Wednesday, April 17, 2013

Uqasha mahu tinggalkan MIG

UQASHA sedar dia sudah melanggar kontrak yang tidak membenarkan dia bercinta.


NAMA Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen atau Uqasha tiba-tiba mencuri perhatian peminat apabila gambar dia berpegangan tangan bersama pelakon filem Rock Oo dan Bunohan, Pekin Ibrahim di Phuket, Thailand tersebar di laman sesawang.
Ramai yang membuat andaian mengatakan kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu bercinta dengan Pekin. Walaubagaimanapun kedua-dua pelakon itu menafikannya dan memberitahu kepada media yang mereka hanya berkawan rapat.
Belum lagi reda dengan gosip percintaan mereka, terbaharu timbul pula cerita mengenai pihak MIG Talent yang berasa kurang senang dengan pendedahan gambar kemesraan kedua-dua pelakon itu. Ini kerana Uqasha merupakan artis residen MIG Talent.
Memang termaktub dalam kontrak, apabila bergelar artis residen MIG Talent, seseorang pelakon itu dilarang menjalin hubungan cinta. MIG Talent merupakan anak syarikat kepada syarikat Metrowealth International Group (MIG) milik pengarah David Teo.
Disebabkan tekanan yang diberi oleh pihak MIG Talent, pelakon cantik berusia 21 tahun itu dikhabarkan nekad untuk keluar daripada syarikat tersebut selepas tamat kontrak kelak. Begitupun, Uqasha memberitahu, langkah itu bukan diambil disebabkan Pekin semata-mata.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Uqasha seterusnya.
Kosmo!: Sejak bilakah anda menjadi artis residen MIG Talent?
UQASHA: Sejak bulan November tahun lepas.
Bilakah kontrak anda akan tamat?
Kontrak saya akan diperbaharui setahun demi setahun.
Benarkah sebagai artis MIG anda tidak dibenarkan bercinta?
Ya, tetapi memang saya bercadang mahu keluar daripada MIG.
Anda masih berbaki tujuh bulan lagi kontrak bersama MIG. Jadi bagaimana?
Mungkin saya akan meninggalkan MIG selepas kontrak tamat. Saya sebenarnya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ia akan membuatkan beberapa pihak terasa.
Kenapakah anda mengambil keputusan untuk keluar MIG? Adakah disebabkan Pekin?
Tidak. Saya memang bercadang keluar daripada MIG sebelum kenal Pekin lagi. Tolonglah saya tidak mahu mengulas lagi perkara ini.
Adakah anda dengan Pekin memang benar-benar bercinta?
Saya memang rapat dengan dia selepas sama-sama berlakon dalam filem Paku Pontianak.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya sedang menjalani penggambaran telefilem Mama I Love You untuk tayangan saluran Astro Ceria.
KATA Pekin, gambar dia berpegangan tangan dengan Uqasha sudah membuktikan mereka sedang dilamun cinta. Ia tidak memerlukan pengesahan daripada mulutnya.


SEMENTARA itu, Kosmo! juga mendapatkan maklum balas berhubung perkara ini dengan pelakon Pekin Ibrahim. Malangnya, Pekin yang kini berada di Sydney, Australia kerana terbabit dengan sebuah penggambaran drama enggan mengulas lanjut mengenai MIG. Dia sebaliknya lebih bersikap terbuka memberitahu hubungan cintanya dengan Uqasha sudah terjalin sejak bulan Februari lalu. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Pekin pula.
KOSMO!: Apabila gambar anda berpegangan tangan dengan Uqasha tersebar di laman sesawang, timbul cerita mengatakan pihak MIG Talent tidak berpuas hati kerana kalian telah melanggar perjanjian kontrak?
PEKIN: Maaf, saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Biarlah isu sebenarnya saya sendiri yang tahu.
Uqasha memberitahu yang dia ingin keluar daripada MIG, adakah ia disebabkan desakan anda?
Tidak. Mungkin itu adalah keputusannya sendiri. Bagi saya jika dia bukan di bawah MIG sekali pun, dia boleh pergi jauh kerana dia ada pesona dan bakat. Saya melihat bakat-bakat pelakon baharu yang ada dan saya dapati Uqasha mempunyai pesona.
Adakah anda tidak kisah Uqasha menumpang populariti anda?
Dia tidak menumpang populariti saya kerana dia ada bakat yang besar. Tidak perlu saya perkenalkan, orang boleh nilai dan nampak bakat dia.
Melihat pada kenyataan anda, sememangnya dilihat anda dan Uqasha mempunyai hubungan cinta. Benarkah?
Gambar yang sudah tersebar memperlihatkan saya dan dia berpegangan tangan. Jadi faham-faham sahajalah apa maksudnya.
Sudah berapa lama hubungan cinta anda dan dia berlangsung?
Sejak bulan Februari ketika kami sama-sama terlibat dalam penggambaran filem Paku Pontianak.
Bagaimanakah penerimaan keluarga terhadap Uqasha?
Keluarga saya okay dengan dia. Cuma saya tidak suka orang menulis buruk tentang dia dan cuba mengungkit sejarah silam dia. Dia ada maruah dan keluarga. Kalau orang cerita buruk tentang saya tidak apa kerana saya lelaki.
Apakah perkembangan terbaharu tentang anda?
Saya kini sedang menjalani penggambaran filem pendek berjudul Tali Nombor Enam dengan Khir Rahman. Lusa (Selasa) saya akan ke Sydney untuk menjalani penggambaran telefilem arahan Erma Fatima. Selain saya, Erra Fazira, Datin Paduka Umi Aida dan juga Nabila Huda turut berlakon bersama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: