
AKSI Fara Fauzana (kiri), Misha Omar
dan Amy Mastura (kanan) ketika sesi pratonton teater Nyonya & The
Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Penampilan beberapa artis terkenal tanah air menjadi tarikan istimewa kepada pementasan teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya di sini dari 14 hingga 20 Jun ini.
Pengarah teater Nyonya & The Gang, Siti Rohayah Attan berkata, penampilan khas penyanyi, Anuar Zain serta Amy Mastura, Misha Omar dan Fara Fauzana menjadi antara faktor jualan tiket bagi teater itu mendapat sambutan menggalakkan.
"Sambutan terhadap teater berkenaan amat positif terutama bagi pementasan yang melibatkan Anuar Zain pada 19 dan 20 Jun.
"Saya bersyukur dengan sokongan orang ramai kerana pementasan teater ini adalah ikhlas dan demi minat saya terhadap dunia teater," ujarnya pada majlis pratonton teater itu di sini semalam.
Teater Nyonya & The Gang yang akan berlangsung selama tujuh hari itu mengangkat tema kekeluargaan, wanita dan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani ketika ditemui, yakin pementasannya akan dapat memeriahkan lagi seni teater.
"Saya berharap lebih ramai penonton datang untuk menyaksikan teater ini sekali gus memartabatkan lagi teater tanah air," katanya.
Pementasan pada 14, 17, 18, 19 dan 20 Jun akan diadakan pada pukul 8.30 malam hingga 11 malam.
Pada 15 dan 16 Jun pula, pementasan diadakan pada pukul 3 petang hingga 5 petang serta 8.30 malam hingga 11 malam
Tiket-tiket untuk menyaksikan teater itu yang berharga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155 boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: