanak yang mencuba pelbagai permainan di situ.
Terdapat juga bilik parti Thomas & Friends untuk kanak-kanak menyambut hari lahir bertema yang menyeronokkan bersama watak kegemaran mereka.
Pengunjung juga berkesempatan mencuba dinding pembelajaran sensor dan tunggangan serta simulator papan salji. Semua tarikan ini terdapat di aras dua.
Sungguhpun penulis dan rakan media lain tidak termasuk dalam kategori kanak-kanak, kami begitu teruja dan menjadi 'kanak-kanak' bermain beberapa permainan yang disediakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: