Rozita Che Wan dan Zain Saidin
.
SEJAK kisah cinta mereka diketahui umum, pasangan selebriti Rozita Che Wan dan Zain Saidin pasti mencuri tumpuan walau ke mana saja mereka pergi.
Terbaru, mereka digandingkan bersama 17 selebriti lain dalam saingan bagi merebut gelaran juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim Kedua.
Menolak ketika dikatakan pemilihan mereka sebagai peserta oleh pihak penganjur berdasarkan kontroversi membabitkan mereka, Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta menyifatkan penglibatannya sebagai cara untuk beramal.

“Saya tak fikir penglibatan kami dalam MasterChef ini ada unsur eksploitasi dan sebagainya. Kami masuk program ini, selain daripada pendedahan kepada kami, kami juga dapat melakukan amal.
“Lagi lama kami dalam program ini, lagi banyak kami dapat sumbang pada badan yang kami pilih itu. Cara begini dapat buat kebajikan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media MasterChef Selebriti Malaysia Musim Kedua, hari ini.

Setiap peserta bakal mewakili 19 badan kebajikan di mana semakin lama peserta berada dalam rancangan itu, semakin banyak sumbangan yang akan diberikan kepada rumah kebajikan yang diwakili itu.

Sementara itu, Zain sempat memberitahu bahawa dia menyukai masakan Che Ta meskipun terpaksa merahsiakan jenis masakan tersebut ekoran terikat dengan perjanjian rancangan itu.
"Saya banyak minta tolong dia (Che Ta). Minta pendapat dia... Saya suka masakan Che Ta. Tak boleh beritahu (masakan apa),” katanya.
Dalam pada itu, Che Ta juga akui memasak di program itu dengan imej ke majlis anugerah.

“Betul (masak dengan gaya ala majlis anugerah). Nak masak tak semestinya kena pakai comot-comot. Kita berpakaian cantik pun kita boleh masak. Tak semestinya orang yang cantik itu tak pandai masak.
“Kalau masak pakai comot-comot, suami pun tak lalu makanlah. Solekan saya pun tak adalah luntur ke apa ke. Elok saja. Tak adalah pula bulu mata terjatuh dalam rendang. Tak ada masalah,” katanya.
Che Ta menambah, “apabila cabaran di luar, masak selama tiga jam di padang polo ketika cuaca panas, cuma ambil tisu untuk lap peluh."

"Memang tak ada masa untuk betulkan solekan dan dengan muka macam itu lah, kami hidangkan makanan," katanya.

MasterChef Selebriti Musim Kedua ini bakal ditayangkan bermula 20 April setiap hari Sabtu hingga Selasa di saluran Astro Ria.