Saturday, June 15, 2013

Empat kru mara ke final Showdown 2013



SHOWDOWN 2013 kini menuju peringat final. Semua grup dalam setiap kategori berjuang untuk memastikan mereka merangkul gelaran juara.



PENTAS Showdown 2013 semakin hangat. Pencarian kru tarian terhebat untuk Kategori Terbuka sudah semakin hampir ke penghujung.
Bertempat di Dewan A, Menara Matrade, Kuala Lumpur, peringkat separuh akhir untuk Kategori Terbuka telah diadakan dan menyaksikan lapan kru beraksi di pentas battle bagi merebut tempat ke pentas akhir Showdown 2013.
Sesi battle menyaksikan 'pertempuran' hebat lapan kru tetapi akhirnya hanya empat kru berjaya ke final. Mereka ialah Inversion, Keynectix, Le'z dan 5=1.
Sesi battle untuk Kategori Terbuka ini diadili oleh juri-juri profesional iaitu Jose Ruiz atau lebih dikenali dengan nama Bboy Full Deck, Junior Boogaloo dari Amerika Syarikat dan Joe Flizzow.
"Kini kami telah menemui empat kru yang bakal ke pertempuran akhir Showdown. Pentas akhir ini akan menyaksikan aksi hebat kru-kru yang merebut tempat sebagai juara," ujar Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul.
Pentas akhir Showdown 2013 akan berlangsung pada 6 Julai ini. Ia disiarkan secara langsung dari Stadium Negara pukul 8.30 malam eksklusif di saluran 8TV.
Terdahulu, menerusi Kategori Junior, hanya tiga kru berjaya ke pentas akhir iaitu Stay Cool, Fresh Unity Crew dan Walawei.
Untuk Kategori All Star pula, kru yang bakal bergelar juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM75,000 selain perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat antarabangsa bernilai RM125,000. Naib juara pula bakal memenangi hadiah wang tunai RM30,000.
Showdown 2013 bersiaran pada setiap hari Sabtu dan Ahad pukul 10.30 malam dan 10 malam di 8TV. Program ini juga boleh ditonton di www.8tv.com.my dan www.tonton.com.my atau ikuti menerusi www.facebook.com/8TVfb; , www.twitter.com/8tv, www.youtube.com/8tvaddicts dan Instagram di @8tv.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: