Sunday, April 7, 2013

Zombie mata satu

MAMPUKAH anda membuat perbuatan seperti ini?


IMEJ lelaki seperti lanun dengan salah satu matanya ditutupi dengan kain hitam sering kita lihat dalam drama atau filem.
Namun, bagi seorang lelaki, Billy Owen, dia kehilangan mata kanan serta sebahagian kecil bahagian mukanya hanya kerana penyakit resdung yang serius.
Lelaki yang berasal dari Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) itu pernah bekerja sebagai mekanik motosikal berkuasa tinggi.
Masanya sebelum ini sering dihabiskan dengan mengikuti konvoi motosikal selain minum sehingga mabuk di kelab-kelab malam walaupun sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Tetapi, satu pembedahan di sebuah hospital pada 2009 tiba-tiba mengubah dirinya.
Mulanya, lelaki malang ini mengalami simptom resdung biasa seperti pening kepala, batuk dan kesakitan di telinga.
"Saya sering pening. Doktor hanya mengatakan saya menghidap sakit resdung biasa dan diberikan ubat cair kahak untuk mengubatinya.
"Tetapi, isteri saya sering mendesak berjumpa dengan pakar," cerita Owen.
Pada 13 Februari 2009, selepas pemeriksaan rapi, seorang doktor mengesahkan Owen menghidapi penyakit sinonasal undifferentiated carcinoma (SNUC) - sejenis kanser pelik yang menyerang rongga pernafasan.
Hanya, 10 peratus penghidap penyakit ini sahaja yang hidup itupun kerana ia dikesan sejak awal.
Jadi zombie
Terang Owen, dalam kesnya, keadaannya telah sampai peringkat serius sehingga sebahagian struktur mukanya termasuk biji mata kanannya, tulang dan saraf perlu dibuang kerana telah rosak sama sekali.
Selepas pembedahan, deria bau Owen juga tidak berfungsi seperti biasa kecuali dengan aroma bangkai, gas dan jeruk.
Terdapat juga lubang besar pada bahagian biji mata serta muka di bahagian kanan kepalanya yang membolehkan Owen memasukkan jari ke lubang tersebut dan mengeluarkannya melalui mulut.

OWEN (tengah) kini bekerja sebagai zombie jadian di sebuah rumah hantu di Las Vegas, Amerika Syarikat.


Lelaki ini mulanya berasa malu dan rendah diri tetapi kerana keluarganya, tanggapan itu dibuang jauh.
Dia tidak lagi menjadi seorang mekanik motosikal tetapi menjadi zombie.
"Saya tidak boleh memandu kerana pandangan dua mata berbeza dengan satu mata," ujarnya.
Dia kini menjalani hidup lebih bahagia dengan isteri serta seorang anak lelakinya.
"Peristiwa ini memberi keinsafan kepada saya. Sebelum ini, hidup tidak keruan dan tidak bertanggungjawab kepada keluarga tetapi kini tidak lagi.
"Betul, kesakitan dan penyakit mampu mengubah peribadi manusia," jelas Owen.
Owen kini bekerja sebagai zombie di rumah hantu The Goretorium, Las Vegas.
"Apabila anda melihat salah satu matanya yang hilang pasti mengejutkan kerana sebahagian mukanya berlubang.
"Tetapi itulah satu-satunya Owen si lelaki mata satu," kata seorang rakannya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment