Sunday, April 7, 2013

Warna-warni Vietnam


SUNGAI MEKONG bukan sahaja terkenal dengan sungainya tetapi penghasilan produk makanan berasaskan kelapa.


PENGALAMAN percutian ke Vietnam baru-baru ini merupakan pengalaman paling manis kepada kru Jurnal kerana bukan sahaja dapat merasai pengalaman berada di negara orang tetapi juga dapat melihat sendiri budaya yang diamalkan penduduk di Bandar Raya Ho Chi Minh.
Bandar ini merupakan bandar raya terbesar di Vietnam yang pernah dikenali sebagai Prey Nokor. Bandar itu merupakan pelabuhan utama Kemboja sebelum dikuasai oleh Vietnam pada abad ke-17.
Semasa dikenali sebagai Saigon, Prey Nokor menjadi ibu kota Cochinchina Perancis dan kemudian dikenali sebagai Vietnam Selatan bermula dari 1954 hingga 1975 dalam Perang Vietnam sebelum dinamakan semula dengan bandar raya Ho Chi Minh.
Pusat bandar itu terletak di tebing Sungai Saigon dan berdekatan dengan Delta Sungai Mekong dan terletak 1,760 kilometer di selatan ibu negara, Hanoi.
Bandar didiami seramai 9 juta penduduk itu merupakan kawasan perbandaran terbesar di Indochina serta kedua paling penting di Vietnam selepas Hanoi.
Nama Saigon masih digunakan dengan meluas dalam kalangan penduduk tempatan dan ia menjadi pusat perniagaan, kewangan, budaya dan pelancongan di Vietnam. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, kru Jurnal disambut wakil hotel yang menjadi lokasi penginapan percutian selama empat hari dua malam itu.
Pelabuhan Saigon, yang ditubuhkan pada tahun 1862, boleh diakses oleh kapal-kapal seberat sehingga 30,000 tan, satu kelebihan yang jarang berlaku bagi pelabuhan sungai.

PENGUNJUNG dibawa menyusuri Sungai Mekong yang mempunyai haiwan akuatik yang bersaiz besar.


Sejarah bandar ini berkait rapat dengan perjuangan untuk kemerdekaan dan kebebasan Vietnam. Kini, bandar raya Ho Chi Minh ialah pusat pelancongan yang besar di Vietnam, ia menarik ramai pengunjung ke Vietnam dengan pelbagai tarikan seperti Muzium Ho Chi Minh yang sebelum ini dikenali sebagai Dragon House Wharf selain Terowong Cu Chi.
Selepas lebih daripada 300 tahun, bandar raya Ho Chi Minh menampilkan banyak pembinaan seni bina purba yang mengenengahkan nilai-nilai tradisional di sebalik ciri-ciri budaya Barat.
Ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bandar raya ini, kru Jurnal seakan-akan terkedu seketika melihat aliran trafik penduduk di bandar ini yang kebanyakan daripada penunggang motosikal memandu secara menongkah arus.
Jika dilihat dengan mata kasar, majoriti penduduk lebih selesa menggunakan kenderaan dua tayar itu berbanding kereta bagi memudahkan pergerakan seharian. Walaupun nampak sesak, penduduk di bandar ini dilihat mampu bertolak-ansur dalam memberikan laluan.
Tidak sah percutian jika tidak singgah ke Pasar Benh Thanh yang hanya mengambil masa beberapa minit berjalan kaki dari hotel ke pasar itu.
Pasar Benh Thanh merupakan pasar rakyat yang menghimpunkan pelbagai kelengkapan dan barangan tempatan yang dijual pada harga rendah. Pengunjung yang datang ke sini pasti akan rambang mata dengan pelbagai pilihan barangan.
Pasar ini beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja tetapi ia dibuka seawal pukul 7 pagi pada Sabtu dan Ahad.
Harga bagi barangan yang dijual amat murah berbanding harga di tempat lain. Barangan seperti kain pasang boleh didapati pada harga RM30 bagi empat meter sedangkan harganya boleh mencecah hingga ratusan ringgit di tempat lain.
Selain itu, satu lagi keunikan di bandar raya Ho Chi Minh yang tidak dapat dilupakan adalah kebolehan penjahit di sana menyiapkan baju yang ditempah dalam masa singkat. Daripada sut hinggalah ke baju kurung, mereka hanya mengambil masa yang singkat untuk menyiapkannya dan boleh mengambil tempahan sebelum berlepas ke tanah air.

PATUNG askar yang terdapat di Terowong Cu Chi, Vietnam merupakan objek yang perlu dirakam sebagai kenang-kenangan.


Harga yang dikenakan juga amat berpatutan selain kualiti jahitan yang dihasilkan juga memuaskan. Maka tidak hairanlah jika berpasang-pasang baju yang ditempah sekiranya berkunjung ke bandar raya ini.
Pulau hasil madu
Kru Jurnal juga berpeluang menjejakkan kaki di Terowong Cu Chi yang terletak kira-kira 70 kilometer merupakan destinasi pelancongan wajib dikunjungi jika ke Vietnam kerana orang ramai boleh mempelajari pelbagai sejarah mengenai askar gerila Vietnam sewaktu zaman peperangan pada tahun 1968.
Terowong Cu Chi, salah satu jaringan bawah tanah yang mengagumkan dibina oleh pahlawan Vietnam semasa zaman menuntut kemerdekaan.
Terowong tersebut terdiri daripada hospital, penginapan dan sekolah, yang digunakan sebagai tapak ketenteraan Vietcong semasa perang menentang Amerika Syarikat.
Di sini, pengunjung berpeluang menyelusuri terowong tersebut yang pernah digunakan oleh askar Vietnam sewaktu perang dahulu. Malah, terdapat pelbagai informasi menarik dan pameran bersejarah era perang Vietnam di sini.
Pengalaman menyelusuri terowong ini sememangnya menjanjikan pengalaman yang berharga buat sesiapa pun. Walaupun keadaan yang agak gelap di dalam terowong terbabit selain terpaksa berjalan membongkok untuk menerokai kubu pertahanan rakyat Vietnam ini.
Bagaimanapun disebabkan masalah seperti kemudahan tandas dan pengudaraan yang tidak baik, ramai askar Vietnam yang menggunakan terowong mati.
Terowong yang dibina sepanjang 200 kilometer ini menjadi tumpuan pelancong dan dipelihara baik oleh masyarakat tempatan untuk dijadikan kenangan kepada generasi akan datang.
Begitu juga dengan lorong-lorong yang menghubungkan sesetengah ruang di dalam terowong berkenaan.
Pelbagai pengalaman baharu yang ditimba sepanjang berada di terowong itu antaranya menjamu juadah ubi kayu yang dicicah bersama gula dan kacang tumbuk serta air teh.
Seterusnya, kru Jurnal juga berpeluang merasai pengalaman menembak di National Defence Sports Shooting Centre sepanjang berada di lokasi pelancongan ini.

PENGUNJUNG turut berpeluang mencuba peralatan menembak yang terdapat di Pusat Menembak Sukan Kebangsaan, Ho Chi Minh, Vietnam.


Selain Terowong Cu Chi, pasti tidak lengkap percutian di Vietnam sekiranya tidak berkunjung ke Sungai Mekong yang memakan masa selama dua jam dari bandar raya Ho Chi Minh.
Kru Jurnal dibawa ke pulau terkenal iaitu Pulau Unicorn yang dikenali sebagai pulau pengeluar madu.
Aktiviti yang dilakukan di pulau ini adalah mengunjungi penternakan lebah tradisional, meminum madu segar terus dari sarangnya selain turut dihidangkan buah-buahan seperti nanas, buah naga dan mangga sambil mendengar Do Ca Ta Tu Nam Bo iaitu salah satu muzik tradisi Vietnam.
Melihat kehidupan penduduk tempatan di sepanjang sungai adalah pengalaman yang menarik dan sukar dilupakan.
Di Provinsi Ben Tre pula menyediakan produk yang diperbuat daripada kelapa dan kelihatan beberapa ekor kuda sedia menanti pengunjung untuk dibawa menikmati hidangan makanan tengah hari di tengah kawasan kebun.
Perjalanan pulang pula dilakukan dengan menaiki perahu sambil menikmati keindahan alam semulajadi di sungai ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: