Tuesday, June 11, 2013

Awake craniotomy elak risiko lumpuh



KETIKA memandu kereta sekitar pertengahan bulan Januari lalu, seluruh tubuhnya tiba-tiba terasa kebas. Selang dua hari kemudian, rasa kebas itu berulang dan membuatkan pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Is, 31, merasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya.
Enggan terus tertanya-tanya dengan keadaan diri, Is lantas mendapatkan pemeriksaan doktor. Is diminta merujuk ke hospital dalam kadar segera selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta.
Doktor pakar yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengesahkan dia menghidap tumor otak peringkat kedua.
Berita yang diterima cukup mengejutkan. Beliau terasa dunianya kelam. Pelbagai lintasan bermain-main ke dalam fikirannya kerana pembedahan perlu dilakukan sesegera mungkin bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku.
Lebih membimbangkan, kakitangan sebuah syarikat swasta itu, dinasihatkan agar menjalani pembedahan tersebut dalam keadaan sedar bagi mengurangkan risiko lumpuh sebelah badan.
"Saya terkejut ketika disahkan doktor menghidap tumor otak kerana saya tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.
"Jika diberi pilihan, saya mahu ia dilakukan tanpa sedar kerana takut dengan apa yang akan terjadi sepanjang pembedahan berlangsung," jelasnya yang menjalani pembedahan pada 8 Februari lalu.
Bagaimanapun, setelah berbincang dengan isteri, Nawal Rashid, 30, dan ahli keluarga lain, Is akhirnya bersetuju dengan cadangan doktor untuk menjalani pembedahan secara sedar atau awake craniotomy.
Nawal ketika diberitahu tentang keadaan suaminya cuba mendapatkan pandangan jiran dan keluarga yang pernah mengalami simptom sama. Nawal akhirnya akur dengan cadangan doktor untuk pembedahan tersebut.
"Kami menurut nasihat pakar kerana peluang untuk sembuh lebih besar sekiranya pembedahan dibuat ketika dia sedar.
"Syukur segalanya berjalan lancar walaupun tangan kiri suami saya sukar diangkat selepas menjalani pembedahan," katanya lega.

KETUMBUHAN otak sebesar duit syiling 20 sen yang berjaya dikeluarkan dari kepala Is.


Berbual ketika dibedah
Sebelum pembedahan membuang tumor diteruskan, Is dibius dengan ubat pelali kira-kira setengah jam lebih awal bagi membolehkan tempurung kepalanya dibedah tanpa rasa sakit. Kesan awal membuatkan dirinya mula berasa kebas di bahagian muka hingga ke pinggang.
Bagaimanapun, ketika pembedahan awake craniotomy dijalankan, Is dalam keadaan sedar selepas tempurung kepalanya dibuka. Is perlu memberi tindak balas sepanjang pembedahan dijalankan. Seorang pakar bius, Dr. Esa Kamaruzaman, bertugas memastikan Is sentiasa berinteraksi dengan pasukan doktor pakar di dewan bedah tersebut.
Melalui rakaman video yang ditayangkan kepada pengamal media, Is jelas dilihat boleh berbual seperti biasa dengan Dr. Esa dan kadangkala dilihat tersenyum semasa dibedah.
Doktor pakar yang mengetuai pembedahan tersebut iaitu Prof. Madya Dr. Ramesh Kumar menjelaskan, pesakit perlu menjalani pembedahan dalam keadaan sedar bagi membolehkan pembuangan tumor secara maksimum.
Teknik pemetaan
"Ia bagi mengelakkan pesakit mengalami kehilangan fungsi penting seperti komunikasi, persepsi dan pergerakan semasa pembedahan dilakukan.
"Ketumbuhan tersebut terletak di bahagian yang mengurus deria, pergerakan dan pertuturan pesakit," katanya.
Tambahnya, awake craniotomy merupakan kaedah terbaik untuk memastikan pesakit tidak terjejas dengan kemungkinan kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan.
Sepanjang tempoh pembedahan pembuangan tumor, pasukan pakar bedah menggunakan teknik pemetaan otak bagi mengenal pasti bahagian yang boleh terdedah kepada kecederaan fungsi deria, pertuturan dan motor korteks pada otak.

KAWASAN yang dikenali sebagai eloguent cortex ditandakan sebagai kawasan larangan pembedahan.


Contohnya, apabila tumor tumbuh di bahagian kritikal otak, penentuan lokasi saraf yang mengawal pertuturan adalah amat penting. Teknik pemetaan tersebut melibatkan penggunaan arus elektrik ringan terhadap permukaan otak yang terdedah sementara pesakit dikehendaki berinteraksi seperti bercakap atau membaca.
Sekiranya rangsangan yang diberikan menghalang interaksi (bercakap atau membaca), bahagian otak tersebut akan ditanda dan dipelihara.
Teknik yang biasa digunakan ketika pembedahan awake craniotomy ialah dengan menidurkan pesakit untuk keselesaan dan keselamatannya. Bius akan disuntik secara berhati-hati bagi membolehkan pesakit bercakap, bergerak dan berinteraksi dengan pakar saraf. Kebiasaannya, pesakit hanya mengalami ketidakselesaan yang minimum walaupun dibedah dalam keadaan sedar.
Selepas prosedur pemetaan otak selesai, tumor dibuang sepenuhnya walaupun pada ketika itu pesakit dan pakar bius masih berinteraksi. Kemudian, pesakit akan dibius sekali lagi untuk ditidurkan bagi membolehkan pakar saraf menamatkan pembedahan secara selamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: