Saturday, April 20, 2013

Teruja berkayak kali pertama

BERKAYAK di Sungai Johor memberi pengalaman baharu bagi kebanyakan peserta.


SERAMAI 44 anak Orang Asli memulakan cabaran berkayak sejauh 30 kilometer menyusuri Sungai Johor bermula dari jeti Kampung Orang Asli (KOA) Sayong Pinang ke jeti Lanchara D'Malayos Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi, baru-baru ini.
Program julung-julung kali diadakan itu adalah anjuran Persatuan Persatuan Belia Persisiran Sungai Johor dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kota Tinggi yang turut disertai pegawai belia dan ahli kelab persatuan kayak Kota Tinggi.
Aktiviti tersebut diadakan sempena program Transformasi Belia Negeri Johor 2013 yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan, menguji ketahanan dan kecerdasan fizikal para peserta.
Para peserta kelihatan teruja menyertai cabaran berkayak di sungai tersebut yang merupakan satu pengalaman baharu kepada mereka.
"Kebanyakan peserta baru pertama kali berkayak, jadi aspek keselamatan amat dititikberatkan. Kami turut mengambil langkah keselamatan dengan membawa anggota bomba dan penyelamat untuk memantau perjalanan aktiviti ini," kata Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Shafik Saprawi.

PARA peserta bergambar beramai-ramai bersama Halimah barisan tengah (lima dari kanan) sebelum memulakan aktiviti berkayak.


Selain itu, para peserta diwajibkan memakai jaket keselamatan dan diberi latihan membina keyakinan dalam air terlebih dulu sebelum diberi peluang berkayak.
Program berkenaan dirasmikan oleh calon BN Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki.
Seorang peserta, Norhidayu Ayub, 25, yang baru kali pertama berkayak tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk menyertai cabaran tersebut.
"Ini merupakan pengalaman baharu dan saya rasa sangat seronok menyertainya. Sepanjang program ini, saya dapat mempelajari cara mendayung dan mengawal kayak dengan betul selain penerapan semangat kerjasama berpasukan," kata ibu kepada dua orang anak itu.
Rakannya, Mahadi Abd. Ghani, 20, mengakui cabaran berkayak bukan sahaja menguji kekuatan fizikal malah para peserta perlu memberi sepenuh perhatian ketika berkayak.
"Saya sudah biasa mengharungi sungai ini menggunakan bot gentian kaca namun berkayak tidak semudah seperti yang disangkakan. Ia memerlukan daya ketahanan mental yang tinggi selain kecergasan fizikal," kata anak sulung daripada tujuh beradik itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: