BOMBAY (kiri) bersama M. Nasir.
|
MENGIKUT perancangan asal, Konsert Sang Pencinta yang bakal dipersembahkan komposer dan karyawan seni tersohor, Datuk M. Nasir di Istana Budaya sepatutnya berlangsung pada 7 hingga 9 Jun yang lalu.
Bagaimanapun, atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, penganjur konsert iaitu Bombay Worldwide terpaksa menundanya ke satu tarikh yang baharu iaitu 28 hingga 30 Jun ini.
Pengarah Urusan Bombay Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali Bombay berkata, dia enggan mengulas lagi mengenai penundaan tersebut dan mahu lebih fokus kepada persiapan memandangkan ia bakal diadakan dalam tempoh yang terdekat.
“Saya tidak mahu lagi sentuh tentang penundaan tarikh. Sekiranya perkara ini terus dibangkitkan ia akan menunjukkan penganjuran konsert ini memang bermasalah.
“Ini kerana tiada sebarang masalah yang timbul dan segala persiapan berjalan dengan lancar, malah saya ingin menafikan sekeras-kerasnya penjualan tiket yang perlahan menjadi punca konsert ini ditunda,” ujarnya dalam satu pertemuan bersama Kosmo! pada minggu lalu.
Bercerita lebih lanjut mengenai konsert yang dianjurkan syarikat miliknya itu, dia yakin bahawa konsert yang dijayakan oleh M. Nasir itu akan mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.
Ujarnya, sebagai seorang penghibur yang berada dalam kelas yang tersendiri, persembahan daripada penyanyi kelahiran Singapura itu begitu dinantikan oleh peminat menerusi lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya yang malar segar.
“Untuk konsert ini sudah tentu akan ada kelainan yang akan dilakukan supaya mereka yang hadir akan terhibur dan dapat memberi lebih banyak kepuasan serta berbaloi dengan tiket yang dibeli.
“Cuma berkenaan dengan tema persembahan, saya mahu membuat sedikit pembetulan bahawa M. Nasir tidak berlakon dalam konsertnya seperti yang pernah digembar-gemburkan. Sebaliknya lakonan terhasil menerusi ekspresi jiwanya ketika mendendangkan setiap lagu yang dipersembahkan,” jelasnya.
Sementara itu, M. Nasir yang turut hadir pada pertemuan tersebut menyatakan pemilihan lagu yang dipersembahkan nanti dibuat berdasarkan perbincangan bersama dengan pihak penganjur.
Menurutnya, dalam persembahan yang berlangsung dalam tempoh dua jam dia akan mendendangkan sebanyak 25 buah lagu, termasuk beberapa buah lagu yang jarang dipersembahkan sebelum ini.
“Saya tahu pasti ada peminat yang lebih gemar sekiranya saya menyanyikan lagu-lagu yang sudah biasa mereka dengar. Namun, saya mengambil keputusan untuk mempersembahkan beberapa lagu yang jarang saya nyanyi dalam mana-mana persembahan atau konsert.
“Lagipun bukannya lagu yang jarang saya nyanyi itu tidak bagus, cuma stesen radio yang akan memilih lagu yang tertentu sahaja untuk disiarkan. Namun begitu, saya percaya lagu-lagu ini akan turut digemari ramai apabila saya persembahkan semasa konsert nanti,” jelasnya.
Selain mengalunkan lagu-lagu ciptaannya yang digemari ramai, M. Nasir menyatakan konsertnya itu cukup istimewa kerana diiringi gabungan dua orkestra tempatan terkemuka iaitu Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Orkestra Tradisional Malaysia.
Lagu baharu
Berbanding dengan konsert-konsert yang pernah dijayakan sebelum ini, M. Nasir menjelaskan terdapat beberapa kejutan yang akan dilakukan semasa Konsert Sang Pencinta.
Antaranya, ketika ini dia sedang dalam proses mencipta sebuah lagu baharu yang sememangnya dihasilkan khas untuk konsert itu sebagai hadiah istimewa kepada peminat yang hadir.
“Lagu baharu yang cipta itu buat julung-julung kalinya akan dinyanyikan semasa konsert berlangsung. Tidak dinafikan ia merupakan salah satu kejutan istimewa yang dilakukan.
“Itu sahaja yang boleh saya cakap tentang persiapan untuk konsert ini kerana kejutan yang lain hanya boleh disaksikan oleh mereka yang hadir nanti,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan Konsert Sang Pencinta, tiket-tiket berharga RM455, RM325, RM265, RM245, RM225, RM185, RM145, RM85 dan RM65 boleh dibeli menerusi laman web www.
ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4147 8600.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: