Monday, April 15, 2013

UTC Melaka kebanggaan warga Hang Tuah


KONSEP UTC turut menarik perhatian pihak luar yang ingin mencontohi Malaysia.


BAYANGKAN, anda boleh membuat banyak urusan daripada pembayaran bil sehinggalah pembaharuan pasport di dalam bangunan yang sama.
Malah, semua urusan itu boleh diselesaikan dalam waktu tidak sampai sehari.
Pasti mudah bukan dan mungkin ramai yang bertanya di manakah lokasi itu? Jawapannya ialah di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
UTC pertama di negara ini yang berlokasi di Melaka, sememangnya menjadi kebanggaan warga negeri itu.
Telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Jun tahun lalu bangunan yang tersergam indah di Jalan Hang Tuah itu bagaikan satu rahmat buat penduduk Melaka.
Bangunan yang telah diubah suai melibatkan kos sebanyak RM28.3 juta itu menempatkan 70 kementerian, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuka kaunter di bawah 10 kluster perkhidmatan.
UTC Melaka memiliki bangunan sembilan tingkat yang dulunya ialah Wisma Persekutuan sebelum diambil alih oleh Dunia Melayu Dunia Islam.
Ramai warga negeri Hang Tuah bersyukur dengan kewujudan UTC yang memudahkan pelbagai urusan.
Sebagai contoh jika seseorang itu sudah selesai memperbaharui cukai jalan di Jabatan Pengangkutan Jalan di aras dua, dia kemudian boleh membuat kad pengenalan baharu di Jabatan Pendaftaran Negara yang terdapat di aras sama sebelum membayar cukai tanah di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di aras lima.
Selain urusan pembayaran bil, beberapa perkhidmatan lain yang terdapat di bangunan tersebut termasuklah Tabung Haji, Telekom Malaysia, Pos Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Biro Pengaduan Awam, Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Klinik 1Malaysia.
Pusat Y-Centre
UTC adalah sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (National Blue Ocean Strategy - NBOS) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat melalui kerjasama strategik di antara kementerian, jabatan dan pihak swasta.
Kesemua inisiatif itu adalah bagi memastikan komuniti bandar mendapat perkhidmatan dengan cepat, selesa dan mudah di dalam satu bangunan.
Selain kaunter urusan kerajaan dan NGO, UTC Melaka turut menempatkan Pusat Y-Centre yang menjadi platform gaya hidup sihat para belia.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Salmah Aziz berkata, tujuan pusat tersebut dibuka adalah untuk mendidik remaja melakukan aktiviti sihat sambil menimba ilmu pengetahuan.

PERPUSTAKAAN mini yang lengkap dengan pelbagai sumber bacaan.


“Di sini terdapat tiga tempat utama iaitu bahagian hadapan yang mengandungi kaunter pertanyaan dan juga indoor game seperti pool, dam, catur, karom dan dart.
“Dua lagi bahagian ialah pusat kecergasan yang di dalamnya terdapat gimnasium dan pusat aerobik, sementara sebuah lagi ialah pusat maklumat yang dinamakan Pusat Siber Rakan Muda,” katanya.
Selain Y-Centre, UTC juga menempatkan perpustakaan mini dan pusat tuisyen untuk golongan muda.
Melaka telah dipilih sebagai projek perintis dan lokasi pertama program UTC melalui Kementerian Kewangan sebagai peneraju utama.
Ia sekali gus memenuhi keperluan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Kewujudan UTC Melaka telah banyak memberi faedah kepada penduduk bandar untuk membuat sebarang urusan dengan kementerian, agensi kerajaan negeri dan swasta yang diletakkan di dalam satu bangunan.
Pendek kata, UTC Melaka merupakan pelengkap kepada Program Transformasi Komuniti bagi memastikan segala perkhidmatan, inisiatif dan program kerajaan dapat memberi manfaat secara maksimum kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: