|
TEMPOH lima bulan pertama tahun ini menyaksikan BMW Group Malaysia memulakan strategi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal premium tempatan.
Langkah itu dibuat dengan memperkenalkan barisan jentera berprestasi tinggi dalam beberapa segmen seperti Enduro, Touring dan High Performance.
Pengeluar kenderaan premium itu juga membawa masuk tiga varian motosikal edisi khas bagi memperingati ulang tahun ke-90 penubuhan BMW Motorrad di Jerman.
Barisan model baharu yang dilancarkan di Malaysia ialah BMW HP4, F 700 GS, F 800 GS, F 800 GT, R 1200 GSA, R 1200 RT dan R 1200 R.
Momentum itu diteruskan dengan satu lagi pelancaran produk enduro untuk peminat tempatan. Model yang dimaksudkan ialah R 1200 GS edisi 2013.
Sambutan terhadap produk BMW Motorrad nampaknya positif. Jualan bagi suku pertama tahun ini sudah mencecah 148 buah motosikal.
Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, catatan itu merupakan peningkatan sebanyak 17 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun sebelumnya.
“Ini merupakan petanda kukuh bahawa pelanggan menyokong rangkaian motosikal premium yang ditawarkan,” katanya pada majlis pelancaran R 1200 GS di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengubah Tradisi
Rangkaian motosikal BMW GS memiliki populariti tersendiri dalam dunia tunggangan kembara lasak dan jarak jauh.
Lebih 30 tahun sudah berlalu, motosikal dwikegunaan itu terus diberi nafas baharu melalui kejuruteraan semula agar ia kekal relevan mengikut keadaan semasa.
Bagi edisi 2013, transformasi yang dilakukan pada jentera R 1200 GS melibatkan teknologi kejuruteraan dengan inovasi terkini. Objektif itu sudah pasti mahu meningkatkan kepuasan tunggangan pemiliknya.
Inovasi pertama melibatkan penggunaan sistem penyejukan udara dan air glikol. Model sebelumnya mengguna pakai sistem penyejukan minyak dan udara.
Penukaran bendalir itu bertujuan memastikan kandungan sedia ada berupaya menyerap lepasan haba dengan lebih baik dan efisien.
Cecair glikol memiliki kelebihan mencapai setiap ruang dalaman bahagian enjin dengan lebih baik berbanding pengunaan minyak.
Operasi pelepasan haba itu dibantu menerusi pemasangan dua unit radiator dengan bantuan kipas. Kipas akan dihidupkan secara automatik apabila diperlukan. Set radiator dipasang pada bahagian kiri dan kanan enjin.

SISTEM ekzos keluli tahan karat dengan pengesan oksigen bantu mengurangkan pembebasan emisi karbon.
R 1200 GS terbaharu mengubah tradisi binaan produk enduro BMW Motorrad. Buat julung-julung kalinya, kotak gear dan sistem klac diintegrasikan di dalam ruang perumah enjin.
Teknik kejuruteraan itu membantu mengurangkan penggunaan bendalir pelincir transmisi tambahan dan meningkatkan kestabilan jentera ketika tunggangan.
Rangkaian kuasa R 1200 GS berupaya menjana kuasa maksimum 125hp pada 7,700rpm. Kuasa kilas tertinggi adalah 125Nm @ 6,000rpm. Jentera itu berupaya memecut melepasi paras 200 kilometer sejam (km/j).
Motosikal yang dipertontonkan sewaktu Pameran Antarabangsa Intermot 2012 di Jerman itu nyata kelihatan agresif dan lasak.
Wajah hadapan yang menggunakan reraut tajam bukan hanya solekan kosmetik. Ia menggalas tugas meningkatkan faktor aerodinamik ketika tunggangan.
Mode tunggangan
Keselesaan tunggangan disokong dengan adanya penghadang angin yang boleh selaras secara manual. Semua maklumat semasa tunggangan dipamerkan menerusi instrumen meter analog dan digital.
Penunggang boleh memilih mode tunggangan yang disediakan mengikut keadaan muka bumi. Sebanyak lima mode tunggangan disediakan iaitu Rain, Road, Dynamic, Enduro dan Enduro Pro.
Penukaran pemetaan enjin dibuat menerusi butang kawalan yang ditempatkan pada bahagian hendal. Susun atur semua butang kawalan pada hendal mudah dicapai dan dikendalikan.
Setiap tetapan mode yang dipilih akan mengubah maklum balas pendikit minyak, kawalan dan tahap redaman sistem suspensi separa aktif.
Pelana jentera bahagian hadapan boleh diselaras dengan adanya dua tahap ketinggian. Tujuannya adalah untuk meningkatkan keselesaan sewaktu tunggangan jarak jauh.
Aspek keselamatan jentera telah ditingkatkan dengan pemasangan saiz brek cakera lebih besar, angkup hadapan jenis Brembo Monobloc dan sistem brek antikunci (ABS).

LEGASI siri BMW GS terus menerima pembaharuan terkini daripada BMW Motorrad.
Perubahan turut membabitkan saiz rim dan tayar agar keseronokan tunggangan dapat dinikmati sepenuhnya. Perkara itu membolehkan tayar mendapat sentuhan lebih luas di atas jalan sekali gus meningkatkan keupayaan mengambil selekoh dengan lebih baik.
Pertama , lebar rim hadapan ditingkatkan kepada tiga inci. Saiz tayar yang digunakan adalah 120/70 R19. Tindakan sama dibuat pada rim belakang dengan tahap kelebaran mencecah 4.5 inci. Padanan saiz tayar adalah 170/60 R17.
BMW Group Malaysia menawarkan dua varian R 1200 GS edisi 2013 iaitu Dynamic dan Touring untuk pelanggan tempatan.
Perbezaannya melibatkan komponen lampu utama. Varian Dynamic dipasang dengan set lampu utama LED sepenuhnya. Sementara varian Touring dilengkapi lampu jenis halogen.
Ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu merah, biru, putih dan kelabu, BMW R 1200 GS kini boleh didapati menerusi semua pengedar BMW Motorrad di seluruh negara.
Harga bagi varian Dynamic ialah RM128,800 seunit. Untuk varian Touring, ia ditawarkan pada harga RM125,000 sebuah. Harga itu adalah di atas jalan tanpa insurans.
Jika mahu menikmati keseimbangan antara kepuasan tunggangan dan aktiviti kembara, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa inilah antara jentera yang harus diberi pertimbangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: