|
MINAT Juliana Md. Saman, 28, terhadap seni mempertahankan diri dari Brazil iaitu capoeira bermula kira-kira 10 bulan lalu. Dia merupakan salah seorang daripada 20 pelajar yang bernaung di bawah Capoeira Camara Malaysia (CCM) yang berpusat di Lembah Klang.
Belum pun sampai setahun mempelajari capoeira, Juliana telah memegang tali pinggang putih dan kuning sekali gus. Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakannya.
"Dahulu saya beranggapan capoeira sejenis tarian. Tetapi apabila menyertai persatuan ini, barulah saya tahu ia seni mempertahankan diri yang digabungkan bersama tarian.
"Setiap kilasan dan gerakan capoeira ternyata mampu mengelirukan pihak lawan terutama ketika sesi latihan atau semasa mengadakan persembahan pentas," ujar gadis ini yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah institusi kewangan di ibu negara.
Menurutnya, tenaga pengajar dan pengasas CCM yang diketuai oleh Cristiano Genuino da Silva banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
"Walaupun tegas, Cristiano tahu kebolehan setiap pelajarnya. Dia juga individu yang memberi inspirasi kepada saya untuk mendalami seni mempertahankan diri yang berasal dari negaranya itu," jelas Juliana.
Capoeira ialah salah satu daripada tarian kebudayaan yang menjadi signatur negara Brazil di mata dunia selain Bumba Meu Boi, Frevo dan Caboclinho
Sejak berhijrah dari Recife iaitu sebuah kota metropolitan di utara Brazil ke Kuala Lumpur, Cristiano kini mencipta nama sebagai salah seorang pelopor dalam memperkenalkan capoeira kepada masyarakat di Malaysia.
Kelincahannya dalam kebanyakan pertunjukan dan demonstrasi capoeira di seluruh negara ternyata menarik perhatian pengunjung.
Kejayaan jejaka berbadan sasa berusia 38 tahun itu menarik minat masyarakat Malaysia terhadap capoeira tidak semudah yang disangka. Dia datang ke Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu selepas mendapat tawaran pekerjaan sebagai jurulatih capoeira daripada salah seorang rakan senegara yang bermastautin di Malaysia.
Diperdaya
"Apabila sampai di Kuala Lumpur, saya diberi tempat tinggal dan pekerjaan. Namun, pekerjaan itu bukanlah sebagai jurulatih seni mempertahankan diri. Saya juga terpaksa berkongsi rumah dengan lima individu lain yang tidak dikenali.
"Apabila sedar telah diperdaya, saya keluar daripada kumpulan itu dan memulakan kehidupan baharu di ibu kota walaupun tanpa mengenali sesiapa pun ketika itu," ujarnya.

SUASANA majlis graduasi
pelajar-pelajar baharu CCM atau dikenali sebagai batizado dalam bahasa
Portugis yang berlangsung tahun lalu.
Cerita Cristiano lagi, sebelum menjejakkan kaki ke Malaysia, rakan-rakannya di Brazil menyampaikan perkhabaran bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan penduduknya berpenyakit malaria.
"Lapan tahun saya di sini, saya tiada masalah dengan orang Islam dan kebanyakan rakan-rakan terdiri daripada orang Melayu. Mereka ternyata membantu saya memahami budaya dan masyarakat di sini. Demam malaria bukanlah satu ancaman berbahaya. Mereka sengaja menakut-nakutkan saya," jelasnya.
Ketika Kosmo! menemuinya baru-baru ini, wajahnya mengalami sedikit kecederaan semasa sesi latihan.
Walaupun mempunyai pengalaman yang luas mengenai seni mempertahankan itu, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu tidak berbangga dengan kebolehan yang dimiliki. Dia juga kagum dengan masyarakat Malaysia yang menyambut baik budaya dari negara Amerika Selatan itu.
Ketika ditanya mengenai penglibatan awalnya dalam capoeira, dia yang dikenali sebagai soldadu yang bermaksud instruktor atau askar dalam bahasa Portugis ada jawapannya.
Menurutnya, judo merupakan seni mempertahankan diri yang pertama dipelajarinya ketika berumur lapan tahun. Dia ternyata menguasai setiap teknik judo. Sejak kecil, mendiang ayahnya gemar bercerita mengenai seni mempertahankan diri yang sering dipersembahkan di jalanan.
Disebabkan mendiang ayahnya itu seorang askar, dia juga sering menceritakan mengenai kehidupan sebagai seorang askar kepada anaknya itu.
"Saya suka mendengar cerita daripada ayah. Dia banyak memberi maklumat mengenai capoeira walaupun saya tidak pernah mengetahui teknik-teknik seni mempertahankan diri itu.
"Sehingga umur 16 tahun, saya terlihat sekumpulan remaja dan kanak-kanak sedang bertarung. Kilasan kaki dan gerakan pantas yang diselangi dengan alunan gendang sama seperti yang diceritakan bapa," ujarnya yang kehilangan bapa sejak 25 tahun lalu.
Mendiang bapa
Sejak itu, Cristiano mendalami segenap aspek capoeira seperti gerakan, kilasan dan alatan muzik yang digunakan. Dia juga menyertai pelbagai kursus dan persatuan di Brazil untuk memantapkan lagi kemahirannya itu.
"Penglibatan saya dalam capoeira ini adalah cara saya untuk membanggakan bapa. Saya juga menyertai Angkatan Tentera Brazil (Brazilian Armed Forces) untuk mengikuti jejak langkah bapa. Walaupun hanya mempunyai pengalaman selama tiga tahun dalam pasukan itu, sekurang-kurangnya saya dapat merasai apa yang telah dilalui oleh bapa," ujarnya.
Menurut Cristiano, dia juga amat mengagumi tiga orang gurunya di Brazil iaitu Master Liminha, Master Grillo dan Master Joao Capoeira yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
Sebelum berhijrah ke Malaysia, Cristiano juga pernah bekerja di syarikat telekomunikasi, peluncur air dan jurulatih capoeira di Brazil.
Diberi peluang mengajar capoeira di salah sebuah universiti awam merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan Cristiano sepanjang dia berada di Malaysia.

PERSEMBAHAN pentas merupakan salah
satu cara terbaik yang dilakukan oleh CCM untuk memperkenalkan capoeira
secara jelas kepada masyarakat Malaysia.
Ketika memulakan pengajiannya, pihak universiti tidak memberi kebenaran untuk mengadakan sesi kelas kerana khuatir capoeira mempunyai pengaruh negatif kepada pelajar-pelajar.
"Pihak universiti bimbang capoeira mempunyai elemen-elemen agama Kristian. Saya telah memberi penjelasan kepada mereka bahawa capoeira merupakan sebuah seni mempertahankan diri yang tiada kaitan dengan agama.
"Menerusi capoeira, matlamat saya ialah untuk menyatukan umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Seperti salah seorang rakan saya yang menjadi jurulatih capoeira di Iran. Pelajar-pelajarnya terdiri daripada orang Islam dan Yahudi. Tetapi mereka boleh berkawan dan belajar capoeira bersama-sama," ujarnya.
Cristiano kini dikenali dengan gelaran Brazilasia iaitu gabungan nama negara Brazil dan Malaysia kerana sudah sebati dengan kehidupan masyarakat di negara ini.
Dia juga sedang mengenali hati budi seorang gadis Melayu dan mendapat restu daripada keluarganya. Selain itu, dia kini sedang mendalami cara hidup sebagai seorang Islam sebagai persediaan awal
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: